2,960 graduan ISMP jadi guru

 Seramai 2,960 graduan Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang lulus temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) akan ditempatkan di seluruh negara mulai sesi persekolahan tahun depan.

Seramai 7,815 lagi graduan ISMP akan dipanggil untuk ditemuduga SPP dalam tempoh terdekat.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata waran perjawatan dan penempatan kepada sejumlah 2,960 graduan ISMP yang berjaya melepasi dan lulus temu duga itu kini sedang diagihkan.


Kita harap graduan ISMP berkenaan bersedia dan menyiapkan diri untuk memulakan tugas pada sesi persekolahan tahun depan menerima jawatan mereka dengan semangat tinggi untuk mendidik anak bangsa.

Waran perjawatan dan penempatan mereka sudah diluluskan dan kini giat diagihkan kepada penerima terbabit.

Proses temu duga yang membabitkan seramai 7,815 lagi baki graduan ISMP pula akan dimulakan pada bila-bila masa dari sekarang dan ia dijangka berakhir Mac depan, katanya selepas merasmikan Program Kamu Yang Cantik anjuran pelajar Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di Balai Raya Sungai Suloh, Senggarang, di Batu Pahat, semalam.

Sebelum ini, BH melaporkan seramai 10,755 graduan ISMP mengeluh berikutan masih menganggur dan belum diserapkan sebagai guru walaupun sudah menamatkan pengajian mereka.
Ia menyebabkan Kementerian Pelajaran memanggil 5,500 graduan ISMP berkenaan termasuk 4,500 lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk ditemuduga secara berperingkat bagi mengisi kekosongan jawatan guru di sekolah seluruh negara.

Kementerian juga sebelum ini dilaporkan giat mengumpul rekod terkini kekosongan guru di sekolah seluruh negara daripada Jabatan Pelajaran Negeri bagi mengisi calon graduan berkenaan.

Sementara itu, Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, seramai 63 calon graduan ISMP yang gagal dalam temu duga sebelum ini, akan dipanggil semula bagi menghadiri sesi temu duga kedua.

- BERITA HARIAN 2,960 graduan ISMP jadi guru

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.