Top Ad 728x90

,

Menutup aurat elak fitnah

Oleh Noraini Ismail

Senangkah mendedahkan aurat? Jawapannya susah kerana setiap kali seseorang wanita itu hendak berpakaian, dia akan pastikan baju yang dipakai sedondon dengan beg dan kasut. Begitu juga jika ditanya lagi senangkah seseorang wanita itu menutup aurat? Jawapannya juga sama iaitu susah.

Wanita yang berpakaian menutup aurat tidak lari daripada berdepan masalah memastikan tudung yang dipakai bersesuaian dengan baju. Bagi yang terikut perkembangan fesyen tudung terkini, sanggup bersusah payah melilit tudung mengikut kreativiti masing-masing.
Kesusahan menutup aurat berbaloi


Semua itu pastinya mengambil masa untuk wanita berdandan. Walaupun memakai pakaian menutup aurat juga menyusahkan, tetapi kesusahan yang dilalui berbaloi kerana berpakaian menutup aurat dituntut oleh agama.

Sebaliknya bagi golongan yang bersusah payah mendedahkan aurat, terpaksa pula menanggung dosa kerana kekhilafan itu menyebabkan mereka terdedah kepada perbuatan mungkar seperti maksiat, perzinaan dan dirogol.

Itulah antara inti pati ceramah Indahnya Menutup Aurat yang disampaikan Perunding Motivasi, Mohd Zamri Mohd Zainuldin yang juga Pengarah Urusan Mantop Training and Consultancy di Masjid Amru Al-Ass, Bandar Baru Sentul, baru-baru ini.

Program ceramah itu sempena kempen Sayangi Diri anjuran Bahagian Pengurusan Dakwah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH) dan Biro Muslimah Masjid Amru Al-Ass, Bandar Baru Sentul.
Mohd Zamri yang juga pengacara Adik dan Al-Quran terbitan TV9 memetik firman Allah SWT: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuan dan perempuan-perempuan beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha mengasihani,” (Surah al-Ahzab, ayat 59)

Mohd Zamri berkata, berdasarkan perkembangan sekarang, ramai wanita berpakaian sopan, tetapi belum menepati ciri-ciri menutup aurat yang ditetapkan Islam. Ada yang memakai tudung, tetapi tudung tidak menutupi dada, pakai baju berlengan pendek serta berkain singkat.

Katanya, walaupun tiada penetapan khusus bentuk atau rekaan pakaian untuk wanita Islam, tetapi ia hendaklah selari dengan kehendak Islam iaitu tudung melebihi dada, baju tidak menampakkan susuk tubuh dan kaki ditutupi sarung kaki.

Punca zina

Beliau turut membahaskan ayat membicarakan mengenai zina yang mana penzina wanita disebut terlebih dulu diikuti penzina lelaki sebagai menunjukkan bahawa kejadian zina berpunca daripada wanita kerana tidak menutup aurat.

Seseorang wanita yang tidak menutup aurat, kecantikannya menjadi sajian mata lelaki dan ini mendorong nafsu lelaki meluap untuk melakukan maksiat.

Justeru, wanita dinasihatkan supaya sentiasa memelihara aurat mereka supaya tidak menjadi fitnah kepada diri sendiri terutama bagi wanita yang menutup aurat, tetapi tidak menepati kehendak syarak.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90