Pelajar wanita dominasi universiti



JIKA dulu, dunia wanita hanya terhad di rumah atau ceruk dapur dan ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah dianggap melanggar norma tradisi.

Peluang pendidikan terhad dan pandangan skeptikal dilemparkan masyarakat menjadi batu penghalang kepada wanita memperoleh pekerjaan baik atau menerajui sesebuah organisasi.

 Hari ini, wanita sudah membuktikan kemampuan apabila berdiri sama tinggi bersama lelaki selain mendominasi pelbagai sektor pekerjaan.

Malangnya, di tengah pengiktirafan itu masih terselit pertikaian dan pandangan skeptikal seperti tidak yakin dengan kebolehan wanita dalam melaksanakan mandat diberi.


Adakah gender menjadi penentu terhadap kemampuan wanita dalam melaksanakan tanggungjawabnya atau itu hanyalah spekulasi kosong semata-mata?


Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berkata, melunaskan tanggungjawab dan kepercayaan diberi lebih penting daripada membuat perbandingan bagi menguji kemampuan individu.

Menurutnya, alaf baru menyaksikan wanita mempunyai peluang sama rata untuk menerajui organisasi atau memegang jawatan tinggi dalam pelbagai bidang tidak terkecuali dunia pendidikan tinggi.

“Isu gender hari ini sudah tidak relevan lagi untuk mengukur kemampuan individu dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

“Jika dulu, gender mungkin menjadi syarat dalam sesuatu pemilihan, kini banyak lagi aspek ditekankan.

“Malah masyarakat kini melihat kebangkitan dan kemampuan golongan ini dalam melaksanakan tugasannya. Mereka memang berkelayakan,” katanya.

Beliau yang dilantik menerajui UIAM pada Ogos 2011 adalah Naib Canselor wanita ketiga memegang jawatan berkenaan selepas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Rafiah Salim.

Ditanya pandangan mengenai dominasi wanita sebagai ketua di institusi pengajian tinggi pula, beliau berkata, pencapaian itu amat membanggakan kerana memperoleh kepercayaan mengemudi sebuah institusi pendidikan.

“Umum mengetahui pendidikan adalah aspek penting dalam pembangunan jangka panjang negara bagi melahirkan generasi berpendidikan masa depan.

“Justeru, apabila wanita diberi mandat untuk melaksanakan proses itu, ia menunjukkan bahawa kemampuan wanita memang diiktiraf dan mendapat kepercayaan pihak yang memilih.

“Malah boleh dikatakan seperti penanda aras atau contoh bagi generasi berikutnya berusaha gigih dan menjadikan peluang membina masa depan yang baik,” katanya mengakui tiada batas sempadan bagi sesiapa yang mahu merebut kehidupan dengan nilai kejayaan.

“Hari ini kita lihat dan perlu mengakui mahasiswa wanita sudah banyak mendominasi tempat di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.
Bukankah pencapaian seperti ini amat hebat?

“Ia bagaikan isyarat dalam proses menuntut ilmu, nilai kemampuan berdasarkan gender bukan lagi ukuran.

“Inti pati kejayaan sebenar sebaliknya diukur berdasarkan semangat, usaha, kerja keras dan kemahuan untuk berjaya. Tidak mustahil langkah kejayaan seterusnya bakal menyusul,” katanya.

Malah, kejayaan ramai mahasiswa wanita yang mampu memperoleh pencapaian cemerlang saban tahun juga menjadi petunjuk bahawa sistem pendidikan negara berjaya merealisasikan sasarannya.

“Melaluinya, dapat disimpulkan bahawa negara kita memang serius mahu memartabatkan nilai sistem pendidikan dengan sentiasa membuka peluang kepada sesiapa saja. Tiada diskriminasi.

“Mereka dapat mengoptimumkan pencapaian diri dengan akses pendidikan menyeluruh tanpa halangan.

“Menerusi pencapaian mahasiswa wanita, kita yakin mereka juga dapat membantu negara melahirkan pewaris generasi disegani untuk meneruskan kesinambungan ilmu,” katanya.

Menerajui UIAM sebagai institusi yang bertaraf antarabangsa pula, katanya, bukan saja memerlukan penumpuan penuh malah sokongan pelbagai pihak bagi melaksanakan misi dirancang.

“Taraf universiti melambangkan nilai kejayaan sesebuah institusi. Bukan mudah mahu mengekal atau melonjakkan lagi pencapaiannya.

“Justeru, saya dan warga kampus lain menggalas tanggungjawab besar bagi memastikan UIAM terus unggul dan menjadi inspirasi penyebaran ilmu.

“Walaupun memegang tampuk pengurusan tertinggi, usaha memberikan kualiti pendidikan terbaik terletak atas sokongan bersama dan itulah yang kami lakukan,” katanya.

Mengulas matlamat UIAM untuk melahirkan graduan berdaya saing pula terutama di kalangan wanita, beliau berkata, setiap program ditawarkan adalah bertepatan dengan senario permintaan dunia pekerjaan semasa.

Menurutnya, walaupun masih ada pandangan mengatakan graduan wanita sukar memperoleh pekerjaan, beliau percaya setiap individu mempunyai potensi tersembunyi.

“Pandangan yang mengatakan graduan wanita tidak sehebat lelaki wajar diperbetulkan kerana semua yang dilahirkan masing-masing berpotensi.

“Menyalahkan institusi kerana menawarkan program tidak menepati permintaan juga perlu dilupuskan kerana institusi adalah gedung ilmu. Setiap yang ditawarkan ada manfaatnya.

“Malah UIAM sentiasa peka terhadap permintaan majikan. Kami berusaha sedaya upaya melahirkan graduan berkapasiti tinggi dengan program yang mempunyai nilai pasaran,” katanya optimis wanita hari ini adalah mereka yang mahu mengejar ilmu, mempunyai kemampuan tersendiri serta mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

- HARIAN METRO Pelajar wanita dominasi universiti

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.