Pameran Magis Perubatan Tradisional di Muzium Negara

PENYAKIT dalaman sering dikaitkan dengan amalan sihir dan santau. Dua perkataan itu yang berkaitan antara satu sama lain merupakan tindak tanduk perbuatan syaitan untuk menyesatkan dan berhasrat merosakkan kehidupan manusia.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail, pada mulanya sihir diwujudkan untuk mengejar kebaikan tetapi akhirnya ia bertukar menjadi kejahatan apabila manusia mengejar ketamakan dunia dan mempunyai sikap hasad dengki.

Tambah beliau, sihir yang disamakan dengan kegelapan dan mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermaksud, ilmu guna-guna atau mantera yang ditujukan untuk menyakiti atau mempersonakan seseorang.

"Ia dihantar dalam bentuk dalaman dengan menyakiti anggota badan atau mempengaruhi hati dan fikiran manusia melalui perantaraan iblis dan syaitan. Sebagai contoh, santau yang dihantar kepada seseorang bagi membinasakan mangsa secara perlahan atau cepat.

"Peralatan digunakan berbentuk senjata tajam iaitu keris dan pisau, tanduk, tulang binatang dan sebagainya. Bagaimanapun kedua-dua amalan sihir dan santau berkait dengan pemujaan terhadap syaitan dan bertentangan dengan syariat Islam," katanya dalam program Sembang Santau bersempena Pameran Magis Perubatan Tradisional anjuran Jabatan Muzium Negara, baru-baru ini.

Sehubungan itu, ujar beliau, tujuan pihaknya mengadakan program berkenaan untuk mendedahkan kepada orang ramai khususnya para pelajar untuk menyebarkan keburukan amalan sihir dan khurafat yang akhirnya bertujuan untuk merosakkan akidah manusia.

Pameran Magis Perubatan Tradisional yang bermula dari 15 September lalu dan akan berakhir pada 15 November ini diselitkan dengan pelbagai program dalam usaha menarik perhatian masyarakat terhadap kaedah rawatan perubatan alternatif termasuk perubatan Islam.

Selain pameran dan demonstrasi kaedah rawatan perubatan Islam oleh pelakon Ashraff Muslim dari Pusat Rawatan Islam al-Hidayah, program selama dua bulan itu turut disertai oleh rawatan tradisional lain seperti ayuverda, bekam dan penjualan herba serta akar kayu.

Orang ramai yang berminat boleh kunjungi Muzium Negara, Jalan Damansara, Kuala Lumpur bermula 9 pagi sehingga 6 petang setiap hari atau boleh layari laman www.jmm.gov.my untuk maklumat lanjut.


Pameran Magis Perubatan Tradisional di Muzium Negara

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran