Allahyarham Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman Diumum Tokoh Maal Hijrah 1434


PUTRAJAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Allahyarham Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman pada Khamis diumum penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan pada sambutan yang berlangsung di Putrajaya.

Hadiah wang tunai RM100,000; pingat; plak dan sijil penghargaan disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada balu Allahyarham, Puan Seri Jamilah Mohd Said.

Dilahirkan pada 21 Julai 1939 di Kampung Kemelong, Sik, Kedah, Allahyarham terpilih menerima biasiswa kerajaan untuk , melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda di Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang perundangan Islam.

Pada 1977, Allahyarham dilantik Pengetua Maktab Perguruan Islam yang pertama.

Selain itu, Allahyarham juga pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Pendidikan Islam di Kementerian Pendidikan dari 1981 sehingga 1984 selain mengetuai Pusat Islam di Jabatan Perdana Menteri sebagai Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Islam.

Allahyarham semasa hayatnya turut aktif dalam bidang politik dan pernah memenangi pilihan raya umum pada 1990 serta menjadi anggota Majlis Tertinggi Umno.

Allahyarham dilantik menjadi penasihat kepada Perdana Menteri pada 2001 hingga 2009 dan penasihat Hal Ehwal Islam di Kumpulan Maju Holdings Sdn Bhd, sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 23 Dis 2011 akibat serangan agin ahmar, ketika berusia 72 tahun.

Sementara itu balu Allahyarham Jamilah meluahkan rasa terharu dan berterimakasih atas penghargaan yang diberikan.

"Saya berharap apa yang ditinggalkan oleh suami akan diteruskan oleh generasi kini dan sekiranya Allahyarham masih ada sudah tentu penghargaan itu amat bermakna sekali," katanya.

- BERNAMA
 

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran