Genneva Malaysia rugi besar

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Hasil serbuan Bank Negara Malaysia (BNM) bersama beberapa agensi penguatkuasa terhadap syarikat-syarikat yang disyaki menjalankan skim pelaburan haram menggunakan emas mendapati satu daripada syarikat itu iaitu Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (Genneva Malaysia), merupakan syarikat yang bermasalah.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan BNM bersama Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, laporan awal perakaunan menunjukkan operasi Genneva Malaysia mengalami kerugian besar tahun ini dan mempunyai liabiliti melebihi 10 kali asetnya.

Syarikat itu sebenarnya tidak akan dapat mengekalkan cara operasinya iaitu menjual emas pada kadar 20 hingga 25 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran, membayar pulangan dua hingga tiga peratus sebulan dan membeli balik emas pada harga asal belian, kata kenyataan itu di sini hari ini.

Sehubungan itu, aliran tunai untuk membolehkan syarikat itu meneruskan operasinya adalah bergantung daripada wang pelaburan pelanggan baharu.

"Dokumentasi yang disita menunjukkan lebih daripada 8,000 pelabur syarikat tersebut yang telah membuat pembayaran untuk pelaburan emas juga masih belum menerima emas mereka yang jumlahnya melebihi 4,000 kilogram.

"Selain itu, didapati terdapat pelabur yang telah menyerahkan emas mereka kepada syarikat tersebut tetapi masih belum menerima bayaran balik tunai yang jumlahnya melebihi RM80 juta,'' kata kenyataan bersama tersebut.

Agensi-agensi penguatkuasaan itu juga menyatakan mereka menerima banyak rayuan daripada pihak yang terlibat dengan perniagaan Genneva Malaysia untuk melepaskan wang yang dibekukan dalam akaun bank sebanyak RM99.8 juta dan emas yang disita sebanyak 126 kilogram yang disimpan sebagai bukti bagi kesalahan yang disyaki.

Bagaimanapun, BNM dan agensi-agensi itu menyatakan, wang dan emas tersebut dikehendaki untuk tujuan penyiasatan dan hanya akan dilepaskan dengan arahan mahkamah dan usaha sedang dilakukan bagi mempercepatkan siasatan untuk mencapai penyelesaian awal.

Orang ramai dinasihatkan supaya merujuk kepada laman web BNM di www.bnm.gov.my untuk maklumat lanjut.

- UTUSAN

Genneva Malaysia rugi besar

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran