Rawat Sinusitis cara betul

HIDUNG anda selalu tersumbat akibat selesema. Hingus anda berwarna kuning dan pekat. Anda juga sering batuk serta berasa penat dan pening.

Malah, pipi, sekitar mata, tulang atas gigi dan dahi sering berasa sakit seperti ada sesuatu di dalamnya yang menekan tengkorak anda.

Anda berasa anda diserang demam selesema lalu mengambil ubat selesema biasa tetapi ia masih tidak mengurangkan kesengsaraan anda.

Akhirnya anda mengheret kaki ke klinik setelah berdepan dengan pening yang teruk dan selepas diperiksa, doktor menyatakan anda menghidap sinusitis.

Sampai manakah tahap kesedaran anda? Adakah selepas pening teruk baru merujuk pada pakar atau masih membiarkannya kerana menganggap ia hanyalah masalah biasa berpunca daripada cuaca yang tidak menentu?

Ya, sinusitis bukanlah masalah yang membawa maut secara langsung tetapi ia memberi kesan kepada kehidupan seharian pesakit serta keyakinan diri.

Bayangkan, bagaimana anda mahu menjadi produktif atau bersemangat jika sering bersin tidak henti serta berasa pening yang teruk sehingga menjejaskan kehidupan anda.

Pakar Runding Pembedahan Telinga, Hidung dan Tekak, Kepala dan Leher, Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Mallina Sivarajasingam berkata, ramai pesakit yang merujuk kepada pakar selepas melalui saat-saat menyusahkan itu untuk tempoh lama.

"Selesema biasa akan reda dalam tempoh tiga hari hingga seminggu dan jika berterusan, berkemungkinan pesakit mempunyai masalah sinusitis.

"Ada sesetengah kes pesakit tidak dapat melakukan pelbagai aktiviti yang melibatkan perubahan altitud seperti menaiki kapal terbang dan menyelam skuba disebabkan sakit kepala vakum (vacuum headache) akibat daripada sinusitis.

"Malah, ada yang sampai ke tahap jangkitan pada sinus menyebabkan adanya polip (ketumbuhan) di dalam hidung, menyukarkan pesakit untuk bernafas.

"Lagi teruk jika kuman sinusitis merebak ke otak kerana lapisan tulang kepala tidak tebal.

"Sinusitis boleh dirawat sama ada melalui pengambilan ubat-ubatan terutamanya antibiotik bagi mematikan kuman atau ada kes perlu melakukan pembedahan sinus," ujarnya.

Apa itu sinusitis Terang Dr. Mallina, orang ramai sering salah faham dengan istilah sinus. Semua orang mempunyai sinus iaitu rongga-rongga di dalam tengkorak yang bersambung ke hidung melalui saluran-saluran yang sangat kecil dan masalah yang dihidapi dipanggil sinusitis.

Sinus terletak pada bahagian muka iaitu pipi di bawah mata, di antara dua mata, sedikit di belakang hidung serta turut meliputi bahagian dahi seseorang.

"Ia berfungsi untuk meringankan tulang di samping memberi resonan pada vokal dan lendir yang dihasilkan oleh rongga-rongga ini pada setiap masa disalirkan ke dalam hidung.

"Jangkitan sinusitis atau resdung berlaku apabila salur yang pengaliran lendir secara semula-jadi itu tersumbat lalu membengkak serta bernanah di dalamnya," ujar Dr. Mallina.

Terangnya, pesakit akan merasa simptom seakan-akan selesema biasa tetapi dalam tempoh lama disertai dengan pelbagai simptom lain terutamanya pening dan sakit pada tulang di wajah iaitu di sekitar mata, pipi, atas gigi dan dahi.

Sinusitis dibahagikan kepada dua jenis iaitu akut (berlaku dalam tempoh pendek) dan kronik.

PuncaPelbagai punca menyebabkan sinusitis. Punca yang paling kerap adalah selesema biasa berlanjutan yang tidak dirawat lalu menyebabkan jangkitan bakteria pada sinus.

Rinitis yang teruk, berulang dan tidak dirawat juga boleh menyebabkan sinusitis kerana alahan pada hidung akan mengganggu bahagian sinus.

Sinusitis turut boleh berlaku jika pesakit pernah mengalami kecederaan pada tulang hidung atau keretakan pada tengkorak.

Tulang rawan yang bengkok mungkin terkena pada bahagian sinus lalu menyebabkan jangkitan kuman.

Selain itu, apa saja yang mengganggu sistem penyaliran mukus dari sinus akan menyebabkan sinusitis.

Perubahan cuaca sejuk, alahan, masalah sistem imun seperti virus HIV dan pesakit kanser yang menjalani kimoterapi juga boleh menjadi penyebab sinusitis.

Rawatan alternatif

Sinusitis yang lebih dikenali sebagai resdung dalam kalangan orang tempatan sering dikaitkan dengan 'ulat' yang memakan muka.

Pelbagai cara alternatif yang dijalankan bagi mematikan 'ulat resdung ' ini. Antara yang paling terkenal teknik berasap iaitu asap daripada kertas herba yang dibakar akan disalurkan pada seluruh muka.

Menurut Dr. Mallina, tidak ada masalah jika pesakit mahu berusaha melalui cara alternatif asalkan ia tidak memudaratkan.

Tetapi tegasnya, tiada teknik berasap yang digunakan dalam perubatan hospital dan dia juga tidak pernah menemui ulat di dalam rongga sinus.

"Apa yang paling hampir dengan teknik berasap tersebut adalah ubat wap mentol yang mampu melancarkan pernafasan tetapi ia hanya melegakan untuk sementara.

"Tiada masalah meneruskan rawatan alternatif asalkan tidak memudaratkan kerana saya percaya ia juga sebagai langkah psikologi untuk pesakit.

"Namun, saya syorkan pesakit juga mencuba rawatan dengan doktor kerana ia terbukti dengan kajian yang dijalankan oleh pakar," ujarnya.

Beliau turut menolak andaian yang jerawat berpunca daripada sinusitis kerana jelasnya, jerawat merupakan jangkitan pada lapisan luar iaitu kulit manakala sinusitis berada di dalam.

- UTUSAN
Rawat Sinusitis cara betul

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.