Bakar kenderaan fenomena baru balas dendam - Polis

Membakar kenderaan secara rawak dan dalam jumlah yang besar menjadi fenomena baharu untuk membalas dendam terhadap seseorang mahupun kumpulan tertentu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata pelaku juga kononnya bertindak 'bijak' apabila tidak menyasarkan kenderaan milik pihak yang bertelingkah dengan mereka.

"Ini merupakan cabaran kepada polis untuk menjejaki identiti sebenar suspek kerana mereka tidak menyasarkan secara terus (membakar) kepada kenderaan milik mangsa.

"Kalau mereka bakar kenderaan milik sasaran utama, dah tentulah kita (polis)boleh kesan mereka berdasarkan bukti yang ada, seperti kaitan mereka dengan insiden yang terjadi sebelum itu," katanya.

Bagaimanapun menurut Mohd Bakri, skop siasatan polis adalah luas dan menerusi kerjasama orang ramai serta risikan selain rakaman kamera litar tertutup, pelaku pasti dapat dikesan.

"Orang ramai dianggap 'perisik' terbaik kepada Polis Diraja Malaysia dalam memberikan maklumat bagi menyelesaikan kes bakar kenderaan. Maklumat penting mereka dapat membantu kita menyelesaikan kes itu sekaligus mengelak kejadian berulang," katanya.

Menurut Mohd Bakri, walaupun pelaku tidak membalas dendam secara langsung kepada yang disasar, rasa puas hati timbul kerana dapat menaikkan kemarahan orang lain.

Selain balas dendam, motif lain yang dikesan polis setakat ini termasuk pergaduhan antara kumpulan berebut kawasan, rasa dengki dan tekanan perasaan.

Sejak kebelakangan ini, banyak insiden membakar kenderaan dilapor media dengan yang terkini berlaku minggu lepas di George Town, Pulau Pinang, membabitkan tujuh kereta yang diletak di tingkat tiga parkir Flat Taman Jade, Bukit Gambir.

Awal tahun lepas, 26 motosikal dan sebuah teksi yang diletak di kawasan parkir pangsapuri Desa Mentari Sunway, Petaling Jaya, dibakar dipercayai mempunyai kaitan dengan pergaduhan antara dua kumpulan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah dilapor berkata 23 kes membakar kereta mewah berlaku sepanjang Mac lepas di sekitar ibu negara, sementara pada April pula 32 motosikal dibakar dalam tempoh 24 jam.

Pada April 2010, enam kereta musnah dalam kebakaran di sebuah pusat menjual kereta terpakai di Taman Saujana Megah, Batu Gajah, Perak dan polis percaya perbuatan itu dilakukan dua lelaki yang hampir diberkas pengawal keselamatan premis ketika cuba mencuri besi, sehari sebelum kejadian.

Mereka yang disabit kesalahan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan ini boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda.

- BERNAMA Bakar kenderaan fenomena baru balas dendam - Polis

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran