Top Ad 728x90

1.2 juta tonton TV AlHijrah Ulangtahun Ke-2

BARU dua tahun penubuhan TV AlHijrah, namun stesen TV itu sudah boleh berbangga apabila penonton meningkat setiap hari yang kini berjumlah 1.2 juta hasil kajian yang dikeluarkan AC Nielson.

Biarpun siarannya belum menyeluruh hanya bersandarkan sembilan spektrum pemancar, impiannya untuk menjadi pembekal program ke peringkat antarabangsa dilihat sebagai hala tuju yang positif sejak ia ditubuhkan pada 15 November 2010.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan mahu menjadikan stesen TV tidak berbayar mendominasi industri penyiaran negara.

“Selepas dua tahun bersiaran, boleh disimpulkan stesen ini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan stesen TV tempatan sedia ada. Penubuhannya melalui inspirasi kerajaan untuk mengembangkan syiar Islam bukan saja di dalam negara, tetapi juga di luar negara.


"Jika Indonesia boleh membekalkan programnya ke stesen TV kita, kenapa tidak kita keluarkan program kerohanian untuk disiarkan di stesen TV mereka pula serta di negara lain di dunia secara sendirian ataupun bekerjasama,” katanya yang ditemui pada sidang media program khas sempena ulang tahun kedua stesen TV itu, baru-baru ini.


Hadir sama, Pengerusi TV AlHijrah, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Mereka turut mengimbas semula pencapaian dan kejayaan serta hala tuju stesen terbabit dalam program yang disiarkan secara langsung itu.

TV AlHijrah menyajikan 52 peratus program penerbitan dalaman dan 48 peratus penerbitan luar.

Mengulas mengenai kesediaan stesen itu untuk bersiaran 24 jam sehari, Jamil berkata, TV AlHijrah sudah melalui tiga fasa peningkatan waktu siaran dan sehingga kini kekal menamatkan waktu siarannya jam 12 tengah malam.

“Kami masih mengkaji adakah rasional untuk menyambung siaran bagi enam jam yang berbaki atau sebaliknya. Apa pun sehingga kini kami selesa dengan tempoh siaran yang ada dan akan hanya bersiaran 24 jam mengikut musim tertentu seperti Ramadan, Maal Hijrah dan beberapa perayaan lagi seperti yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

Pada acara itu, pelbagai perkara mengenai program yang disiarkan di stesen TV itu dibahaskan secara langsung di samping mencari program baru sebagai meraikan kejayaan dua tahun penubuhan TV AlHijrah yang dihoskan Irma Hasmie dan Amin Idris.

Tidak ketinggalan juga persembahan artis seperti kumpulan AlMawlid, SevenEightSix dan Shila Amzah.

Mengimbas kembali penubuhannya, TV AlHijrah memulakan siaran percubaan pada 1 November 2010. Kemudian dilancarkan secara rasmi pada 7 Disember 2010, bersamaan 1 Muharam 1432 Hijrah.

Pada Jun 2011, ia mula disiarkan menerusi saluran berbayar Astro (114). Terus mengikuti perkembangan teknologi terkini, TV Alhijrah juga disiarkan menerusi saluran alternatif menggunakan Unifi/Hypp TV bermula April 2012.

- HARIAN METRO

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90