Kadar pengangguran di Malaysia 3 peratus

BUKIT MERTAJAM 3 Nov. - Kadar pengangguran di negara ini berada di bawah paras tiga peratus berbanding negara-negara maju di Eropah yang mencecah sehingga 21 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kadar itu membuktikan Kerajaan Pusat berjaya menguruskan ekonomi negara dengan baik dan bijaksana.

Beliau berkata, banyak negara maju tidak mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan pekerja lama juga dikurangkan sehingga kadar pengangguran dalam kalangan mahasiswa mencapai 50 peratus.

"Jika kadar pengangguran di bawah tiga peratus, maka boleh dianggap tidak ada pengangguran di negara ini.

"Keadaan ini kerana kerajaan menganjurkan Karnival Kerjaya sejak beberapa tahun lalu bagi menemukan majikan dengan pekerja dalam pelbagai bidang pekerjaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kerja 2012 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Sebanyak 40 majikan membuka kaunter masing-masing dalam karnival selama dua hari itu yang bermula hari ini.

Karnival itu menawarkan sebanyak 1,445 peluang pekerjaan dengan lebih 1,000 daripadanya ditawarkan kepada bukan graduan manakala sebanyak 426 kekosongan ditawarkan kepada graduan lepasan universiti.

Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, selain itu, kerajaan turut mewujudkan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) untuk lepasan universiti.

"Mereka yang tidak mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan dilatih selama setahun dan dibayar elaun sebanyak RM1,000 sebulan.

"Kita latih mereka untuk menguasai kemahiran berkomunikasi, kemahiran berbahasa Inggeris dan mempelajari teknologi maklumat bagi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan," katanya.

Selain itu, tambah beliau, kerajaan turut menggalakkan lepasan sekolah mengikuti latihan kemahiran bagi meningkatkan peluang mereka menjadi pekerja mahir.

"Pekerja mahir amat diperlukan kerana mereka boleh menikmati gaji lumayan berbanding kerjaya seperti peguam dan doktor," ujarnya.

- UTUSAN
Kadar pengangguran di Malaysia 3 peratus

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.