Top Ad 728x90

Prestasi Pengurusan Kewangan Kerajaan 2011 Lebih Baik - Ketua Audit Negara

Pengurusan kewangan agensi kerajaan pada tahun 2011 telah mencatat prestasi yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya, kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, pada Isnin.

Beliau berkata, daripada keseluruhan agensi kerajaan yang telah dinilai pada tahun 2011, 111 buah (31.4 peratus) daripadanya mendapat penarafan 'Sangat Baik' (Empat Bintang), berbanding 77 buah (21.6 peratus) pada tahun 2010 dan 48 (12 peratus) pada tahun 2009.

"Pencapaian ketara ini menunjukkan pelaksanaan Indeks Akauntabiliti (IA) telah memberi dorongan kepada Pegawai Pengawal untuk mengambil tindakan penambahbaikan terhadap pengurusan kewangan," katanya dalam kenyataan di sini.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2011 akan diedarkan kepada anggota Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Ambrin berkata, Jabatan Audit Negara telah melaksanakan sistem penarafan yang berasaskan kepada IA 2007 yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Wajib dan Kategori Giliran, untuk menilai sejauh mana pengurusan kewangan kerajaan dan agensi dibawahnya telah mematuhi undang-undang dan peraturan kewangan kerajaan.

Ambrin berkata, berdasarkan kepada pengauditan terhadap 456 Penyata Kewangan tahun 2011 terhadap kerajaan dan agensi dibawahnya, sebanyak 388 daripadanya telah diberikan Sijil Audit Tanpa Teguran.

"Manakala 25 penyata kewangan telah diberikan Sijil Audit Berteguran kerana terdapat beberapa piawaian perakaunan yang tidak dipatuhi sepenuhnya dan baki 43 penyata kewangan masih dalam proses pengauditan," katanya.

Berbanding 2010, sebanyak 368 penyata kewangan telah diberikan Sijil Audit Tanpa Teguran dan 33 penyata kewangan diberi Sijil Audit Berteguran.

Pada tahun lepas, Ambrin berkata, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan turut menunjukkan peningkatan RM25.77 bilion dengan jumlah keseluruhan kutipan sebanyak RM185.42 bilion berbanding tahun 2010 iaitu sebanyak RM159.65 bilion.

"Kenaikan harga petroleum mentah dunia, perkembangan ekonomi domestik yang kukuh serta aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan berterusan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam menyumbang kepada peningkatan hasil," katanya.

Selain itu, seperti mana tahun-tahun sebelumnya, beliau berkata setiap ketuajabatan yang berkenaan telah dimaklumkan terlebih dahulu tentang perkara yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk tujuan pengesahan.

Tambah beliau, jabatan itu juga telah mengemukakan 547 syor memperbaiki kelemahan kepada Kerajaan Persekutuan, 97 Badan Berkanun Persekutuan dan 534 Kerajaan Negeri bagi tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90