Top Ad 728x90

, ,

Selidik pasaran dahulu sebelum berniaga

TEMUBUAL DENGAN MD. ZULFADLI (SMARTZUL)

APAKAH kelebihan serta risiko dalam melakukan perniagaan dalam Internet?

Lazimnya ramai yang mengetahui kelebihan menjalankan bisnes melalui Internet iaitu kita dapat menjimatkan kos sewa kedai, boleh mencapai sasaran pelanggan di serata lokasi, boleh dijalankan secara 24 jam, kos permulaan yang minimum dan kita juga boleh menjual pelbagai jenis produk mahupun servis.

Selain itu, risiko yang ditanggung juga adalah lebih rendah dan mempunyai kebebasan masa bekerja, menarik pelanggan tanpa had serta peluang menjana pendapatan pasif.

Apakah perkara utama yang perlu ada kepada mereka yang ingin memulakan bisnes Internet? Rata-rata sekarang ini ramai begitu ghairah menjalankan perniagaan, malah pada asasnya apa saja produk pun boleh dijual di Internet dan tiada syarat tertentu. Tetapi ia bertitik tolak kepada kemampuan. Adakah kita mampu menjualnya, modal, pekerja, ruang simpanan, kos penghantaran dan lain-lain faktor, adakah kita mampu menyediakannya? Kalau tidak mampu, maka apa yang perlu kita lakukan? Maka atas sebab itulah kalau kita perhatikan, kebanyakan usahawan kecil dan sederhana hanya menjual produk yang biasa saja atau beberapa jenis saja dalam jumlah kuantiti yang tidak besar. Contohnya, pakaian (kanak-kanak, lelaki, perempuan, Muslimah), makanan tambahan, kosmetik, gajet dan pelbagai lagi.

Paling penting jika boleh, utamakan ciri produk sebelum memutuskan menjual barangan melalui Internet. Antaranya ialah tidak terlalu berat (ini untuk jimatkan kos penghantaran), elakkan barangan yang salah di sisi undang-undang seperti barangan tiruan, cetak rompak dan lain-lain, stok mudah diperoleh atau mudah dihasilkan sendiri.

Itu beberapa ciri boleh kita jadikan sebagai kayu ukur terhadap produk yang berada dalam fikiran kita. Kalau kita mampu dan selaras dengan ciri di atas, maka mungkin produk itu boleh dijual.

Bagaimanakah tips memulakan bisnes Internet? Langkah pertama yang perlu diambil terutama mereka yang baru memulakan perniagaan adalah mengenal pasti masalah pelanggan yang mahu diselesaikan dan siapakah mereka (umur, jantina, lokasi dan lain-lain). Ini langkah pertama.

Seterusnya, kenal pasti sejauh mana saiz pasaran dan sebolehnya kita tidak mahu menjual kepada pasaran yang terlalu kecil dan paling utama tentukan produk sesuai untuk dijual sama ada produk fizikal, digital atau servis.

Selain itu, sediakan medium jualan yang betul seperti menggunakan facebook page ataupun laman web jualan. Bayaran pula boleh melalui akaun bank, kad kredit atau debit (boleh guna paypal).

Gunakan mesej dan ayat jualan yang betul di mana usahawan boleh merujuk ‘copywriting’ yang banyak di Internet. Langkah akhir, lakukan pemasaran kepada sasaran pelanggan dengan menggunakan pengiklanan melalui facebook dan langkah ini akan menjadi mudah jika langkah pertama dilakukan dengan sempurna. Untuk maklumat lanjut boleh melayari blog.smartusaha.com.

Adakah perniagaan yang dilakukan secara online juga boleh gagal? Sesiapa pun mahu berjaya dalam usaha perniagaan Internet dan tidak mahu gagal dan kegagalan pasti akan berlaku apabila kita leka, kurang ilmu dan tidak melakukan sesuatu itu dengan perancangan.

Antara sebab yang boleh menggagalkan perniagaan usahawan itu sendiri adalah tidak membuat perancangan perniagaan jelas di mana mereka hanya membuat perniagaan Internet secara ala kadar dan tiada matlamat. Selain itu, tiadanya promosi dan pemasaran agresif, terancang, efektif dan konsisten. Faktor lain ialah pengurusan kewangan yang teruk dengan hanya mementingkan wang masuk, tetapi wang itu tidak diuruskan dengan baik tanpa merekodkan pengaliran wang masuk atau wang keluar. Selain itu, mereka juga tidak melakukan kajian pasaran sebelum menentukan produk yang perlu dihasilkan atau dijual.

- HARIAN METRO

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90