Aplikasi NuffnagX - Membaca blog di mana sahaja



IDEA membina aplikasi telefon pintar untuk pengguna membaca blog sudah lama difikir dan diperkata oleh pengasas bersama Netccentric yang juga pengendali NuffNang, Timothy Tiah, 28, bersama rakan-rakannya.

Namun, lelaki yang berasal dari Pulau Pinang itu mengambil langkah menunggu jika terdapat pihak luar yang akan membangunkan teknologi sedemikian. Membuat sebuah teknologi aplikasi yang berbeza dan baharu sangat mahal dan memerlukan ketelitian yang tinggi.

Sepanjang penantian Timothy, hanya sebuah aplikasi yang dicipta untuk blog iaitu bloglovin’ dari Sweden.

Bagaimanapun, Timothy merasakan aplikasi tersebut sangat ringkas dengan menyenaraikan laman blog yang diikuti sahaja.

Selepas menunggu selama tiga tahun, dia dan pasukannya mengambil keputusan untuk mereka sendiri aplikasi tersebut.

Bermula dengan kajian dan penyelidikan, pasukan Timothy yang dianggotai lapan orang pekerja dari Malaysia dan Singapura membina aplikasi seperti yang diimpikan olehnya selama sembilan bulan. Maka, NuffnangX direalisasikan.

Mereka bertindak dan bekerjasama mengikut kepakaran masing-masing seperti pembangun dan pereka aplikasi, pengurusan bakat serta pembangunan perniagaan.

NuffnangX merupakan sebuah aplikasi membaca blog pertama di Asia dan baru sahaja dilancarkan pada 18 September lalu. Ia boleh dimuat turun secara percuma ke semua peranti yang menggunakan sistem OS dan Android.

Cabaran terbesar dalam proses pembangunan aplikasi adalah untuk memastikan setiap komen dan post baharu dikemaskini dalam aplikasi telefon seiring dengan versi laman web.

Kini, para pembaca blog tidak lagi perlu menggunakan kaedah tradisional pada telefon pintar dengan membuka pelayar web (browser).

Mudahkan pengguna mobil

Penulis inibelogsaya.blogspot.com, Hanis Zalikha Zainal, 21, berasakan aplikasi tersebut sangat mudah dan setiap kemaskini blog yang diikutinya sentiasa diketahui walaupun sedang berada di lokasi penggambaran.

Hanis yang berasal dari Shah Alam, Selangor telah menambah satu lagi cabang dalam portfolio iaitu sebagai pengacara rancangan MadMarket di saluran TV9.

“Saya sentiasa on the go, jadi NuffnangX memudahkan saya mengikuti perkembangan para blogger lain. Jadi, apabila pulang ke rumah, saya hanya perlu mengemaskini blog,” ujarnya dalam perbualan dalam talian telefon kepada Kosmo!

NuffnangX mempunyai reka letak yang lebih kemas dan memudahkannya membaca kemaskini terbaharu. Laman blog tidak perlu dibaca pada pelayar web lagi, kata Hanis yang sebelum ini menggunakan browser Safari.

Hanis sudah empat tahun menulis blog dan pernah beberapa kali tercalon dalam Anugerah Blog Nuffnang Asia Pasifik yang dianjurkan secara dwitahunan.

Langkah berani pasukan Timothy mengeluarkan bajet untuk sebuah aplikasi yang pasti tidak memberi keuntungan pantas itu semata-mata mahu orang ramai dapat membaca blog di mana-mana.

Selepas dua minggu ia dilancarkan, sudah lebih 15,000 pengguna memuat turun dengan kenaikan berkala secara tetap iaitu sekitar 1,000 orang dalam sehari.

Kebanyakan yang memuat turun ialah pengguna dari Malaysia, Singapura dan Filipina.

Tempoh yang panjang diperlukan untuk membina aplikasi tersebut adalah kerana ia perlu melalui beberapa fasa seperti pembangunan teknologi, penyelarasan sistem dan terakhir, ujian operasi.

Seakan-akan menggunakan laman blog mikro, Twitter, NuffnangX membolehkan pengguna mengikuti blog kegemaran dan setiap kemaskini terbaharu akan dipaparkan kepada peranti pemilik.

Ciri paling penting yang dapat dilihat pada aplikasi tersebut ialah teknologi Elevator Pitch yang boleh memaparkan sepotong ayat dalam sebuah kemaskini.

“Jadi, pengguna dapat membaca tajuk dan isi penting cerita sebagai pengenalan pada keseluruhan kemaskini,” kata pengurusan bakat Netccentric, Shahzeeq Shahren, 24, ketika ditemui di pejabat pengendali Nuffnang di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berfungsi seperti newsflash (berita kilat), Elevator Pitch akan mengesan isi-isi penting atau ayat-ayat menarik dalam sebuah kemaskini secara automatik untuk dijadikan sebagai intro blog dalam aplikasi NuffnangX.

Berbeza dengan newsflash yang hanya dapat memaparkan ayat pertama dalam sebuah tajuk berita. Newsflash sangat relevan untuk berita kerana format penulisannya yang memerlukan semua maklumat dikarang pada perenggan pertama.

Format mengarang blog pula agak santai, tidak terikat dengan formaliti dan kadangkala isi penting sesebuah kemaskini tidak berada pada perenggan pertama bergantung kepada gaya penulisan blogger.

Lebih interaktif

Inti pati sebuah cerita tidak semestinya berada pada perenggan pertama, malah kadangkala wujud dalam bentuk petikan. Jadi, Elevator Pitch amat diperlukan supaya bersesuaian dengan konsep mobil telefon pintar.

Teknologi yang masih lagi dalam proses mempaten itu mampu mengesan daripada sebuah kemaskini yang mempunyai beribu-ribu perkataan.

Setakat ini, Elevator Pitch sangat sesuai pada blog bahasa yang ditulis menggunakan abjad Rumi seperti bahasa Melayu, Indonesia, Tagalog dan Inggeris.

Melalui NuffnangX juga, pengguna sama ada pembaca atau pemilik blogger dapat berinteraksi dengan menggunakan ruangan komen.

“Ruangan komen dipermudah menjadi seperti sebuah ruangan chat. Ruangan chat itu pula wujud dalam sebuah senarai komen yang dibuat pada sebuah kemaskini,” terang Shahzeeq bersungguh-sungguh.

Justeru, pemilik blog tidak lagi akan terlepas untuk memberi maklum balas kepada para pembaca.

Terdapat beribu-ribu bilangan blog yang terdapat dalam jaringan internet. Setiap satunya mempunyai perbezaan dari segi aspek penulisan bahasa dan tema yang mahu disampaikan.

Pada blog-blog dalam tema yang sama pula, amat sukar untuk para pembaca mencari blog yang bermutu dari segi bahan penyampaian mahupun gaya penulisan.

Bagaimanapun, aplikasi NuffnangX membantu pembaca dengan mengesyorkan blog terpilih di seluruh dunia berdasarkan kepada carian yang paling kerap dibuat oleh pengguna telefon pintar.

“Dengan pengenalan NuffnangX, saya menyasarkan pembaca blog melalui peranti mudah alih meningkat sehingga 50 peratus,” kata Timothy meletakkan harapan.

- KOSMO!

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran