FAKTOR PENTING PENILAIAN KERTAS CADANGAN PEMBIAYAAN PERNIAGAAN

Mari kita lihat apakah faktor penting yang dinilai oleh bank dalam kertas cadangan yang dikemukakan untuk pembiayaan perniagaan.

Pertama sekali, usahawan perlu:-

* "Memperkenalkan diri" kepada bank dengan menyediakan profil ringkas tentang jenis perniagaan usahawan, termasuk memberikan keterangan tentang produk, perkhidmatan dan teknologi yang akan digunakan dan juga sejarah ringkas perusahaan tersebut.

* Penerangan mengapa anda memerlukan pembiayaan, dan pada masa yang sama membolehkan bank mendapatkan maklumat lanjut tentang jenis perniagaan yang diusahakan oleh usahawan terbabit.

Ia adalah sebahagian daripada proses bank untuk membuat keputusan sama ada untuk memberikan pembiayaan atau tidak.

* Selain daripada jenis perniagaan, pengalaman dan kelayakan pengarah dan juga rakan kongsi, pemilik dan kakitangan pengurusan kanan juga adalah maklumat penting lain yang perlu dimaklumkan di peringkat awal kepada bank.

Ia kerana bank sudah tentu ingin tahu jika pasukan pengurusan kanan syarikat layak mendapat pembiayaan dan menentukan sama ada mereka adalah individu yang boleh dipercayai. Maka, langkah pertama yang boleh diambil ialah menyediakan carta organisasi untuk tatapan bank.

Selain daripada jenis perniagaan dan maklumat mengenai kakitangan pengurusan kanan, satu lagi unsur penting yang perlu dimasukkan dalam kertas cadangan kepada bank ialah sebab syarikat memerlukan pembiayaan.

Tujuan permohonan perlu dinyatakan, di samping bagaimana pembiayaan yang diperoleh akan digunakan dan kemudahan perbankan khusus yang diperlukan daripada bank. Pemohon juga perlu menyatakan jumlah pembiayaan yang diperlukan daripada bank.

Para usahawan perlu sedar bahawa kertas cadangan untuk memohon pembiayaan tidak patut dilihat sebagai cadangan biasa sahaja.

Mereka perlu memanfaatkan teknik terbaik dalam penyediaan kertas cadangan untuk meyakinkan bank. Satu petua penting ialah mengemukakan rancangan perniagaan yang tersusun rapi dengan memuatkan semua maklumat yang dikehendaki oleh bank.

Rancangan perniagaan menjadi panduan bagi usahawan dalam membina sesebuah perniagaan. Rancangan ini menerangkan tentang matlamat perniagaan, mengapa matlamat tersebut berdaya maju dan cara matlamat tersebut boleh dicapai pada dalam jangka masa tertentu.

Salah satu daripada komponen penting rancangan perniagaan ialah rancangan pemasaran, yang menerangkan strategi yang digunakan untuk mengiklankan dan mempromosi produk dan perkhidmatan syarikat. Rancangan ini diperlukan apabila bank menilai perniagaan pemohon.

Rancangan perniagaan menggariskan jenis organisasi dan tahap profesionalisme yang diperlukan untuk menguruskan perniagaan.

Selain itu, rancangan perniagaan juga akan membolehkan bank mendapatkan maklumat penting yang diperlukan mengenai perniagaan, antara lain, untuk membuat penilaian kredit yang objektif, termasuk kewibawaan anggota pengurusan kanan.

Justeru, rancangan perniagaan penting bagi bank untuk mendapatkan maklumat yang boleh didapati secara langsung daripada sumber utama dan bukan daripada sumber lain.

Selain itu, terdapat beberapa dokumen penting yang perlu dikemukakan sebagai dokumen formal.

Ini termasuk akaun telah diaudit atau akaun disahkan yang memaparkan prestasi kewangan; butiran akaun pengurusan yang terkini, jika perlu; sasaran dan pertumbuhan perniagaan yang boleh dicapai, berserta beberapa andaian yang ringkas tetapi padat. Maklumat ini menggambarkan kedudukan kewangan perniagaan.

Bank memerlukan unjuran kewangan perniagaan untuk menilai keupayaan perniagaan membayar balik pembiayaan yang diberikan oleh bank.

Sebuah perniagaan yang diuruskan dengan baik seharusnya mempunyai unjuran aliran tunai wajar yang dilakukan secara bulanan.

Ini bertujuan memastikan hasil kutipan diterima tepat pada masanya, belanja kewangan tetap mampu dijelaskan dan komitmen overhead dibayar secara berkala. Bank menggunakan maklumat ini untuk menentukan sama ada perniagaan ini sedang mengalami masalah aliran tunai.

Apabila menyediakan rancangan perniagaan, usahawan perlu menyampaikannya dengan padat dan ringkas, tanpa memberikan butiran yang tidak perlu dan berlebihan.

Pemohon perlu membuat persiapan awal dan mengkaji semula cadangan perniagaan sebelum mengemukakan kepada bank.

Pengurus hubungan bank, yang bertanggungjawab memproses permohonan pembiayaan akan membuat temu janji untuk berjumpa dengan usahawan untuk tujuan ini.

Bank juga mempunyai kepentingan untuk memastikan kejayaan setiap pelanggannya dan akan memainkan peranan untuk memberikan sokongan padu kepada usahawan tersebut.

- UTUSAN

FAKTOR PENTING PENILAIAN KERTAS CADANGAN PEMBIAYAAN PERNIAGAAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran