Petua cergas wanita paling tua



Kota Bharu: Gemar memakan ulam selain nasi digaul pisang yang dijadikan sebagai hidangan harian, menjadi ‘resipi rahsia’ bagi seorang wanita berusia 110 tahun.

Bidah Mamat yang dipercayai individu paling tua di Kelantan berkata, amalan itu dipraktikkan sejak muda dan terus diamalkan hingga ke hari ini.

“Dulu hidup saya miskin, tak ada duit nak beli beras. Setiap kali masak nasi, kami terpaksa gaul bersama pisang, jadi sukatan beras boleh dikurangkan untuk berjimat.

“Mungkin disebabkan setiap hari menjamah hidangan sama selain mengamalkan makan ulam-ulaman, menyebabkan saya diberikan kesihatan baik selain daripada umur yang panjang,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2012 peringkat Negeri Kelantan di pekarangan Rumah Seri Kenangan (RSK) di sini.

Sambutan yang bertemakan ‘Panjang Usia, Masa Depan Sejahtera’ itu dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Zainuddin Ibrahim dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Md Noor Chik serta Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat RSK, Mohd Abidin Mohd Zain.

Terima anugerah

Bidah yang berasal dari Kusial Lama, Tanah Merah, adalah antara empat penerima anugerah Hadiah Khas Warga Emas daripada JKM Negeri Kelantan, semalam, selain tiga penerima lain yang terdiri daripada etnik Cina, India dan Siam.

Dia yang mesra disapa ‘Mok Dah’ dan mempunyai tiga anak, 12 cucu dan 16 cicit, kini menetap bersama anaknya, Roziah Jaafar, 53, yang juga seorang ibu tunggal.

Bekerja keras

Mok Dah yang masih jelas penglihatan dan pendengarannya hadir berkerusi roda kerana demam sejak dua minggu lalu, dengan ditemani Roziah.

Roziah berkata, sejak muda ibunya sudah biasa bekerja keras untuk menyara hidup mereka empat beranak lebih-lebih lagi selepas bercerai dengan suami.

“Ketika berusia 90 tahun, ibu saya masih mampu berjalan sejauh empat kilometer setiap hari ke kebun getah untuk menoreh.

“Malah ketika muda, dia pernah mengambil upah mengangkut padi lebih 30 kilogram sehari,” katanya.

- BERITA HARIAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.