Top Ad 728x90

Jawatan Kosong di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) - Dis 2012

by
JAWATAN:
1. JURUTEKNIK (AWAM)
2. JURUTEKNIK (MEKANIKAL)
3. JURUTEKNIK (PEMBUATAN)
4. JURUTEKNIK (SENIBINA)
5. PENGAWAL KESELAMATAN
6. PEMBANTU AM PEJABAT
7. PEMBANTU TADBIR (PERKERANIAN/OPERASI)
8. PEMBANTU TADBIR (PENYELENGGARA STOR)
9. PEKERJA AWAM
10. TUKANG K3 (KAYU)
11. TUKANG K3 (PAIP)
12. PEMBANTU PERPUSTAKAAN
13. PENOLONG PEGAWAI HAL EHWAL ISLAM
14. PEMBANTU PEMBEDAHAN PERGIGIAN
15. PENOLONG PEGAWAI PERUBATAN
16. ATENDAN KESIHATAN
17. JURUAUDIT
18. PENOLONG AKAUNTAN
19. PEGAWAI PERGIGIAN
20. JURUTEKNIK (AWAM)

IKLAN JAWATAN:
http://e-perjawatan.utem.edu.my/cgi-bin/apply.pl?mselect=pentadiklan&myiklanid=11&myiklanyear=2012

BORANG PERMOHONAN ONLINE:
http://e-perjawatan.utem.edu.my/cgi-bin/perjawatan/applyonline.pl?maction=mperibadi&iklanid=11

Tarikh Tutup : 16 Disember 2012

Jawatan Kosong di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) - Dis 2012

by
JAWATAN:
1) Setiausaha Syarikat
2) Pegawai Keselamatan & Kesihatan Alam Sekitar
3) Pegawai Tadbir Gred N41
4) Pegawai Undang-Undang Gred L41
5) Penolong Pegawai Undang-undang Gred L29
6) Penolong Pegawai Senibina Gred J29
7) Penolong Jurutera Awam Gred J29
8) Penolong Pegawai Tadbir Gred N27
9) Setiausaha Pejabat Gred N27
10) Tukang K2 Gred R11

IKLAN JAWATAN:
http://static.jobsmalaysia.gov.my/html/jcs-resources/PKNS_2211.pdf

CARA MEMOHON:
Permohonan hendaklah dibuat melalui Laman Web JobsMalaysia (Kementerian Sumber Manusia) di :http://www.jobsmalaysia.gov.my

Tarikh Tutup : 10 Disember 2012

Jawatan Kosong di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) - Nov 2012

by
JAWATAN:
1. ARKITEK LANDSKAP
2. PEGAWAI TADBIR
3. PEGAWAI VETERINAR
4. PENOLONG JURU UKUR BAHAN
5. PENOLONG PEGAWAI KESIHATAN PERSEKITARAN
6. PEMBANTU TADBIR (KESETIAUSAHAAN)
7. PEMBANTU PENILAIAN W17

IKLAN JAWATAN:
http://www.mps.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=91c1fbc8-4183-4f09-b198-2a5a3e20d412&groupId=320862

BORANG PERMOHONAN:
http://www.mps.gov.my/c/document_library/get_file?p_l_id=22214&folderId=176044&name=DLFE-4201.pdf

Tarikh Tutup : 7 Disember 2012

Jawatan Kosong di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - Dis 2012

by
JAWATAN:
1. ARTIS BUDAYA B17
2. PEMBANTU SETIAUSAHA PEJABAT N17
3. PEMBANTU PERPUSTAKAAN S17
4. PEMBANTU TADBIR (KEWANGAN) W17

IKLAN JAWATAN DAN CARA MEMOHON:
http://ewarga2.ukm.my/eiklan/peluangkerja.cfm

Tarikh Tutup : 11 Disember 2012


Jambatan Kedua Pulau Pinang Dijangka Siap September 2013

by

Pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang berjalan lancar dan dijangka siap pada September tahun depan, kata Pengarah Urusan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), Datuk Dr Ismail Mohamed Taib.

Beliau berkata, kerja-kerja fizikal untuk jambatan itu kini 88.5 peratus siap dan disasarkan untuk mencapai 90 peratus pada akhir tahun ini.

"Kami berada pada kedudukan yang betul untuk menyiapkan jambatan ini tahun depan, dua bulan lebih awal daripada jadual, pada September tahun depan," kata beliau pada sidang media pada Seminar Antarabangsa Kedua mnegenai Reka bentuk dan Pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Ismail berkata, kos pembangunan untuk pembinaan jambatan baru itu ialah RM4.45 bilion.

Unjuran trafik bagi jambatan tersebut adalah sebanyak 25,000 pengguna setiap hari, katanya.

"Ia akan mengambil masa yang lama (untuk mendapatkan kembali kos pembinaan). Sekurang-kurangnya 20 tahun. Tetapi kami cuba untuk menjimatkan wang dalam kospembinaan dan kewangan.

"Kami tidak mahu menyusahkan kerajaan. Seboleh-bolehnya kami cuba berdikari," kata beliau.

Jambatan Kedua Pulau Pinang akan menjadi jambatan tahan seismik apabila siap kelak.

Ia boleh menahan gegaran gempa bumi 8.2 Richter dengan pusat pada kira-kira 300 kilometer.

Seminar berkenaan dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Himmat Singh.

Jambatan sepanjang 24 kilometer keseluruhan, dengan 16.9 kilometer di ataspermukaan air, akan menjadi jambatan terpanjang di Asia Tenggara apabila siapkelak.

Jambatan itu juga akan menjadi jambatan terpanjang di dunia yang mengaplikasikan penggunaan Bearing Getah Redaman Tinggi (HRDB) dalam pembinaannya.

Seminar antarabangsa selama dua hari itu bermula hari ini, dianjurkan bersama oleh JKSB dan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Seminar tersebut melibatkan 13 kertas kerja teknikal mengenai reka bentuk dan pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

- BERNAMA

KWSP hadkan caruman maksimum sukarela

by
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengenakan had maksimum RM60,000 setahun kepada semua caruman sukarela termasuk caruman di bawah Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia, mulai 1 Januari 2013.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP, Datuk Ibrahim Taib dalam satu kenyataan hari ini berkata, ahli yang mencarum secara sukarela ini boleh mencarum serendah RM50 sebulan.

"Caruman sukarela dalam konteks KWSP merujuk kepada caruman diterima daripada golongan bekerja sendiri, pemilik tunggal perniagaan, rakan kongsi atau mereka yang tiada pendapatan tetap bulanan termasuk suri rumah,” katanya.

Menurut beliau, caruman boleh dibayar secara tunai atau cek menggunakan Borang KWSP 6A(1) untuk caruman sukarela dan Borang KWSP 6A(2) bagi Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia.

"Kedua-dua borang tersebut boleh didapati di cawangan KWSP yang terdekat atau boleh dimuat turun dari laman web myEPF di www.kwsp.gov.my,” katanya.

Maklumat lanjut juga boleh diperoleh dengan menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-8922 6000 atau mengunjungi cawangan KWSP berdekatan.

— BERNAMA

Kepemimpinan Islam mesti berlandas takwa

by
Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Pemimpin yang baik sentiasa ingin berkhidmat dan berkorban demi kebahagiaan rakyat yang dipimpinnya dan tidak sekali-kali mengutamakan kepentingan dirinya, keluarga mahu pun kerabat terdekatnya.

Lebih daripada itu, Rasulullah SAW bersabda: “Pemimpin sesuatu bangsa pada hakikatnya adalah pelayan bagi bangsa itu.” (Riwayat Abu Na’im dan Ibnu Babuwaih)

    Kekuasaan dan amanah kepemimpinan jika tidak dilandas ketakwaan kepada Allah dan kesedaran bahawa kuasa adalah amanah Allah, maka dia cenderung berlaku zalim, sombong serta menindas rakyatnya”


Sehubungan itu, memadailah Rasulullah SAW dan Khulafa al-Rasyidin sebagai contoh ikutan terbaik dalam konteks kepemimpinan unggul dalam lipatan sejarah Islam. Rasulullah SAW sendiri seorang pemimpin yang mengambil berat kebajikan rakyatnya dan sanggup berkorban demi rakyat.

Pernah satu hari, Saidatina Aisyah kebingungan untuk menyediakan hidangan makanan untuk dimakan bersama Baginda. Di dapur tidak ada apa-apa kecuali segenggam gandum. Akhirnya, gandum yang sedikit itulah dimasaknya untuk hidangan bersama Rasulullah.

Tatkala Rasulullah SAW hendak makan, tiba-tiba datang seorang lelaki kurus mengucapkan salam. Dia pun berkata: “Ya Rasulullah! Saya ini orang miskin. Kami sekeluarga dalam beberapa hari ini menahan lapar kerana tidak memiliki apa-apa lagi untuk dimakan. Oleh itu, tolonglah kami.”

Rasulullah hanya terdiam dan tidak tahu bagaimana harus menjawab kerana Baginda sendiri tidak memiliki apa-apa. Akhirnya Baginda berkata: “Wahai saudaraku! Aku pun hari ini tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan kecuali sekeping roti bakar. Namun, kalau kamu mahu menerimanya, dengan senang hati akan aku berikan kepadamu.”
Saidatina Aisyah tidak senang hati kerana tidak ada makanan lagi yang dapat mereka berdua makan pada hari itu. Lalu Aisyah berkata: “Mengapa Rasulullah lebih mementingkan orang lain daripada diri sendiri?” Baginda menjawab: “Wahai isteriku! Aku adalah pemimpin rakyatku. Kewajipanku adalah memberikan layanan dan perkhidmatan terbaik kepada mereka. Ingatlah, bagaimana aku harus menjawab apabila kelak Allah bertanya kepadaku: ‘Wahai Muhammad! Mana tanggungjawabmu sebagai pemimpin? Mengapa rakyatmu kelaparan sedangkan perutmu selalu kenyang?’”

Seorang pemimpin berkewajipan memberikan layanan dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang berada di bawah pimpinannya. Pendek kata, kebahagiaan dan kesengsaraan rakyat adalah cermin kejayaan atau kegagalan pemimpin.

Keadaan ini berbeza dengan realiti masyarakat dewasa ini yang rata-rata ramai manusia yang tertipu dengan kekuasaan sehingga mereka sanggup berusaha untuk mendapatkannya dan meraihnya dengan pelbagai cara.

Kadang-kadang menyembunyikan agama, keyakinan, dan tidak kurang pula ada yang sanggup mempermainkan agama demi kepentingan politiknya. Sedangkan Rasulullah SAW pernah memberi peringatan keras bermaksud: “Sesungguhnya kalian semua berlumba-lumba untuk mendapatkan kekuasaan padahal pada hari akhirat nanti akan menjadi penyesalan kamu sekalian. Berbahagialah orang yang tidak mengejarnya dan celakalah orang yang berlumba-lumba mendapatkannya.” (Riwayat Jama’ah)

Kekuasaan dan amanah kepemimpinan yang dimiliki seseorang manusia jika tidak dilandas dengan ketakwaan kepada Allah dan kesedaran bahawa kuasa adalah amanah dari Allah, maka dia akan cenderung berlaku zalim, sombong serta menindas rakyatnya.

Oleh sebab itulah, Rasulullah SAW memberi amaran keras kepada umatnya supaya jangan tersalah memilih pemimpin daripada kalangan mereka.

Sabda Baginda SAW: “Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran.” Seorang sahabat bertanya: “Apakah yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu, wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab: “Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang tidak berkelayakan, maka tunggulah saat kehancurannya.” (Riwayat Bukhari)

Kepemimpinan dalam Islam bukan sekadar kontrak perjanjian yang termeterai antara seorang pemimpin dengan masyarakat di bawah pimpinannya, tetapi satu ikatan perjanjian yang suci antaranya dengan Allah.

Seorang pemimpin yang sebenar akan berkhidmat kerana Allah dan akan berjuang menegakkan keadilan Islam demi kesejahteraan hidup rakyatnya.

- BERITA HARIAN

Tiada pengambilan guru sandaran

by
KEMENTERIAN Pelajaran memaklumkan tidak ada pengambilan baharu bagi jawatan guru sandaran sepanjang tahun ini manakala pelantikan guru tetap pula hanya dibuat berdasarkan keperluan pengisian serta kekosongan jawatan.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran, Datuk Mohd. Ghazali Ab. Rahman berkata, pihaknya perlu meneliti secara terperinci di peringkat proses temu duga calon guru sebelum diserapkan ke dalam profesion perguruan.

Menurutnya, selain mempunyai pencapaian akademik cemerlang, calon guru yang ditemu duga pada masa depan wajib memenuhi kriteria bersikap patriotik dan berperwatakan sesuai.

“Misalnya, kita hanya memilih 30 graduan terbaik daripada 10,000 permohonan guru, itu pun setakat kita tawarkan temu duga dan bukannya tawaran kemasukan jawatan guru,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya dekat Putrajaya baru-baru ini.

Tegas Ghazali, langkah berhati-hati yang diambil itu bertujuan membetulkan persepsi masyarakat yang beranggapan profesion perguruan sebagai pilihan kerjaya terakhir setelah pelajar tamat pengajian.

“Sepanjang proses temu duga ini berlangsung, kita akan mengambil langkah penambahbaikan pengambilan guru bagi memastikan keperluannya menepati matlamat guru cemerlang seperti dihasratkan oleh kerajaan.

“Kita mahu menjadi seperti negara-negara maju lain yang mana pelajar mereka menjadikan profesion perguruan sebagai kerjaya utama mereka selain bidang kejuruteraan dan perubatan," ujarnya.

Beliau menambah, pengalaman pengambilan guru sebelum ini menjadi contoh terbaik kepada kementerian untuk melakukan proses penambahbaikan.

Hal ini demikian kerana, ujarnya, sebelum ini, sebahagian calon guru yang mempunyai kelayakan akademik yang cemerlang namun gagal memberikan jawapan terbaik apabila disoal mengenai keperluan profesional perguruan.

Sehubungan itu menurut Mohd. Ghazali, pihaknya perlu berhati-hati dan melakukan proses temu duga yang teliti semata-mata memastikan calon guru memenuhi piawaian dan keperluan pembelajaran dari semasa ke semasa.

Pada masa yang sama, katanya, kementerian akan memastikan pengambilan guru pada masa depan adalah mereka yang memiliki imej guru cemerlang dan mempunyai semangat patriotik tinggi, seterusnya menjadi ikon kepada pelajar.

Sementara itu, menurut kenyataan akhbar Unit Maklumat kementerian, tiada pengambilan pelantikan terbaharu Guru Sandaran Terlatih (GST) dan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).

Jelas kenyataan tersebut, prosedur pelantikan guru melalui kaedah pelantikan secara tetap selepas calon lulus urusan temu duga jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 ditentukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

- UTUSAN

Terapi cari jodoh

by
DI katakan pada zaman sekarang, masih ramai di kalangan wanita yang masih belum bertemu jodoh.

Mungkin atas faktor kesibukan kerja, pendapatan yang tinggi serta tidak berjumpa pasangan yang diingini, ini sepatutnya tidak menjadi alasan kepada golongan ini untuk tidak mencuba mencari pasangan yang sesuai.

Masalah tidak mendapat jodoh ini sebenarnya bukan tertakluk kepada wanita sahaja, sebenarnya ramai di kalangan lelaki juga mengalami masalah yang serupa.

Akibat terlalu pemalu, pergaulan yang terbatas, malah tidak mengetahui bagaimana untuk mendapatkan bakal isteri yang sesuai, golongan lelaki pun sepatutnya perlu mendapatkan nasihat bagaimana untuk berkenalan dengan wanita yang baik.

Menurut Penasihat Program Jodoh Annabella House of Theraphy, Suhana Ahmad Marzuki, biasanya mereka yang datang ke pusat terapi ini untuk meminta bantuan bagi mendapatkan jodoh berusia dalam lingkungan 30-an ke atas iaitu wanita dalam lingkungan 30 tahun dan lelaki pula 35 tahun.

Malah, yang mencari jodoh ini tidak hanya tertakluk kepada mereka yang masih bujang sahaja, malah ia juga terbabit kepada mereka yang berstatus janda dan duda.

''Faktor kesepian adalah punca utama mengapa mereka yang berusia 30-an ini bergegas untuk mencari pasangan masing-masing.

''Mungkin pada asalnya kita melihat wanita atau lelaki yang berusia ini senang dengan keadaan yang mereka lalui, tetapi lambat laun perasaan sunyi akan datang kepada mereka. Ada yang melaluinya dengan tenang, tetapi ada yang tidak.

''Selain itu desakan keluarga dan ibu bapa juga antara faktor mengapa mereka akur untuk mencari pasangan," katanya yang juga mempunyai ijazah dalam bidang psikologi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menurut Suhana, selalunya mereka yang berdepan dengan isu kesukaran mendapatkan pasangan ini apabila mereka meletakkan kedudukan dalam satu statement yang negatif pada minda bawah sedar mereka.

Mungkin mereka berasakan kurang keyakinan diri, menganggap diri tidak cantik terlalu memilih, trauma dengan kisah masa lalu atau ibu bapa dan keluarga yang terlalu memilih.

''Apabila sampai ke tahap ibu bapa pemilih menyebabkan siapa sahaja pilihan anak-anak tidak mendapat tempat di hati kerana asyik melihat ada sahaja yang tidak kena pada mata mereka," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Suhana, menerusi sesi terapi minda yang dijalankan di Annabella House of Theraphy membantu menghapuskan pemikiran negatif pada minda dan cuba mendekatkan individu berkenaan pada keadaan yang bersesuaian dengan mereka.

''Di pusat terapi ini, kita sendiri telah mempunyai data-data daripada pelanggan kita. Dari situ kita akan perhalusi satu persatu untuk mempertemukan mereka dan cuba mengikut kriteria yang individu itu mahukan yang telah kita ketahui menerusi terapi sharing yang di jalankan.

''Terapi sharing ialah langkah pertama yang dilakukan oleh pusat terapi ini untuk mencungkil masalah atau perkara yang dipendamkan selama ini kerana terlalu malu untuk meluahkannya.

''Jika pada sesi pertama nampaknya masalah itu ternyata agak berat, individu akan disyorkan untuk datang ke sesi terapi buat kali kedua dan seterusnya jika didapati individu itu agak tertekan, pusat terapi akan mencadangkan untuk melakukan sesi terapi minda kepada pelanggan berkenaan," katanya.

Menerusi terapi minda ini katanya, pihaknya akan mengetahui lebih lanjut mengenai masalah yang dihadapi dengan cara scanning dan kemudian cuba memadam atau memformatkan kembali memori lampau di minda bawah sedar client ini satu persatu sambil cuba mengisi bayangan yang positif.

Seterusnya kata Suhana, selepas terapi ini, pasangan akan dipertemukan dengan individu yang dicadangkan di pusat itu dengan dipantau oleh seorang ustaz atau ahli panel pusat terapi.

Sepanjang sesi suai kenal berlangsung, pusat terapi ini boleh menjadi pusat rujukan sekiranya sepanjang perkenalan pasangan menghadapi masalah.

Jelas Suhana selepas lebih dua tahun program berkenaan dijalankan di pusat terapi itu, kira-kira 90 peratus pasangan yang dipertemukan berjaya mengenali hati budi masing-masing dan sudah pun mendirikan rumah tangga.

Setakat ini katanya, ramai yang telah berdaftar dengan pusat terapi berkenaan untuk cuba menanti mendapatkan pasangan yang sesuai.

Bagi mereka yang mahu mencuba, dapatkan perkhidmatan program pencarian jodoh di Annabella House of Theraphy yang terletak di Prima Saujana Kajang atau hubungi talian 03-87500213 atau layari www.annabella.com.my untuk pertanyaan lanjut.

- UTUSAN

Kentut termahal di dunia

by

BAU kentut yang pekat pasti meloyakan tekak sesiapapun termasuk seorang warga Sweden, Göran Andervass.

Namun, lelaki pendiam yang berumur 53 tahun ini berjaya mendapatkan pampasan sebanyak AS$100,000 (RM305,832) hanya kerana dia tidak tahan dengan bau kentut seorang pelanggannya.

Jurukomputer Bank Sweden itu dalam satu perbicaraan di mahkamah pada 2003 memberitahu, seorang pelanggan bank membuang angin semasa mereka mengadakan perbincangan tetapi bau yang amat busuk mencetuskan satu pertengkaran.

Peristiwa itu bukan sahaja menarik perhatian rakan sekerjanya tetapi pengurus bank bertugas.

Andervass dan pelanggan yang juga seorang lelaki itu kemudian dipanggil ke bilik majikannya untuk menjelaskan apa sebenarnya yang telah berlaku.

Malangnya, pelanggan itu berkeras mengatakan dia tidak kentut. Hasilnya, Andervass dipecat dengan alasan sengaja mereka cerita.

Namun, lelaki ini tidak berpuas hati dan menuntut gantirugi di mahkamah. Hakim mengarahkan majikan Andervass membayar gantirugi sebanyak RM305,832 kerana memecatnya tanpa alasan yang kukuh.

Lain pula halnya yang berlaku di Florida, Amerika Syarikat (AS).

Kentut kambing

Seorang pelajar sebuah sekolah digantung daripada menaiki bas sekolah selama tiga hari gara-gara melepaskan kentut yang amat busuk.

Kejadian pada Mac 2009 itu menyebabkan pemandu bas berkenaan mengisi satu borang kelakuan tidak senonoh dengan mendakwa tindakan remaja berusia 15 tahun itu turut menyebabkan pelajar lain sesak nafas di dalam bas.

Pegawai sekolah Polk County, Florida berkata, kesalahan kentut tidak digariskan dalam peraturan, namun kentut menyebabkan kekacauan di dalam bas tertakluk dalam peraturan.

Bagaimanapun pelajar terbabit menafikan dakwaan itu dan mengatakan bukan dia yang melepaskan angin.

Kes-kes lucu berkaitan melepaskan kentut turut membabitkan haiwan.

Di Sydney, Australia, seorang penternak membuat panggilan kecemasan setelah terhidu 'gas bocor' namun sangkaannya meleset setelah diberitahu ia adalah bau kentut babi peliharaannya.

Seramai 15 anggota dan dua jentera bomba dikerah ke ladang yang terletak di Axedale, Victoria.

"Kami menjumpai seekor babi betina bersaiz besar dengan anggaran berat 120 kilogram. Kami percaya gas bocor itu datang daripada babi tersebut.

"Walaupun tidak terhidu gas tersebut kami dapat mendengar bunyi kentut keluar dengan jelas, lucu sungguh," kata pegawai bomba, Kapten Peter Harkins.

Tambahnya, pemilik babi tersebut kelihatan malu manakala petugas bomba mengambil masa untuk menenangkan diri.

"Kami menangani kes itu dengan profesional tetapi kami ketawa terbahak-bahak sebaik tiba di balai," kata Harkins.

Di New Zealand, para penternak ladang perlu membayar ganti rugi kepada negara dalam bentuk cukai setiap kali ternakan mereka khususnya lembu membuang angin.

Ia menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan para penternak. Dakwa penternak, apalah salahnya jika lembu melepaskan kentut.

"Kentut merupakan satu perkara yang sudah menjadi lumrah semua kehidupan," kata salah seorang penternak.

Sekeras mana pun bantahan yang disuarakan, kerajaan Wellington telah pun menguatkuasakan undang-undang pelik itu.

Kentut cegah kanser

Peraturan itu merupakan sebahagian daripada agenda kerajaan bagi memenuhi komitmen di bawah Protokol Kyoto.

Menerusi perundingan itu, New Zealand bersetuju untuk mengurangkan pemanasan global.

Salah satunya ialah meminimumkan pengeluaran gas metana. Metana (CH4) dibebaskan semasa penghasilan arang batu, gas asli, hidrokarbon dan daripada kentut haiwan ternakan.

Dalam satu kajian lain, kambing, lembu dan rusa menghasilkan sejumlah besar gas metana melalui kentut dan sendawa.

Berikutan itu, haiwan ternakan di New Zealand dipercayai menghasilkan pembebasan gas metana lebih 90 peratus.

Dianggarkan, seekor lembu akan mengeluarkan purata 350 liter metana dan 1,500 liter karbon dioksida sehari melalui kentut serta sendawa.

Seorang doktor dari Perancis pula mendakwa kentut mampu mencegah penyakit kanser.

Malah, Dr. Frederic Saldmann menyarankan kepada semua masyarakat dunia supaya memberanikan diri untuk membuang angin.

"Baik daripada mulut (sendawa) mahupun daripada 'bawah' (kentut) perbuatan itu boleh mengurangkan risiko mendapat penyakit kanser.

Beliau dalam buku tulisannya Le Grand Menage menjelaskan, gas yang terdapat dalam tubuh manusia lazimnya akan keluar melalui dua cara.

Pertama melalui mulut yang diistilahkan sebagai sendawa dan kedua daripada bawah iaitu kentut.

Saldmann menganjurkan agar semua orang boleh mengeluarkan kedua-duanya secara spontan, bila-bila masa saja yang diinginkan, tanpa menahan dan melakukannya dengan cara sembunyi-sembunyi kerana malu.

"Ini kerana, membuang gas daripada tubuh sebanyak dua liter dalam sehari merupakan satu perkara yang semulajadi serta baik untuk kesihatan.

"Jangan memandai-mandai untuk menahan kentut atau sendawa kerana ia berbahaya, terutama bagi kelangsungan usus besar," kata Saldmann.

Tambahnya, menahan udara di dalam perut secara klinikal dikenal pasti akan meningkatkan penyakit jantung.

"Gas itu juga menyebabkan organ-organ di dalam badan terjejas jika tidak dilepaskan mengikut masa yang ditetapkan," katanya.

- Agensi

2,960 graduan ISMP jadi guru

by
 Seramai 2,960 graduan Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang lulus temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) akan ditempatkan di seluruh negara mulai sesi persekolahan tahun depan.

Seramai 7,815 lagi graduan ISMP akan dipanggil untuk ditemuduga SPP dalam tempoh terdekat.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata waran perjawatan dan penempatan kepada sejumlah 2,960 graduan ISMP yang berjaya melepasi dan lulus temu duga itu kini sedang diagihkan.


Kita harap graduan ISMP berkenaan bersedia dan menyiapkan diri untuk memulakan tugas pada sesi persekolahan tahun depan menerima jawatan mereka dengan semangat tinggi untuk mendidik anak bangsa.

Waran perjawatan dan penempatan mereka sudah diluluskan dan kini giat diagihkan kepada penerima terbabit.

Proses temu duga yang membabitkan seramai 7,815 lagi baki graduan ISMP pula akan dimulakan pada bila-bila masa dari sekarang dan ia dijangka berakhir Mac depan, katanya selepas merasmikan Program Kamu Yang Cantik anjuran pelajar Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di Balai Raya Sungai Suloh, Senggarang, di Batu Pahat, semalam.

Sebelum ini, BH melaporkan seramai 10,755 graduan ISMP mengeluh berikutan masih menganggur dan belum diserapkan sebagai guru walaupun sudah menamatkan pengajian mereka.
Ia menyebabkan Kementerian Pelajaran memanggil 5,500 graduan ISMP berkenaan termasuk 4,500 lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk ditemuduga secara berperingkat bagi mengisi kekosongan jawatan guru di sekolah seluruh negara.

Kementerian juga sebelum ini dilaporkan giat mengumpul rekod terkini kekosongan guru di sekolah seluruh negara daripada Jabatan Pelajaran Negeri bagi mengisi calon graduan berkenaan.

Sementara itu, Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, seramai 63 calon graduan ISMP yang gagal dalam temu duga sebelum ini, akan dipanggil semula bagi menghadiri sesi temu duga kedua.

- BERITA HARIAN

Kerja apa selepas universiti?

by
SEJAK kecil lagi anak-anak sering ditanya, “Sudah besar nanti hendak jadi apa?”

Soalan yang sangat klise ini boleh dikatakan ditanya kepada semua kanak-kanak, baik daripada ibu bapa si kecil itu atau orang terdekat mereka.

Mengapakah soalan itu ditanya? Soalan ini antara lain untuk memberikan bayangan kepada anak-anak bahawa suatu masa nanti, mereka akan besar dan bukan selama-lamanya menjadi kanak-kanak.

Soalan ini juga seolah-olah memberitahu kanak-kanak itu bahawa apabila besar nanti, mereka perlu bekerja demi meneruskan kelangsungan hidup. Mungkin ada banyak lagi sebab lain mengikut penilaian masing-masing.


Berabad lamanya, tidak kira di mana saja, ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah demi mengubah nasib hidup dan membanggakan keluarga serta negara. Kalau tidak pun nasib ibu bapa, nasib anak itu sendiri.


Semakin moden, bukan hanya anak lelaki yang dihantar belajar tinggi-tinggi, tetapi juga anak perempuan. Kini dengan adanya sistem kelayakan, anak perempuan nampaknya lebih ramai yang menjejak kaki ke universiti. Namun kini, ada yang mengatakan menjadi lulusan universiti tidak menjanjikan apa-apa selagi empunya diri tidak berusaha meningkatkan diri untuk berjaya.

Baik lelaki atau perempuan, setelah seseorang anak itu berjaya menempatkan diri ke alam universiti, apakah harapan semua orang terhadap diri mereka?
‘Semua orang’ yang dimaksudkan ialah dirinya sendiri, ibu bapa, keluarga, orang terdekat dan ahli masyarakat secara amnya.

Tentu saja semua itu mengharapkan dia tamat pelajaran dan mendapat kerja yang baik, sekali gus dapat menyara hidupnya dan membantu keluarga.

Lulus dengan cemerlang perkara kedua. Tamat belajar dan seterusnya mendapat pekerjaan lebih utama. Itulah harapan yang menggunung tinggi.

Bagaimana sekiranya sudah lama menggenggam ijazah, tetapi belum juga mendapat kerja tetap? Jenuh mencari dan menghadiri sesi temu duga, tetapi tidak berjaya? Tentu saja kekecewaan bukan hanya melanda diri, tetapi ramai lagi pihak terbabit.

“Pelajar universiti adalah ‘bahan asas’ yang melalui proses kehidupan ketika di universiti, seterusnya ia mencorakkan masa depan kejayaan mereka mendapat kerja selepas itu. Sekiranya mereka gagal mendapat kerja, ia satu kegagalan yang menyeluruh. Mungkin kerana pensyarah, pentadbir dan industri. Mungkin kerana pelajar itu sendiri,” kata Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (ICAN), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Norsaadah Ismail.

Benar kata-kata itu. Semua pihak terbabit dalam menghasilkan pelajar yang berjaya dan kemudian mendapat kerja yang baik. Sekiranya kita menyedari hakikat berkenaan, kita tidak mudah menuding jari menyalahkan satu-satu pihak saja apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini.

“Kami melahirkan pekerja untuk industri jadi pihak industri harus membantu,” kata Dr Norsaadah.

Beliau menjelaskan, pejabat Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri & Masyarakat (JIM), UiTM ditubuhkan pada 2007. Ia berhubung rapat dengan Alumni UiTM dan kini Pejabat Timbalan Naib Canselor bertukar nama kepada Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni (JIM&A).

Pejabat JIM&A juga dikenali dengan nama singkatan ICAN dalam versi bahasa Inggeris. Visi Pejabat ICAN adalah untuk menjadikan UiTM sebuah universiti unggul yang berteraskan kesarjanaan dan kecemerlangan akademik (asas dan gunaan).

Ini bagi melahirkan golongan Bumiputera yang dinamik, berdaya saing, beretika dan bertaraf dunia dalam semua bidang. Setelah itu, graduan UiTM berjaya menempatkan diri mereka di arena pekerjaan.

“Kami tidak mahu mengecewakan pelajar, ibu bapa dan kerajaan. Inilah harapan semua orang. Apabila anak itu dihantar ke universiti, semua orang mahu dia mendapat kerja dan membantu keluarganya semula. Bagaimana setelah bertahun-tahun belajar dan bergelar siswazah, anak itu tidak mendapat kerja terutama daripada keluarga susah

yang diharap dapat mengubah nasib keluarga? Bagaimana hendak mengubah kehidupan mereka tanpa pekerjaan?” katanya.

Keadaan inilah yang dibantu ICAN. Setiap fakulti dan kampus cawangan ada petugas khas yang ditugaskan untuk melihat kebolehan pasaran graduan. Mereka mengenal pasti fakulti yang memiliki graduan bermasalah untuk mendapat kerja.

“Satu persatu kami kenal pasti punca graduan menganggur serta peratusan yang tidak bekerja berdasarkan fakulti selain kursus yang mencatatkan paling ramai graduan tidak bekerja. Kami memastikan lebih 80 peratus graduan UiTM mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pelajaran,” katanya.

Bagaimanapun, keadaan graduan yang tidak bekerja bukan semata-mata kerana mereka tidak diterima oleh pihak industri. Ada juga punca lain contohnya perkahwinan yang sering membabitkan graduan perempuan.

“Sekiranya graduan perempuan yang berkahwin, kami tidak begitu risau sebaliknya jika graduan lelaki tidak bekerja, itu yang merisaukan kami.

“Berkahwin atau tidak, graduan lelaki kena bekerja kerana mereka menyara keluarga. Tetapi ada juga graduan lelaki yang tidak bekerja makan gaji kerana mereka membuka perniagaan sendiri. Itu hal lain pula,” katanya.

Menurut Dr Norsaadah, setiap fakulti harus mengkaji sehingga ke akar umbi sebab graduan kursus mereka tidak bekerja. Sekiranya ia membabitkan kurikulum,
maka kurikulum itu harus diubah.

“Pihak kami perlu berhubung rapat dengan industri yang memerlukan pekerja. Daripada situ kami tahu apa yang mereka mahu serta boleh membuat perubahan dan penyesuaian.

“Fungsi ICAN bukanlah mencarikan kerja untuk graduan sebaliknya membantu kes tertentu. Namun dalam pada itu, kami mahu pelajar tahu sebab industri tidak
mahu mengambil mereka bekerja. Mereka harus sedar sejak awal lagi dan kesedaran ini kami jelaskan di dalam kelas sejak mereka di semester pertama.

“Baru-baru ini saya bercakap dengan pelajar tahun satu. Saya beritahu mereka jangan sangka alam universiti sebagai sambungan kepada tingkatan lima. Alam universiti ini sesuatu yang berkait rapat dengan dunia pekerjaan yang bakal mereka lalui tiga tahun lagi,” katanya.

Tambah Dr Norsaadah, Kementerian Pengajian Tinggi memang menekankan kepada pihak universiti supaya memastikan kurikulum yang ada memenuhi kehendak industri. Begitu juga kemahiran insaniah seperti kebolehan komunikasi, kerja berpasukan, keyakinan dan aspek lain yang perlu ada. Ini semua persediaan supaya pelajar tidak canggung untuk bekerja dan boleh menyesuaikan diri dengan mudah.

“Pasaran kerja tidak sekadar mencari siswazah yang lulus cemerlang, tetapi mereka juga harus ada kelebihan lain yang memikat bakal majikan. Kebolehan komunikasi dan bahasa Inggeris amat penting, begitu juga keyakinan,” katanya.

Butiran lanjut mengenai fungsi pejabat ICAN boleh diperoleh di laman http://ican.uitm.edu.my.

Pelajar wanita dominasi universiti

by


JIKA dulu, dunia wanita hanya terhad di rumah atau ceruk dapur dan ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah dianggap melanggar norma tradisi.

Peluang pendidikan terhad dan pandangan skeptikal dilemparkan masyarakat menjadi batu penghalang kepada wanita memperoleh pekerjaan baik atau menerajui sesebuah organisasi.

 Hari ini, wanita sudah membuktikan kemampuan apabila berdiri sama tinggi bersama lelaki selain mendominasi pelbagai sektor pekerjaan.

Malangnya, di tengah pengiktirafan itu masih terselit pertikaian dan pandangan skeptikal seperti tidak yakin dengan kebolehan wanita dalam melaksanakan mandat diberi.


Adakah gender menjadi penentu terhadap kemampuan wanita dalam melaksanakan tanggungjawabnya atau itu hanyalah spekulasi kosong semata-mata?


Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berkata, melunaskan tanggungjawab dan kepercayaan diberi lebih penting daripada membuat perbandingan bagi menguji kemampuan individu.

Menurutnya, alaf baru menyaksikan wanita mempunyai peluang sama rata untuk menerajui organisasi atau memegang jawatan tinggi dalam pelbagai bidang tidak terkecuali dunia pendidikan tinggi.

“Isu gender hari ini sudah tidak relevan lagi untuk mengukur kemampuan individu dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

“Jika dulu, gender mungkin menjadi syarat dalam sesuatu pemilihan, kini banyak lagi aspek ditekankan.

“Malah masyarakat kini melihat kebangkitan dan kemampuan golongan ini dalam melaksanakan tugasannya. Mereka memang berkelayakan,” katanya.

Beliau yang dilantik menerajui UIAM pada Ogos 2011 adalah Naib Canselor wanita ketiga memegang jawatan berkenaan selepas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Rafiah Salim.

Ditanya pandangan mengenai dominasi wanita sebagai ketua di institusi pengajian tinggi pula, beliau berkata, pencapaian itu amat membanggakan kerana memperoleh kepercayaan mengemudi sebuah institusi pendidikan.

“Umum mengetahui pendidikan adalah aspek penting dalam pembangunan jangka panjang negara bagi melahirkan generasi berpendidikan masa depan.

“Justeru, apabila wanita diberi mandat untuk melaksanakan proses itu, ia menunjukkan bahawa kemampuan wanita memang diiktiraf dan mendapat kepercayaan pihak yang memilih.

“Malah boleh dikatakan seperti penanda aras atau contoh bagi generasi berikutnya berusaha gigih dan menjadikan peluang membina masa depan yang baik,” katanya mengakui tiada batas sempadan bagi sesiapa yang mahu merebut kehidupan dengan nilai kejayaan.

“Hari ini kita lihat dan perlu mengakui mahasiswa wanita sudah banyak mendominasi tempat di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.
Bukankah pencapaian seperti ini amat hebat?

“Ia bagaikan isyarat dalam proses menuntut ilmu, nilai kemampuan berdasarkan gender bukan lagi ukuran.

“Inti pati kejayaan sebenar sebaliknya diukur berdasarkan semangat, usaha, kerja keras dan kemahuan untuk berjaya. Tidak mustahil langkah kejayaan seterusnya bakal menyusul,” katanya.

Malah, kejayaan ramai mahasiswa wanita yang mampu memperoleh pencapaian cemerlang saban tahun juga menjadi petunjuk bahawa sistem pendidikan negara berjaya merealisasikan sasarannya.

“Melaluinya, dapat disimpulkan bahawa negara kita memang serius mahu memartabatkan nilai sistem pendidikan dengan sentiasa membuka peluang kepada sesiapa saja. Tiada diskriminasi.

“Mereka dapat mengoptimumkan pencapaian diri dengan akses pendidikan menyeluruh tanpa halangan.

“Menerusi pencapaian mahasiswa wanita, kita yakin mereka juga dapat membantu negara melahirkan pewaris generasi disegani untuk meneruskan kesinambungan ilmu,” katanya.

Menerajui UIAM sebagai institusi yang bertaraf antarabangsa pula, katanya, bukan saja memerlukan penumpuan penuh malah sokongan pelbagai pihak bagi melaksanakan misi dirancang.

“Taraf universiti melambangkan nilai kejayaan sesebuah institusi. Bukan mudah mahu mengekal atau melonjakkan lagi pencapaiannya.

“Justeru, saya dan warga kampus lain menggalas tanggungjawab besar bagi memastikan UIAM terus unggul dan menjadi inspirasi penyebaran ilmu.

“Walaupun memegang tampuk pengurusan tertinggi, usaha memberikan kualiti pendidikan terbaik terletak atas sokongan bersama dan itulah yang kami lakukan,” katanya.

Mengulas matlamat UIAM untuk melahirkan graduan berdaya saing pula terutama di kalangan wanita, beliau berkata, setiap program ditawarkan adalah bertepatan dengan senario permintaan dunia pekerjaan semasa.

Menurutnya, walaupun masih ada pandangan mengatakan graduan wanita sukar memperoleh pekerjaan, beliau percaya setiap individu mempunyai potensi tersembunyi.

“Pandangan yang mengatakan graduan wanita tidak sehebat lelaki wajar diperbetulkan kerana semua yang dilahirkan masing-masing berpotensi.

“Menyalahkan institusi kerana menawarkan program tidak menepati permintaan juga perlu dilupuskan kerana institusi adalah gedung ilmu. Setiap yang ditawarkan ada manfaatnya.

“Malah UIAM sentiasa peka terhadap permintaan majikan. Kami berusaha sedaya upaya melahirkan graduan berkapasiti tinggi dengan program yang mempunyai nilai pasaran,” katanya optimis wanita hari ini adalah mereka yang mahu mengejar ilmu, mempunyai kemampuan tersendiri serta mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

- HARIAN METRO

1.2 juta tonton TV AlHijrah Ulangtahun Ke-2

by
BARU dua tahun penubuhan TV AlHijrah, namun stesen TV itu sudah boleh berbangga apabila penonton meningkat setiap hari yang kini berjumlah 1.2 juta hasil kajian yang dikeluarkan AC Nielson.

Biarpun siarannya belum menyeluruh hanya bersandarkan sembilan spektrum pemancar, impiannya untuk menjadi pembekal program ke peringkat antarabangsa dilihat sebagai hala tuju yang positif sejak ia ditubuhkan pada 15 November 2010.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan mahu menjadikan stesen TV tidak berbayar mendominasi industri penyiaran negara.

“Selepas dua tahun bersiaran, boleh disimpulkan stesen ini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan stesen TV tempatan sedia ada. Penubuhannya melalui inspirasi kerajaan untuk mengembangkan syiar Islam bukan saja di dalam negara, tetapi juga di luar negara.


"Jika Indonesia boleh membekalkan programnya ke stesen TV kita, kenapa tidak kita keluarkan program kerohanian untuk disiarkan di stesen TV mereka pula serta di negara lain di dunia secara sendirian ataupun bekerjasama,” katanya yang ditemui pada sidang media program khas sempena ulang tahun kedua stesen TV itu, baru-baru ini.


Hadir sama, Pengerusi TV AlHijrah, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Mereka turut mengimbas semula pencapaian dan kejayaan serta hala tuju stesen terbabit dalam program yang disiarkan secara langsung itu.

TV AlHijrah menyajikan 52 peratus program penerbitan dalaman dan 48 peratus penerbitan luar.

Mengulas mengenai kesediaan stesen itu untuk bersiaran 24 jam sehari, Jamil berkata, TV AlHijrah sudah melalui tiga fasa peningkatan waktu siaran dan sehingga kini kekal menamatkan waktu siarannya jam 12 tengah malam.

“Kami masih mengkaji adakah rasional untuk menyambung siaran bagi enam jam yang berbaki atau sebaliknya. Apa pun sehingga kini kami selesa dengan tempoh siaran yang ada dan akan hanya bersiaran 24 jam mengikut musim tertentu seperti Ramadan, Maal Hijrah dan beberapa perayaan lagi seperti yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

Pada acara itu, pelbagai perkara mengenai program yang disiarkan di stesen TV itu dibahaskan secara langsung di samping mencari program baru sebagai meraikan kejayaan dua tahun penubuhan TV AlHijrah yang dihoskan Irma Hasmie dan Amin Idris.

Tidak ketinggalan juga persembahan artis seperti kumpulan AlMawlid, SevenEightSix dan Shila Amzah.

Mengimbas kembali penubuhannya, TV AlHijrah memulakan siaran percubaan pada 1 November 2010. Kemudian dilancarkan secara rasmi pada 7 Disember 2010, bersamaan 1 Muharam 1432 Hijrah.

Pada Jun 2011, ia mula disiarkan menerusi saluran berbayar Astro (114). Terus mengikuti perkembangan teknologi terkini, TV Alhijrah juga disiarkan menerusi saluran alternatif menggunakan Unifi/Hypp TV bermula April 2012.

- HARIAN METRO

Usah benci makan sayur

by
KHASIAT sayur-sayuran memang diakui dapat membantu mengekalkan kesihatan tubuh badan. Namun, masih ramai yang membenci sumber penting ini untuk diamalkan dalam diet seharian.

Alasannya, pahit, pelik dan tidak enak lantas mereka lebih rela engasingkannya daripada hidangan sebelum hilang selera. Apapun, mereka harus menerima hakikat bahawa tubuh badan sememangnya memerlukan sayur untuk hidup sihat.


Jenis sayuran dan khasiatnya

Sayuran boleh dikelaskan ke dalam kumpulan atau keluarga biologi yang dibahagikan kepada enam iaitu menjalar, akar, cruciferous, berdaun hijau, batang dan bebawang.

Sayuran menjalar seperti timun, labu dan zucchini enak dinikmati apabila ia masih muda dan biasanya dimakan begitu saja atau dimasak. Ia mempunyai rasa manis dan pedas apabila dimakan.

Misalnya, zucchini ialah sumber serat yang baik bagi membantu mengurangkan sembelit dan memberi perlindungan daripada kanser kolon.

Zucchini mengandungi folat yang penting dalam pembahagian sel dan sintesis asid deoksiribonukleik (DNA). Selain itu, ia membantu mencegah kecacatan pada tiub saraf janin jika diambil sebelum mengandung.

Labu pula ialah sumber vitamin C dan A selain mengandungi flavanoid yang membantu melancarkan peredaran darah ke seluruh tubuh serta mencegah terjadinya penyumbatan pembuluh darah.

Ia ber�fungsi sebagai antioksidan dan membantu mengurangkan rasa sakit jika terjadi pendarahan atau bengkak pada tubuh badan. Biasanya, labu direbus dan ada juga yang gemar menjadikannya pencuci mulut.

Sayuran daripada keluarga akar seperti kentang, keladi dan keledek berbeza daripada kepekatan dan keseimbangan antara gula, kanji dan karbohidrat lain.

Jenis sayuran berkanji ini biasanya menjadi makanan ruji sebagai sumber karbohidrat di sesetengah negara seperti Afrika Barat atau kawasan tropika yang biasanya direbus dan dilenyek untuk membuat hidangan dinamakan fufu atau poi.

Kategori sayuran daripada keluarga cruciferous pula seperti kubis, brokoli serta kubis bunga berpotensi menghalang pembentukan hormon kelenjar tiroid di kalangan mereka yang kekurangan iodin menerusi kandungan goitrogen.

Jika dimasak lebih 30 minit tanpa henti, ia boleh mengurangkan jumlah sebatian goitrogen yang terkandung di dalam sumber berkenaan secara semula jadi.

Misalnya, sebanyak satu pertiga kandungan goitrogen akan dinyahaktifkan apabila brokoli direbus justeru, bagi memastikan sumber khasiatnya kekal di dalam sajian yang dimakan, ia perlu dimasak secara stim.

Sayuran hijau seperti kubis daun, bayam dan salad mengandungi zeaxantin. Bayam mengandungi vitamin C, zat besi, kalsium dan serat.

Kandungan asid folik dan serat yang tinggi baik untuk mengekalkan kesihatan. Bayam kaya dengan zat mineral seperti kalsium, zat besi dan kalium serta beta karotena.

Bayam dipercayai memberi khasiat kepada kanak-kanak, ibu yang menyusu dan mereka yang menghidap demam panas, kurang darah, mengalami pendarahan dan masalah ginjal.

Bayam tua yang direbus dan diminum dapat membantu memperbaiki kualiti penglihatan dan memperkuatkan fungsi hati.

Sayur berbatang seperti asparagus dan saderi mempunyai khasiat tersendiri.
Misalnya, asparagus ialah sumber sayuran yang rendah kalori dan natrium.

Ia juga sumber vitamin B6, kalsium, magnesium dan zink yang baik selain mengandungi serat, protein, vitamin A, vitamin C, vitamin E, asid folik, besi, fosforus dan kalium.

Selain itu, asparagus adalah sumber mineral yang baik untuk membantu meningkatkan keupayaan insulin yang membawa glukosa dari sel darah.

Biasanya, asparagus dijadikan pembuka selera atau ulam. Ia boleh dihidang melalui masakan Asia yang digoreng bersama makanan laut, dipang�gang atau dimakan mentah dan dicampur ke dalam hidangan salad.

Bebawang seperti bawang, bawang merah dan bawang putih juga mengandungi khasiat tersendiri dalam menjaga kesihatan tubuh badan.

Misalnya, bawang merah mengandungi vitamin C, potassium, serat, asid folik, kalsium, zat besi dan protein yang tinggi.

Penyelidikan mengenai khasiat bawang merah kepada kesihatan mendapati, ia mengandungi dua sebatian utama iaitu sulfur seperti allyl propyl disulfide dan flavonoid. Flavonoid dipercayai dapat membantu mengurangkan risiko kanser, penyakit jantung dan kencing manis.

Memakan bawang merah setiap hari juga boleh membantu pertumbuhan
tisu tulang dan mengurangkan risiko osteoporosis selain kandungan sulfur yang
boleh membantu kulit kelihatan muda.


Perbezaan warna sayuran

Satu cara mudah mengklasifikasikan sayuran berwarna adalah melalui warnanya.
Warna pada sayur-sayuran mempunyai manfaat tertentu untuk kesihatan kerana bahan kimia di dalamnya yang menghasilkan warna terbabit.

Sayuran putih mengandungi sulforaphane iaitu sebatian organosulfur yang boleh menjadi antikanser yang didapati secara semula jadi daripada sumber brokoli, kubis Brussel atau kubis.

Bagi kubis merah dan biru serta sayuran berwarna ungu seperti terung, ia mengandungi sumber antosianin yang membantu melindungi tubuh manusia daripada kanser, memperbaiki fungsi minda dan membantu menjaga jantung yang sihat.

Jangan takut untuk menikmati sayur-sayuran berwarna merah seperti tomato kerana ia mengandungi sumber lycopene yang boleh membantu mengurangkan risiko mendapat kanser paru-paru, prostat dan perut.

- HARIAN METRO

Membaca e-book di portal e-Sentral

by

KETIKA mula dilancarkan pada bulan September 2011 oleh syarikat Xentral Methods Sdn. Bhd., e-Sentral, buku elektronik (e-book) kurang mendapat sambutan di Malaysia kerana masih ramai yang tidak peka mengenai kewujudannya.

Rakyat negara ini waktu itu baru mengenali nama-nama portal e-book seperti Amazon Kindle, Apple iBooks dan Kobo. Melaluinya, pembaca boleh membeli dan membaca buku keluaran syarikat penerbitan dari luar negara.

Perkembangan teknologi yang begitu pesat dewasa ini secara signifikan telah membantu portal e-Sentral untuk menarik minat orang ramai yang meminati bahan bacaan e-book.

Pengarah Urusan Xentral Methods Sdn. Bhd., Faiz Al-Shahab memberitahu, e-Sentral merupakan sebuah portal yang menyediakan pelbagai jenis buku dalam bentuk e-book dan boleh dibaca terus menerusi gajet canggih pembaca.

“Menerusi portal ini, setiap pembaca perlu memuat turun aplikasi e-Sentral pada gajet mereka secara percuma. Selesai memuat turun aplikasi tersebut, pembaca akan diberikan beberapa judul buku secara percuma sebagai percubaan.

“Portal ini juga menyediakan lebih 1,700 judul buku yang pada asalnya merupakan buku yang dicetak oleh syarikat penerbitan tempatan. Syarikat-syarikat ini kemudian telah berkolaborasi dengan pihak kami untuk menjadikan buku itu dalam bentuk e-book,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Lebih murah

Aplikasi e-Sentral ternyata dekat dengan pengguna yang menggunakan gajet canggih dewasa ini kerana ia boleh digunakan pada sistem operasi IOS, Android, Cloud dan pada komputer peribadi mereka.

Format yang beroperasi pada aplikasi tersebut ialah e-pub dan ia merupakan format yang berbeza dengan format yang kebiasaannya digunakan pada e-book iaitu PDF.

Format e-pub berupaya melindungi setiap e-book pada aplikasi itu daripada diciplak atau disalin oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu, pengguna juga diberi kebebasan untuk memilih judul buku yang ditawarkan oleh portal itu.

“Setiap judul buku yang ditawarkan pada portal ini terbahagi kepada dua iaitu e-book percuma dan e-book berbayar.

“Namun, pengguna tidak perlu risau kerana e-book yang dijual menerusi portal ini jauh lebih murah daripada harga buku yang dicetak dan dijual di pasaran, malah ada yang dijual serendah RM5,” jelas Faiz.

Tambahnya, fokus utama portal berkenaan adalah untuk mempromosikan buku tempatan terutamanya buku Bahasa Melayu dalam bentuk e-book.

Pengguna tidak perlu risau mengenai langkah-langkah perlindungan pada aplikasi itu kerana seorang pengguna boleh menggunakan tiga akaun berbeza pada tiga gajet milik mereka.

Antara syarikat penerbitan tempatan yang telah menyumbangkan karya di portal itu ialah Karnadya Solutions Sdn. Bhd., Pelangi, Hijjaz Record, Marshall Cavendish dan Buku Fixi.

Tidak hanya mempromosikan buku-buku novel yang menjadi kegemaran remaja, e-Sentral juga menawarkan buku-buku ilmiah daripada syarikat penerbitan Universiti Malaya untuk dijadikan rujukan oleh golongan profesional.

“Portal ini juga memberi peluang kepada penulis-penulis bebas untuk menghasilkan karya mereka melalui e-book tanpa mengeluarkan modal untuk pencetakan.

“Ini merupakan salah satu cara untuk kami mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang penulisan negara untuk dipromosikan menerusi portal ini,” ujar Faiz.

- KOSMO!

Ratusan ribu penduduk berebut 20,000 jawatan sektor awam di China

by

BEIJING - Ratusan ribu penduduk menduduki peperiksaan perkhidmatan awam di sejumlah sekolah dan universiti bagi mengisi kekosongan jawatan pentadbiran pemerintah China semalam.

Mereka merupakan sebahagian daripada lebih 1.5 juta rakyat China yang memohon untuk menduduki peperiksaan tersebut.

Bilangan itu menunjukkan peningkatan 30 kali ganda berbanding sedekad yang lalu bagi mengisi hanya 20,000 kekosongan jawatan di sektor awam.

Peningkatan yang mendadak itu didorong oleh persepsi bahawa bekerja di sektor awam menawarkan jaminan pekerjaan.

Kebanyakan calon yang menduduki peperiksaan tersebut terdiri daripada pelajar universiti yang merupakan sebahagian daripada tujuh juta lulusan baharu yang akan memasuki pasaran kerja China pada tahun ini.

Seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Liu, 31, memberitahu bahawa beliau berharap dapat bekerja di dalam sektor awam kerana faedah yang lebih baik dan tidak perlu risau mengenai pencen dan insurans kesihatan.

Calon-calon yang lulus peperiksaan tersebut perlu menjalani proses temu duga sebelum dilantik bekerja dalam sektor awam.

- AFP
 

Rawat segera apendiks

by
RADANG apendiks bukanlah perkara asing didengari kerana rata-rata kita atau orang yang rapat dengan dengan kita pernah melalui masalah tersebut.

Berdasarkan statistik, sebanyak 16 peratus populasi dunia Barat mengalami radang apendiks dan menjalani pembedahan membuang apendiks iaitu apendisektomi.

Sehingga kini, tiada kajian yang dapat menunjukkan fungsi sebenar apendiks. Ada yang berpendapat menyatakan ia berfungsi sebagai pencegah kuman bagi kanak-kanak.

Membetulkan pemahaman umum, apendiks bukanlah penyakit. Ia merupakan bahagian pada usus besar yang berbentuk tiub bersaiz jari dan kedudukannya adalah di bahagian bawah abdomen kanan iaitu berdekatan dengan pinggang.

Sakit pada bahagian apendiks dipanggil radang apendiks yang juga dikenali sebagai apendisitis.

Radang apendiks adalah satu keadaan di mana apendiks menjadi bengkak dan bernanah berkemungkinan kerana tersumbat lalu menyebabkan berlakunya jangkitan kuman.

Tanda-tanda nyata yang sering dihadapi pesakit ialah sakit yang keterlaluan pada bahagian kanan abdomen malah sehingga demam dan muntah.

Pakar Runding Pembedahan Am, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Petaling Jaya, Dr. Jonah Azariah berkata, masalah radang apendiks menjadi semakin parah jika apendiks bocor dimana kuman akan merebak ke bahagian-bahagian lain.

"Apendiks merupakan bahagian usus besar dan sedia maklum usus besar merupakan bahagian pencernaan yang terkandung kuman yang paling teruk.

"Jika apendiks bocor, najis, nanah dan kuman yang terkandung di dalam apendiks akan merebak ke organ berdekatan malah mereka yang mempunyai masalah kencing manis akan membuatkan kuman lebih cepat merebak.

"Sebab itu pentingnya mereka yang mengesyaki menghidap radang apendiks untuk segera bertemu dengan doktor bagi menjalani rawatan susulan sama ada melalui pembedahan ataupun penggunaan antibiotik untuk mematikan kuman.

"Walaupun peratusan mereka yang meninggal dunia akibat apendisitis adalah rendah, tetapi ia masih mampu membawa maut jika lambat mengambil tindakan," ujarnya.

Terangnya, terdapat satu sahaja salur darah pada bahagian apendiks dan jika ia tersumbat, darah tidak dapat mengalir secara normal membuatkan ia bengkak, bernanah dan akhirnya bocor.

Ia sering menyerang golongan muda sekitar usia 10 hingga 30 tahun. Malah bayi juga tidak terkecuali daripada masalah tersebut.

Apendisitis penyakit bandar? Walaupun tiada punca nyata menyatakan bagaimana masalah apendiks berlaku, Dr. Jonah berpendapat ia diakibatkan daripada corak pemakanan yang tidak sihat dan kuman daripada makanan serta minuman.

Ini kerana, apendiks berada pada usus besar dan semestinya ia merupakan kawasan pemprosesan makanan dan pencernaan.

"Orang di bandar banyak yang makan di luar di mana kita tidak tahu tahap kebersihan makanan yang dimasak.

"Malah, apendiks turut sering menyerang pelajar yang tinggal di asrama.

"Ketika saya bertugas di kawasan luar bandar, jumlah kes masalah apendiks amat kurang daripada di bandar besar," ujarnya yang pernah bertugas di batu Pahat, Johor.

Selain itu, corak pemakanan yang tidak teratur dan tidak seimbang berkemungkinan menjadi punca radang apendiks.

Mereka yang kurang mengambil air putih, sayur-sayuran dan mengalami masalah penghadaman lebih mudah mengalami masalah tersebut.

Simptom apendisitisSimptom radang apendiks pada awalnya sering disalah tafsir sebagai sakit perut biasa atau angin memandangkan ia sering menyerang di bahagian perut di sekitar pusat.

Selalunya, sakit tersebut semakin kuat satu hingga dua hari kemudian dan ia berpindah dari perut ke bahagian kanan abdomen.

Keadaan bertambah buruk jika pesakit turut mengalami simptom lain seperti demam, cirit-birit tetapi najis tidak banyak, muntah, tiada selera makan dan semestinya badan lemah.

Jika apendiks sudah bocor, pesakit akan berasa sakit di seluruh badan terutamanya perut dan demam kuat.

"Kadang-kadang pesakit menyangka ia hanyalah sakit perut biasa lalu pergi mengurut di mana ia akan lebih memburukkan keadaan kerana apendiks yang bengkak mampu pecah jika ditekan kuat.

"Apa yang penting jangan memandang remah sakit di perut terutamanya di bahagian kanan dengan segera bertemu dengan doktor," ujarnya.

Namun ujar Dr. Jonah, ada kes di mana kanak-kanak mendapat simptom seperti radang apendiks tetapi sebenarnya ia adalah demam virus.

Ini kerana apendiks turut mempunyai kelenjar yang akan membengkak apabila demam teruk dan rawatannya berbeza dengan apendisitis.

- MINGGUAN MALAYSIA

Tanda rezeki itu berkat

by
KEBERKATAN rezeki adalah antara perkara utama yang mesti dititikberatkan dalam hidup. Rezeki bukan sekadar wang, harta, makanan dan minuman. Sebaliknya jodoh, anak, pangkat, nama baik, kedudukan dan sebagainya juga boleh disebut sebagai rezeki. Namun dalam artikel kali ini saya merujuk rezeki kepada pendapatan yang kita perolehi sama ada dengan bekerja sendiri, mengambil upah atau makan gaji. Rezeki yang dicari dan diusahakan itu pula dibawa pulang ke rumah untuk diberi makan anak isteri. Ada orang memandang ringan akan isu keberkatan rezeki ini. Pada mereka ia hanya isu kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Mereka ini tidak sedar wujudnya kaitan langsung antara keberkatan rezeki dengan nasib, kualiti perhubungan, kejayaan anak-anak, dan segala aspek kehidupan..

Ada beberapa sebab yang boleh menyebabkan rezeki tidak berkat. Pertama, kerana ia jelas datang dari sumber pendapatan yang haram seperti berjudi, rasuah, mencuri, menipu, nombor ekor, pelaburan haram dan seumpamanya. Namun, ada yang tidak menyedari bahawa secara halus rezeki itu boleh hilang keberkatan apabila kita yang dibayar upah atau digajikan untuk melakukan sesuatu pekerjaan, atau memikul sesuatu tugasan tetapi tidak melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Sebaliknya apa yang berlaku ialah pelbagai masalah di tempat kerja seperti curi tulang, datang lewat, malas, kerja tidak mencapai kualiti, melakukan kerja lain sewaktu dalam masa bekerja, main-main, dengki, irihati dan seumpamanya.

Oleh itu eloklah dalam artikel kali ini kita lihat apakah antara tanda-tanda keberkatan rezeki bagi membolehkan kita sama-sama melakukan audit diri atau muhasabah.

* Hati semakin dekat dengan Allah dan Jiwa Tenang

Tanda-tanda yang pertama bahawa rezeki itu berkat ialah hati semakin dekat dengan Allah. Kita bukan sahaja menjaga solat lima waktu sebaliknya ditambah dengan amalan-amalan sunat. Mulut juga sentiasa berzikir dan suka pula membaca dan menelaah al-Quran.

* Pemurah

Kita mudah untuk memberi sedekah dan menunaikan zakat.

* Jauh daripada kejahatan manusia dan bala

Kalau kita datang lambat, malas, kerja tidak bersungguh-sungguh, hasil kerja tidak berkualiti dan sebagainya, majikan akan menegur, menasihati dan mungkin mengambil tindakan. Namun, gaji penuh tetap diberikan. Majikan tidak pernah mengaudit gaji kita. Misalnya, katalah gaji kita ialah RM1500 sebulan. Disebabkan kita malas maka majikan bayar RM1200 sahaja. Sebabnya, RM300 ringgit itu dipotong atas sikap malas kita itu. Sebaliknya, apabila kita malas, majikan tidak pernah memotong gaji bulanan kita. Namun, kita lupa bahawa Allah menjalankan auditnya. Maka Allah tarik sebahagian rezeki itu dengan pelbagai ujian dan masalah dalam hidup yang datang bertimpa-timpa seolah-olah kita memang bernasib malang. Bulan ini telefon bimbit hilang, bulan depan kereta pula dipecah orang. Kalau begitulah keadaannya maka eloklah kita audit gaji yang diterima setiap bulan sebab bimbang kalau-kalau itulah punca kepada segala masalah tersebut.

* Keluarga harmoni dan anak-anak cemerlang

* Sentiasa merasa cukup dan syukur

- UTUSAN

Buku : Perang Arab Israel Selagi Belum Kiamat

by

ISBN-13: 978-967-366-152-7

Jumlah Muka Surat : 232

Kategori: Islam, Perundangan & Shariah,Politik & Sejarah

Penerbit: PTS Islamika Sdn Bhd

"Palestine bukan milikku, bukan milik bangsa Turki tetapi milik bangsa Arab. Baitul Maqdis pula bukan milik bangsa Arab tetapi milik umat Islam seluruhnya. Aku tidak akan sesekali menyerahkan bumi Palestine walaupun sejengkal setelah bangsaku berjihad bermati-matian mempertahankan dan menyuburkan tanahnya dengan darah-darah mereka. Simpanlah wang kamu yang berjuta ringgit itu kerana sekiranya suatu hari nanti Khilafah Islamiyah ini tumbang, kamu boleh mengambilnya tanpa sebarang wang tukaran. Adapun, sekiranya aku masih hidup, aku lebih rela diriku dicincang daripada melihat bumi Palestine dikeluarkan dari Daulah Islamiyah dan perkara itu selama-lamanya tidak akan berlaku. Adakah kami akan membenarkan diri (Wilayah-wilayah takluk Kerajaan Turki Uthmaniyah) kami ini semua dipisah-pisahkan sedangkan kami masih hidup?!"
(Sultan Abdul Hamid II pada tahun 1901 ketika ditawarkan oleh Tiodore Hertzel (Ketua Pertubuhan Zionis Antarabangsa dan antara pemimpin tertinggi freemasonry). Dipetik daripada kitab Kaifa Saqatot al-Khilafah al-Islamiyah, halaman 26)

Selepas Turki Uthmaniyah kalah dalam Perang Dunia Pertama (1914–1918), British yang menguasai tanah jajahan Turki Uthmaniyah (termasuk Palestine) mengisytiharkan Perisytiharan Balfour pada tahun 1917 dengan mengiktiraf negara Israel tanpa menafikan hak-hak sivil dan agama masyarakat bukan Yahudi di Palestin. Sejak dari itu, seramai 85,000 orang Yahudi sudah pun bermastautin di Palestin. Pada tahun 1947, UN Partition Resolution (GA 181) membahagikan tanah Palestine dengan 4,700 batu kepada 1.35 juta penduduk Arab Palestine manakala 5,300 batu kepada 630 ribu pendatang Yahudi. Pembahagian yang jelas berat sebelah mencetus Perang Arab-Israel 1947 dan PerangArab-Israel 1948.
Buku ini mendedahkan:

    Faktor kekuatan tentera Israel yang memenangi Perang Arab-Israel 1947-1948,Perang Suez 1956, dan Perang Enam Hari 1967, Perang Yom Kippur 1973
    Faktor kelemahan tentera gabungan Arab yang mendorong kekalahan kepadaIsrael.
    Strategi yang digunakan oleh kedua-dua pihak.
    Perjanjian Camp David: Sebab dan kesan ke atas Palestine dan Negara-NegaraArab di sekitarnya.
    Konflik Israel-Lubnan (1978-2006): Harapan buat Negara-Negara Islam?
    Palestine: Kesengsaraan, bantuan Luar dan harapan masa depan.

Sabaruddin Hussein adalah penulis, penterjemah dan pengkaji sejarah dan konspirasi berkaitan dengan agenda Yahudi. Beliau menulis buku Agenda Yahudi Menakluk Dunia dan Konspirasi Yahudi: Perang & Penaklukan.

Pendahuluan

BAB 1: Palestin Pada Awal Kurun Ke-20 dan Pertumpahan Darah Bermula

Pertumpahan Darah Bermula

Campur Tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu: Seperti Tikus Membaiki Labu

Perang Arab-Israel I (1947)

Arab Legion Army (ALA): Pembela Nasib Palestin

Kronologi Perang 1947 Sehingga Ambang Perang Kemerdekaan

BAB 2: Perang Arab-Israel II (Perang Kemerdekaan - 1948)

Perisytiharan Kemerdekaan

Perang Bermula

Langkah Strategik Ben Gurion

Taring Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Pembunuhan Perunding Damai PBB

Semangat yang Kian Pudar

Kronologi Perang Kemerdekaan 1948 Impak Peperangan Arab-Israel I&II

Profil David Ben Gurion

Manusia Tanpa Ehsan

BAB 3: Perang Arab-Israel III (Perang Suez - 1956)

Terusan Suez Mencetuskan Krisis

Protokol Sevres

Operasi Kadesh: Strategi Serangan Israel Israel Memulakan Gerakan Tentera Darat

Pertempuran Udara

Tentera Laut Mesir Tenggelam dengan Mudah

Serangan Ke Atas Suez oleh British dan Perancis

Reaksi Antarabangsa

Tekanan Kewangan

Kesan Perang 1956

BAB 4: Perang Arab-Israel IV (Perang Enam Hari – 1967)

Memberi Kepercayaan kepada Pihak yang Salah

Para Pemimpin Bertikam Lidah

Analisis Kekuatan Tentera

Kegagalan Mengenal Pasti Kekuatan Musuh

Punca Kekalahan

Serangan ke atas Bukit Gholan

Kronologi Perang 1967

Mesir dan Syria Diaibkan

Akibat Melupakan Islam

Profil Jamal Abdel Nasser – Presiden Mesir Kedua (1922–1970)

Dasar Luar Mesir Di Bawah Jamal Abdel Nasser

Impian Menjadi Pemimpin Dunia Arab

Nasser dan Campur Tangan di Yaman

BAB 5: Perang Arab Israel V (Perang Yom Kippur – 1973)

Langkah Awal Anwar Sadat

Amerika Syarikat dan Israel Tersalah Perkiraan

Api Peperangan Semakin Membara

Perang & Pengkhianatan

Selepas Perang & Kesan Perjanjian Damai

Profil Anwar Sadat (1918 – 1981)

Perang Yom Kippur: Permainan Korporatis Yahudi

Pembunuhan Sadat

BAB 6: Konflik Israel-Lubnan (1978–2006)

Kemunculan Hizbullah: Singa Lubnan Selatan

Perang Hizbullah-Israel (2006)

Israel Dihina Melalui Perjanjian Damai

Gaza: Tragedi Kemanusiaan Terburuk Pernah Disaksikan Dunia

Kekejian yang Disokong Amerika Syarikat

BAB 7: Kemusnahan Berleluasa Akibat Elemen Yahudi

Perancangan Jangka Panjang Yahudi Melalui NATO

Internet Sebagai Media Pencetus Kekacauan

Rangkaian Laman Sosial

Iktibar Di Sebalik Sejarah Persengketaan Arab-Israel

Kisah Yasser Arafat

Buku ini boleh dibeli di: http://www.bookcafe.com.my/en/islam-and-spiritual/perang-arab-israel-selagi-belum-kiamat-en.html
 

FAKTOR PENTING PENILAIAN KERTAS CADANGAN PEMBIAYAAN PERNIAGAAN

by
Mari kita lihat apakah faktor penting yang dinilai oleh bank dalam kertas cadangan yang dikemukakan untuk pembiayaan perniagaan.

Pertama sekali, usahawan perlu:-

* "Memperkenalkan diri" kepada bank dengan menyediakan profil ringkas tentang jenis perniagaan usahawan, termasuk memberikan keterangan tentang produk, perkhidmatan dan teknologi yang akan digunakan dan juga sejarah ringkas perusahaan tersebut.

* Penerangan mengapa anda memerlukan pembiayaan, dan pada masa yang sama membolehkan bank mendapatkan maklumat lanjut tentang jenis perniagaan yang diusahakan oleh usahawan terbabit.

Ia adalah sebahagian daripada proses bank untuk membuat keputusan sama ada untuk memberikan pembiayaan atau tidak.

* Selain daripada jenis perniagaan, pengalaman dan kelayakan pengarah dan juga rakan kongsi, pemilik dan kakitangan pengurusan kanan juga adalah maklumat penting lain yang perlu dimaklumkan di peringkat awal kepada bank.

Ia kerana bank sudah tentu ingin tahu jika pasukan pengurusan kanan syarikat layak mendapat pembiayaan dan menentukan sama ada mereka adalah individu yang boleh dipercayai. Maka, langkah pertama yang boleh diambil ialah menyediakan carta organisasi untuk tatapan bank.

Selain daripada jenis perniagaan dan maklumat mengenai kakitangan pengurusan kanan, satu lagi unsur penting yang perlu dimasukkan dalam kertas cadangan kepada bank ialah sebab syarikat memerlukan pembiayaan.

Tujuan permohonan perlu dinyatakan, di samping bagaimana pembiayaan yang diperoleh akan digunakan dan kemudahan perbankan khusus yang diperlukan daripada bank. Pemohon juga perlu menyatakan jumlah pembiayaan yang diperlukan daripada bank.

Para usahawan perlu sedar bahawa kertas cadangan untuk memohon pembiayaan tidak patut dilihat sebagai cadangan biasa sahaja.

Mereka perlu memanfaatkan teknik terbaik dalam penyediaan kertas cadangan untuk meyakinkan bank. Satu petua penting ialah mengemukakan rancangan perniagaan yang tersusun rapi dengan memuatkan semua maklumat yang dikehendaki oleh bank.

Rancangan perniagaan menjadi panduan bagi usahawan dalam membina sesebuah perniagaan. Rancangan ini menerangkan tentang matlamat perniagaan, mengapa matlamat tersebut berdaya maju dan cara matlamat tersebut boleh dicapai pada dalam jangka masa tertentu.

Salah satu daripada komponen penting rancangan perniagaan ialah rancangan pemasaran, yang menerangkan strategi yang digunakan untuk mengiklankan dan mempromosi produk dan perkhidmatan syarikat. Rancangan ini diperlukan apabila bank menilai perniagaan pemohon.

Rancangan perniagaan menggariskan jenis organisasi dan tahap profesionalisme yang diperlukan untuk menguruskan perniagaan.

Selain itu, rancangan perniagaan juga akan membolehkan bank mendapatkan maklumat penting yang diperlukan mengenai perniagaan, antara lain, untuk membuat penilaian kredit yang objektif, termasuk kewibawaan anggota pengurusan kanan.

Justeru, rancangan perniagaan penting bagi bank untuk mendapatkan maklumat yang boleh didapati secara langsung daripada sumber utama dan bukan daripada sumber lain.

Selain itu, terdapat beberapa dokumen penting yang perlu dikemukakan sebagai dokumen formal.

Ini termasuk akaun telah diaudit atau akaun disahkan yang memaparkan prestasi kewangan; butiran akaun pengurusan yang terkini, jika perlu; sasaran dan pertumbuhan perniagaan yang boleh dicapai, berserta beberapa andaian yang ringkas tetapi padat. Maklumat ini menggambarkan kedudukan kewangan perniagaan.

Bank memerlukan unjuran kewangan perniagaan untuk menilai keupayaan perniagaan membayar balik pembiayaan yang diberikan oleh bank.

Sebuah perniagaan yang diuruskan dengan baik seharusnya mempunyai unjuran aliran tunai wajar yang dilakukan secara bulanan.

Ini bertujuan memastikan hasil kutipan diterima tepat pada masanya, belanja kewangan tetap mampu dijelaskan dan komitmen overhead dibayar secara berkala. Bank menggunakan maklumat ini untuk menentukan sama ada perniagaan ini sedang mengalami masalah aliran tunai.

Apabila menyediakan rancangan perniagaan, usahawan perlu menyampaikannya dengan padat dan ringkas, tanpa memberikan butiran yang tidak perlu dan berlebihan.

Pemohon perlu membuat persiapan awal dan mengkaji semula cadangan perniagaan sebelum mengemukakan kepada bank.

Pengurus hubungan bank, yang bertanggungjawab memproses permohonan pembiayaan akan membuat temu janji untuk berjumpa dengan usahawan untuk tujuan ini.

Bank juga mempunyai kepentingan untuk memastikan kejayaan setiap pelanggannya dan akan memainkan peranan untuk memberikan sokongan padu kepada usahawan tersebut.

- UTUSAN

Bagaimana memilih kolej dan universiti terbaik?

by
MEMILIH melanjutkan pelajar ke kolej atau universiti bukan sesuatu yang mudah kerana ia perlu disesuaikan dengan minat dan kursus yang sesuai.

Selain itu, anda juga perlu melihat kolej atau universiti yang sesuai supaya setiap wang keluarkan berbaloi dengan pelaburan. Panduan ini mungkin memudahkan anda membuat pilihan:

Mengetahui jenis institusi pilihan

Kenal pasti bidang apakah yang menjadikan institusi ini dikenali. Apakah kelebihannya? Adakah kemudahan disediakan menepati keperluan industri? Semak melalui talian, berbincang dengan rakan sebaya atau kaunselor.


Pilih institusi yang memiliki kredibiliti

Apa yang penting adalah jenis komuniti yang bakal membantu pembelajaran anda, pensyarah yang akan berinteraksi serta kualiti pendidikan, bukannya nama dan jumlah pelajarnya. Tanya kepada graduan lain mengenai institusi itu.


Pengalaman lebih diutamakan

Majikan biasanya mengutamakan kemahiran dan pengalaman. Justeru, anda harus memilih institusi yang memberikan pengetahuan dan kemahiran menepati kehendak kerjaya serta perkembangan diri anda.


Institusi yang bagus tidak semestinya mahal

Terdapat pelbagai pilihan institusi yang menawarkan pembiayaan pengajian yang berpatutan, merangkumi perbelanjaan pendidikan. Dengan kemudahan pembiayaan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mara atau Yayasan Negeri, anda boleh merealisasikan impian menceburi bidang yang diminati.


Pembangunan sahsiah diri menjadikan anda graduan berkualiti

Aktiviti kokurikulum di institusi, termasuk latihan amali, menghadiri persidangan atau seminar boleh membangunkan kemahiran ilmiah seperti pemikiran kritis, komunikasi, kreativiti dan penyelesaian masalah penting untuk kerjaya anda pada masa depan.


Pembelajaran tanpa batasan di institusi

Anda boleh memilih sama ada melanjutkan pelajaran dalam bidang akademik atau berasaskan kemahiran atau gabungan kedua-duanya. Kebanyakan institusi mengamalkan pendekatan secara langkauan antara teori, amali dan fizikal bagi memberikan pendidikan menyeluruh dan membentuk diri sebagai graduan serba boleh.


Pastikan kesesuaian kolej atau universiti pilihan

Lakukan lawatan ke institusi yang ingin anda sertai. Rasai pengalaman menghadiri kelas serta bergaul di pusat pelajar agar dapat merasai pengalaman sebahagian daripada komuniti pelajar institusi pengajian tinggi.


Sertai Peraduan ‘Sehari Dalam Kehidupan Pelajar KLMUC’

Peraduan anjuran Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC) itu membolehkan lepasan sekolah menikmati suasana kehidupan di kampus sambil membantu memilih kursus kerjaya yang sesuai.

Kempen ini dirancang khusus untuk membantu lepasan sekolah membuat keputusan tepat dengan melanjutkan pelajaran.

Untuk mengambil bahagian, peserta boleh melayari www.discoveru.com.my, menjawab kuiz personaliti dan menonton salah satu daripada tujuh video disediakan.

Video ini mendedahkan rutin harian pelajar di dalam kelas. Kemudian, satu ‘insiden’ akan berlaku di mana ia mencabar pemahaman pelajar berkenaan mengenai bidang pengajian mereka. Penonton digalakkan untuk turut sama dengan menjawab satu soalan mudah di akhir video dan mengarang slogan paling kreatif.

Peraduan ini bermula Oktober lalu sehingga Disember 2012 dan peserta berpeluang memenangi iPad dan lain-lain hadiah menarik.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi KLMUC dengan mendail talian bebas tol kami di 1800-88-5568 atau SMS dengan menaip KLMUCMAGNNAMANEGERI dan hantarkan ke 36600. Selain itu, anda juga boleh melayari laman web KLMUC di www.klmu.edu.my


Perunding Imej - Jadikan diri lebih yakin

by
IMEJ adalah gambaran serta bayangan yang disampaikan kepada orang lain. Ia menggambarkan keperibadian, sesuatu yang terpapar pada pandangan atau tanggapan pihak ketiga. Imej yang terancang akan memberi keyakinan serta melancarkan proses komunikasi secara profesional.

Namun, tidak ramai memiliki perwatakan semula jadi yang positif serta berkeyakinan kerana ada yang harus dibentuk. Di sinilah pentingnya khidmat perunding imej kerana mereka bukan saja berperanan mengubah penampilan semata-mata, tetapi mengembalikan keyakinan dengan mengenal pasti aspek dalaman yang boleh diperbaiki supaya menjadi lebih positif dan berharga.

Di dalam organisasi pula, imej pekerja melambangkan reputasi serta kredibiliti keseluruhan syarikat. Untuk itu, perunding imej berfungsi membina jenama korporat yang berkesan dengan melatih kakitangan untuk tampil setaraf imej syarikat serta memperbaiki komunikasi mereka.

Jika dulu kerjaya perunding imej kurang diberi perhatian, tetapi dengan peredaran masa serta peningkatan gaya hidup sosial, kerjaya ini bukan hanya dilihat untuk ‘mencantikkan’ seseorang, malah merangkumi skop yang begitu luas termasuk menjadi jurucakap, menyelaras pertunjukan fesyen, perunding dan pereka pakaian, pendandan hijab, jurusolek, perunding etika, penyelaras protokol, pereka aksesori, pengusaha butik pengantin atau pakar penjenamaan korporat.

Malah khidmat rundingan bukan saja untuk individu, tetapi kumpulan termasuk remaja dan kanak-kanak.

Menurut Presiden Persatuan Perunding Imej Sedunia (AICI), Aziah Jasmin Azizul Hassan, Malaysia mempunyai ramai perunding imej, tetapi sebenarnya tiada standard mengiktiraf kerjaya ini sehinggakan kredibiliti mereka kurang menyerlah serta dipandang rendah. Keadaan ini berbeza di luar negara apabila perunding imej mempunyai nilai profesionalisme yang tinggi sama seperti kerjaya di bidang guaman, perubatan, perakaunan serta pendidikan.

Menyedari kerjaya ini sangat luas serta membawa pengaruh yang besar dalam masyarakat, Aziah terfikir untuk menaik taraf kerjaya ini supaya setanding bidang lain. Oleh itu, pada 2007, dia mengambil ujian di Amerika Syarikat bagi melayakkannya menerima sijil dalam bidang rundingan, seterusnya menubuhkan Persatuan Perunding Imej Sedunia yang setakat ini mempunyai 30 ahli bertauliah.

“Walaupun bidang perundingan imej memberi kesan yang besar dalam kehidupan, masyarakat masih belum nampak arah tujuannya. Selain itu, perunding imej sendiri perlu mempelajari lebih banyak perkara sebelum layak melatih orang lain dan bergelar perunding imej,” katanya.

Justeru, bagi memartabatkan kerjaya ini setanding pekerjaan di bidang profesional lain, Aziah bersama beberapa perunding imej lain menyediakan modul latihan merangkumi keseluruhan pembelajaran sesuai dengan suasana persekitaran di Malaysia mengikut Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dan diiktiraf Kementerian Sumber Manusia.

“Dengan kewujudan persijilan ini secara sah, ia dapat membuka peluang pekerjaan yang lebih luas terutama dalam organisasi yang memerlukan khidmat rundingan secara peribadi. Kini, banyak syarikat bercakap mengenai imej syarikat, tetapi tidak menyediakan ruang kepada kakitangan mendapatkan ilmu mengenainya. Mungkin pada masa depan, kewujudan jabatan berkaitan penampilan dan imej dapat membantu melatih kakitangan yang baru berkhidmat untuk menjadi lebih yakin dan berpersonaliti menarik sejajar imej korporat,” katanya.

Dalam bidang perundingan imej, terdapat tiga elemen utama yang harus dititikberatkan iaitu penampilan, sikap dan komunikasi. Ini kerana perubahan individu bukan hanya dinilai menerusi aspek fizikal semata-mata, tetapi membabitkan sikap dan cara berhadapan dengan orang ramai. Dalam hal ini, untuk mengubah karakter bukanlah dalam masa yang singkat kerana ia merangkumi cara seseorang berfikir dan berkomunikasi.

“Perubahan personaliti berkaitan minda seseorang. Oleh itu, perunding imej harus mengubah persepsi serta cara berfikir menjadi lebih positif. Perlakuan ini juga harus dipraktikkan sehingga menjadi kebiasaan dan amalan seharian. Sekiranya individu tidak mengamalkannya, tidak mustahil mereka akan kekal dengan cara lama,” jelasnya.

Selain menonjolkan keyakinan dan kelebihan masing-masing, seseorang itu tidak perlu memakai pakaian mahal dan berjenama. Sebaliknya, pakaian murah jika kena gayanya akan nampak cantik serta menampilkan kredibiliti seseorang.

“Namun, tidak semua orang memiliki kelebihan ini. Ada yang dikurniakannya secara semula jadi, tidak kurang pula perlu mempelajari menerusi buku, majalah atau mendapatkan khidmat perunding imej. Ini kerana tidak semua rekaan sesuai untuk semua potongan badan.

“Mereka yang memiliki bentuk badan gempal dan besar memerlukan jenis potongan tertentu, begitu juga mereka yang kurus dan rendah,” jelasnya yang memberitahu tugas mencantikkan seseorang bukan hanya pada pada luaran tetapi termasuk minda mereka.

Selain itu, imej juga berkaitan dengan sikap, cara seseorang itu dibesarkan, insan di sekeliling mereka serta pengaruh persekitaran. Semua ini harus dikaji kerana ia menjadi penentu sejauh mana seseorang itu mampu memperbaiki diri dan meningkatkan keyakinan diri.

“Sebagai contoh, ramai tidak tahu warna mempengaruhi gaya serta cita rasa seseorang. Individu yang menggemari rona biru biasanya bersifat lembut dan mudah diajak berbincang. Mereka yang memilih warna malap dan gelap biasanya lebih suka menyendiri manakala warna ceria seperti merah, jingga dan hijau dikaitkan dengan personaliti periang dan peramah. Begitu juga mereka yang menggemari pakaian berbunga berbanding polos. Semua ini mempunyai makna tersendiri,” katanya.

Komunikasi pula berkaitan bahasa badan serta perkataan dikeluarkan. Ini kerana kedua-duanya saling berhubung dan mampu menyampaikan mesej kepada orang lain.
Bagi individu yang mengetahuinya, mereka mampu menyembunyikan bahasa tubuh ketika berhadapan dengan orang lain.

Dalam pada itu, walaupun ramai menyedari kepentingan mendapatkan khidmat perunding imej, ramai juga yang menidakkan kewujudannya disebabkan bayaran terlalu mahal. Senario ini menyebabkan ada antara pelanggan tidak mahu mendapatkan khidmat profesional dan sanggup mendapatkan nasihat rakan atau keluarga.

Jelas Aziah, bayaran dikenakan bukanlah sesuatu yang tetap, sebaliknya bergantung kepada bajet pelanggan dan sejauh mana mereka inginkan perkhidmatan jururunding imej.

“Jika masyarakat menilai bidang lain secara profesional, konsepnya sama saja.
Perunding imej menjalankan tugas mengikut standard ditetapkan dan sewajarnya bayaran dikenakan berpatutan dengan khidmat diberikan,” jelasnya.

AICI yang ditubuhkan pada 2010 kini aktif merangka pelbagai aktiviti bukan saja untuk ahli persatuan tetapi juga orang ramai. Antaranya, pada 15 Disember ini diadakan program amal penjualan barangan artis bagi mengutip dana untuk pesakit lupus. Mereka yang berminat boleh menghantar e-mel menerusi starstudioimage@gmail.com atau menghubungi talian 03-62114844.

- HARIAN METRO

Pentingnya bersenam

by
Kita sedia maklum bahawa terdapat kaitan rapat antara kegemukan dan penyakit jantung. Ia menjadi penyebab utama kepada tekanan darah tinggi dan paras kolesterol berlebihan dalam darah.

Penurunan berat badan banyak membantu dalam menurunkan kadar kedua-dua penyakit yang berkaitan dengan jantung ini.

Pelbagai kajian epidemik menunjukkan bahawa terdapat peningkatan sebanyak 3mm/Hg tekanan sistolik dan 2mm/Hg peningkatan tekanan diastolik apabila berat badan seseorang itu meningkat sebanyak 10 kilogram melepasi paras berat badan normal. Setiap 10 peratus peningkatan berat secara relatifnya di anggarkan bahawa 6.5mm/Hg peningkatan terhadap sistem tekanan darah dalam tubuh.


Terdapat satu kajian menunjukkan bahawa individu yang mempunyai berat badan berlebihan adalah berisiko lebih dari tiga kali ganda untuk menghadapi darah tinggi dan lebih dua kali ganda lebih tinggi untuk mendapat kolesterol berlebihan berbanding dengan mereka yang mempunyai BMI (body mass index) normal iaitu di antara 18.6 sehingga 24.9.

Sejumlah 30 peratus daripada jumlah kematian penyakit kencing manis disebabkan faktor amalan pemakanan tidak seimbang serta corak kehidupan yang tidak sihat. Berat badan berlebihan adalah salah satu punca risiko utama dalam perkembangan kencing manis jenis dua iaitu ‘non-insulin- dependent diabetes mellitus’ (NIDDM).

Maklumat daripada kajian menunjukkan NIDDM adalah tiga kali ganda lebih biasa di kalangan mereka yang menghadapi masalah kegemukan.

Barah
Satu penyelidikan yang dilakukan oleh pertubuhan barah antarabangsa mendapati bahawa kadar barah prostat dan usus atau kolon adalah lebih tinggi di kalangan lelaki gemuk. Barah seperti uterus, servik dan ovari menunjukkan peningkatan ketara di kalangan wanita gemuk. Sementara itu wanita yang hampir menopous pula mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat barah payudara.

Faktor mekanikal berkaitan dengan lemak berlebihan dalam badan boleh menjurus kepada kegagalan paru-paru berfungsi dengan baik. Kegemukan yang tidak terkawal menjadi punca tidur berdengkur dan kegagalan bahagian sebelah kanan jantung untuk berfungsi.

Kajian dari penyelidikan menunjukkan mereka yang menghadapi masalah kegemukan dan kadar kematian menunjukkan secara jelas hubung kait antaranya yang mencatatkan peningkatan risiko penyakit jantung dan kegagalan jantung berfungsi.

Petua kekal berat badan

Rumah adalah tempat terbaik untuk anda menentukan pada waktu bila, apa untuk dan bagaimana menyediakan makanan. Anda boleh menggunakan panduan di bawah ini untuk membantu anda mendapatkan berat badan impian anda.

* Makan tiga hidangan lengkap setiap hari, tetapi jika mempunyai keinginan mengunyah ambil sedikit lobak merah, timun atau buah jambu.

* Minum banyak air sepanjang hari, ia membantu anda berasa lebih kenyang.

* Jangan makan dengan laju. Anda akan makan lebih sedikit dan lebih menikmati hidangan anda.

* Makan lebih sayuran dan buah-buahan.

* Daripada menggoreng, gunakan cara masakan yang lain seperti rebus, panggang, kukus, salai dan bakar.

* Gunakan kuali tidak melekat untuk mengurangkan penggunaan minyak masak dan lemak.

- BERITA HARIAN

Mengelak laman web digodam

by
Bagaimanakah untuk menghindari daripada berlakunya sesebuah laman web digodam oleh seseorang?

Perkara asas dalam keselamatan teknologi maklumat yang perlu diambil kira ialah perimeter, pendidikan dan polisi atau 3P.

Berkenaan dengan keselamatan sesebuah laman web, ada beberapa peringkat yang perlu diteliti iaitu seperti yang tercatit seterusnya.

1. Peringkat aplikasi sesebuah laman web iaitu dari segi laman web itu sendiri, perisian, aplikasi pengurusan kandungan atau Content Management System (CMS), penulisan kod, bahasa pengaturacaraan dan pangkalan data.

2. Peringkat aplikasi storan laman web iaitu aplikasi pelayan web dan pelayan DNS yang diguna pakai.

3. Peringkat komputer pelayan yang digunakan untuk menyediakan kemudahan laman web dan komputer peribadi atau client yang digunakan untuk mencapai fungsi pengurusan laman web tersebut.

4. Peringkat capaian daripada para pengguna terhadap laman web dan sambungannya.

Seterusnya, disediakan panduan keselamatan secara umum bagi pengendalian sesebuah laman web sama ada ia bersifat statik, dinamik atau aplikasi.

1. Aplikasi pelayan DNS yang diguna pakai perlu sentiasa dikemas kini, dikonfigurasikan dengan baik, selamat dan dienkripsi sambungannya. Sila guna aplikasi DNS yang mempunyai fungsi DNS Security Extension (DNSSEC) bagi memberi tahap keselamatan yang tinggi.

2. Sentiasa membuat kemas kini terhadap kesemua perisian dan perkakasan yang digunakan untuk mengendalikan dan membangunkan laman web.

3. Pengunaan kata laluan berserta teknik enkripsi yang kental dan selamat dalam kesemua pengendalian sesebuah laman web.

4. Pastikan keselamatan penggunaan e-mel pentadbir yang digunakan dalam mengendalikan laman web adalah pada tahap yang tinggi. Jangan dedahkannya kepada umum sekiranya tiada berkepentingan.

5. Penggunaan kata laluan yang selamat dan kental pada pangkalan data yang digunakan. Ramai pengguna membiarkan capaiannya tanpa kata laluan.

6. Elakkan konfigurasi secara lalai atau default pada mana-mana aplikasi yang digunakan terutama pada pelayan web, pangkalan data, aplikasi pengurusan kandungan, blog, skrip dan sebagainya. Konfigur kesemuanya dengan selamat.

7. Elakkan penggunaan aplikasi Telnet, aplikasi FTP dan sambungan Wi-Fi untuk mencapai pengurusan laman web secara jarak jauh kerana ia kurang selamat. Boleh menggunakan aplikasi yang mempunyai fungsi enkripsi seperti Secure FTP (SFTP), VPN dan lain-lain dalam menggunakan aplikasi capaian jarak jauh.

8. Semak kebenaran capaian fail dan direktori agar capaiannya selamat dan terhad oleh pihak yang bertangungjawab sahaja terutama fail dan direktori yang berada dalam aplikasi pelayan web.

9. Tambahkan skrip robot.txt kepada laman web. Ia adalah skrip arahan untuk laman-laman web enjin carian yang akan mengindeks fail tertentu sahaja bagi sesebuah laman web yang dicari oleh para pengguna.

10. Pastikan komputer pelayan yang digunakan dikonfigur pada tahap keselamatan yang tinggi. Sentiasa membuat kemas kini dan penyelengaraan bagi perisian dan sistem pengoperasian yang digunakan secara berkala. Elak larikan komputer pelayan dalam mod penuh pentadbir atau Root.

11. Penggunaan perimeter keselamatan pada infrastruktur laman web seperti aplikasi Firewall Web, IDS, IPS, perisian anti-virus dan lain-lain. Konfigur dengan selamat dan sentiasa mengemaskini aplikasi yang digunakan.

12. Sentiasa melakukan pengujian keselamatan bagi laman web dengan menggunakan aplikasi-aplikasi tertentu seperti PHP Security Scanner, Web Security Testing, XSS String Encoder, SQL Encoder dan lain-lain atau secara manual. Ini juga dikenali sebagai Penetration Testing dan Security Audit. Ia boleh diuji kepada kod sumber, perisian, perkakasan dan capaian yang digunakan untuk sesebuah laman web.

13. Pastikan aplikasi pelayan web yang digunakan dikonfigur pada tahap keselamatan yang tinggi. Sentiasa membuat kemas kini dan penyelengaraan secara berkala. Pastikan aplikasi pelayan web menggunakan fungsi enkripsi SSL untuk keselamatan paparan sesebuah laman web.

14. Pastikan pengguna yang mencapai laman web dididik dengan cara penggunaan yang berhemah dan selamat seperti sambungan, penggunaan pelayar yang selamat, penggunaan akaun laman web dengan selamat dan lain-lain.

15. Wujudkan polisi keselamatan bagi capaian laman web secara dalaman atau secara luaran.

16. Penggunaan keselamatan fizikal yang baik untuk storan laman web seperti keadaan bilik yang kondusif dan selamat, teknik penguncian yang baik dan lain-lain.

17. Wujudkan sistem salinan data untuk kembalikan semula keadaan dan data sesebuah laman web ke bentuk asal sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Ini dikenali sebagai Bussiness Continuity Plan (BCP).

- UTUSAN

iPad dan Nintendo jadi idaman kanak-kanak

by
iPad menjadi peranti paling diidamkan kanak-kanak sebagai hadiah menjelang musim perayaan manakala Nintendo Wii U ditempat kedua mengikut kaji selidik Nielsen’s 360.

Dalam kalangan responden kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun di Amerika Syarikat, 48 peratus yang ditemubual mengakui berharap mendapat iPad sebagai hadiah, 39 peratus mahu konsol permainan Nintendo Wii U manakala 36 peratus mahu iPod Touch dan iPad Mini.

Bagi peranti yang khusus untuk permainan, Wii U adalah yang paling diidamkan, meninggalkan Xbox 360’s Kinect (31 peratus) dan peranti mudah alih Nintendo 3DS dan DS masing-masing pada 29 dan 28 peratus.

Apple menonjol

Peranti yang dikeluarkan pesaing Apple lebih menonjol dalam kalangan peminat lebih 12 tahun, yang mana tablet Kindle Fire dan Samsung Galaxy masing-masing menarik perhatian sembilan dan lapan peratus pembelian manakala iPad Mini menjadi idaman 11 peratus responden.

Sementara itu, firma media sosial tersohor dunia, Facebook Inc bercadang menghentikan amalan membenarkan pengguna mengundi bagi sebarang perubahan yang dirancang membabitkan dasar kerahsiaan, biarpun masih membenarkan pengguna komen mengenai perubahan itu.

Facebook berkata, mekanisme pengundian hanya dibuka apabila ramai yang komen terhadap sebarang cadangan perubahan, justeru ia menjadi sistem yang hanya memberi penekanan terhadap jumlah maklum balas bukannya perbincangan berkualiti.

- Agensi

Ujian Spirometri untuk perokok tegar

by
"SETELAH hampir separuh abad hidup saya tidak dapat dipisahkan daripada rokok, segalanya berubah apabila pada tahun 2002 saya disahkan menghidap penyakit paru-paru atau sekatan pulmonari kronik (COPD).

"Ketika itu saya mengalami sesak nafas yang teruk sehingga terpaksa dirawat beberapa kali di unit kecemasan.

"Setelah berjumpa dengan doktor, segalanya sudah terlambat kerana saya disahkan menghidap masalah paru-paru setelah membuat ujian spirometri," kata Sairi Ajir.

Itu adalah sebahagian kisah hidup Sairi apabila terpaksa menempuhi saat-saat getir dalam hidupnya kerana lambat membuat pengesanan awal.

Apa pun kini beliau semakin sihat dan boleh menjalani kehidupan seperti sediakala setelah melalui beberapa rawatan tertentu.

Kisah Sairi mungkin dikongsi oleh beribu perokok tegar lain yang berdepan dengan pelbagai risiko kesihatan dan masih belum berpeluang untuk menjalani ujian spirometri.

Dalam pada itu, ke arah menyahut seruan Masih Belum Terlambat Hari COPD sedunia 2012 disambut dengan penubuhan klinik spirometri awam pertama di Universiti Teknologi Mara (UiTM), kampus Selayang, Selangor.

Pakar Perunding Respiorotari, Fakulti Perubatan, UiTM, Kampus Selayang, Prof. Dr. Tengku Saifudin Tengku Ismail berkata, spirometri adalah prosedur penting untuk memudahkan diagnosis penyakit COPD.

"Dengan adanya klinik ini, orang ramai lebih berpeluang untuk mendapatkan ujian spirometri yang akan memudahkan pengesanan awal COPD dan membolehkan mereka bertindak tepat pada masanya.

"Spirometri adalah satu kajian yang tidak menyakitkan ke atas isipadu udara dan kadar alirannya di dalam paru-paru.

"Ia sering digunakan untuk menilai fungsi paru-paru pada penghidap penyakit paru-paru obstruktif atau restriktif.

"Ujian spirometri menggunakan spirometer, sejenis alat yang digunakan untuk mengukur keberkesanan dan kepantasan paru-paru dapat dikosongkan," katanya.

Ujarnya, klinik spirometri awam di UiTM, Kampus Selayang akan menjalankan ujian spirometri untuk pesakit dan orang ramai pada setiap Selasa dan Jumaat.

"Klinik ini dibuka kepada orang ramai dan setiap ujian spirometri akan dikenakan bayaran RM15, manakala tiada sebarang bayaran kepada kakitangan kerajaan.

"Dengan adanya peralatan dan kemudahan betul yang mungkin tidak tersedia di klinik-klinik lain, kami percaya klinik spirometri awam akan membantu menangani masalah kekurangan diagnosis.

"Walau bagaimanapun, kami ingin menggalakkan lebih banyak institusi penjagaan kesihatan menawarkan perkhidmatan sebegini supaya bersama-sama kita dapat membantu lebih ramai pesakit," katanya.

Sementara itu, Profesor Jabatan Perubatan, Fakulti Peubatan, Universiti Malaya, Profesor Liam Chong Kin berkata, satu daripada 10 orang dewasa yang berusia lebih 40 tahun mungkin menghidap COPD di seluruh dunia.

"Penyakit ini amat biasa di negara-negara di mana pengguna rokok adalah sangat meluas.

" Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), COPD adalah punca keempat utama kematian di seluruh dunia berbanding kanser dan mempunyai kadar kematian sama seperti HIV/AIDS.

"Tahap kesedaran COPD di negara ini agak rendah kerana ramai orang, termasuk pesakit tidak tahu tentang penyakit ini.

"Bahkan kajian penyakit dunia mendapati COPD dijangka menjadi punca kematian ketiga paling lazim menjelang 2020. Penularan COPD tahap sederhana di Malaysia adalah 4.7 peratus iaitu sebanyak 448,000 kes," katanya.

Tambahnya, oleh kerana tiada penawar untuk COPD, adalah tanggungjawab pakar penjagaan kesihatah untuk mendidik orang ramai mengenai rawatan dan perubahan gaya hidup yang akan membolehkan mereka menguruskan dan melambatkan perkembanga npenyakit tersebut dengan berkesan.

Pengarah Pemasaran, GlaxoSmithkline (GSK)Sdn. Bhd., Jay Soriano berkata, Hari COPD Sedunia adalah platform untuk memupuk kesedaran dan meningkatkan penjagaan terhadap COPD.

"Pematuhan global ini bertujuan untuk mengurangkan kadar kematian akibat COPD dengan mengurangkan bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital dan mengurangkan kadar kes baru.

"GSK berbesar hati untuk menyokong inisiatif ini sempena hari COPD Sedunia 2012. Di GSK, kami komited dalam meningkatkan kualiti hidup para pesakit COPD dengan membolehkan mereka lebih aktif, berasa lebih baik dan hidup lebih lama," katanya.

- UTUSAN

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90