Top Ad 728x90

AKPK beri nasihat urus hutang

Kes muflis yang kini semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia boleh diatasi dengan mendapatkan bimbingan dan panduan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Berpegang kepada konsep cegah sebelum parah, agensi yang ditubuhkan pada 2006 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) itu, menawarkan perkhidmatan percuma untuk individu bermasalah menguruskan aspek kewangan mereka dengan baik.
Kikis stigma hutang

    Jika malu masalah mereka diketahui umum, perkara itu saya jamin tidak akan berlaku di sini. Butiran dan aduan pelanggan adalah rahsia sulit yang hanya diketahui setiap kaunselor," Nor Fazleen Zakaria, Pengurus Besar AKPK


Pengurus Besar AKPK, Nor Fazleen Zakaria, berkata sikap malu dan menganggap isu hutang sebagai taboo (perkara larangan) untuk dikongsi dengan pihak lain dikesan punca utama keengganan orang ramai mendapatkan khidmat nasihat di AKPK.

Stigma itu, katanya, sering menyebabkan masalah kewangan mereka menjadi semakin meruncing hingga diisytiharkan muflis oleh mahkamah.

“Perkara pertama yang orang ramai perlu tahu, khidmat kami percuma. Ada pula beranggapan kami hanya menyelesaikan masalah kad kredit. Itu juga tidak benar kerana AKPK menangani segala permasalahan dan aduan berkaitan kewangan, termasuk merangka pelan perbelanjaan mengikut keperluan pelanggan.

“Kami adalah agensi yang dinaungi Bank Negara Malaysia dengan matlamat membantu setiap rakyat mengamalkan pengurusan kewangan bijak,” katanya kepada BH.
Nor Fazleen berkata, pelanggan tidak perlu bimbang masalah mereka didedahkan kepada umum kerana setiap aduan ditangani kaunselor berlainan yang ditempatkan di bilik khas.

“Jika malu masalah mereka diketahui umum, perkara itu saya jamin tidak akan berlaku di sini. Butiran dan aduan pelanggan adalah rahsia sulit yang hanya diketahui setiap kaunselor,” katanya.

Bantu 198,970 pelanggan

Dibahagikan kepada tiga cabang utama perkhidmatan iaitu kaunseling, pengurusan hutang dan pendidikan kewangan, AKPK sehingga 30 September lalu sudah membantu 198,970 pelanggan dengan 81,596 daripada mereka menjalani Program Pengurusan Kredit.

Hampir semua kes berkenaan, katanya, berpunca daripada kelemahan aspek pengurusan kewangan.

“Boleh dikatakan ibu kepada masalah kewangan ialah kelemahan pengurusan kewangan.

“Gaji tinggi tidak akan bermakna jika anda menguruskan kewangan dan berbelanja lebih daripada sepatutnya,” katanya.

“Sekiranya 40 peratus daripada gaji anda setiap bulan digunakan untuk menyelesaikan hutang, ini bermakna anda tergolong sebagai individu yang mempunyai masalah kewangan,” katanya.

Perkhidmatan AKPK bagaimanapun, katanya, hanya terhad kepada individu yang bermasalah kewangan, bukan in yang sudah diisytiharkan muflis.

Mengulas lanjut, Nor Fazleen berkata, individu muflis boleh menghubungi Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) kerana jabatan itu menawarkan pelbagai bentuk program dan bantuan untuk golongan terbabit.

“Jangan segan untuk datang ke hadapan kerana bantuan yang diberikan boleh membina semula kehidupan anda.

“Begitu juga AKPK, jangan segan untuk datang berjumpa kami sementara masih ada ruang untuk kami membantu anda,” katanya.

- BERITA HARIAN

1 Comment:

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90