Isnin, Januari 28, 2013

Baucar Buku 1Malaysia BB1M 2013 sebanyak RM250 seorang pelajar mula diagihkan

Penyerahan cek Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) bernilai RM325 juta yang memanfaatkan 1.3 juta pelajar, menyerikan Karnival Pengajian Tinggi Negara (KPTN) di Padang Varsiti, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Baucer buku itu diserahkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada wakil institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan, Politeknik dan Universiti Malaya (UM) selaku tuan rumah.
Daripada jumlah itu, RM134.2 juta untuk pelajar IPTA, RM107.5 juta (IPTS), RM23.6 juta (Politeknik) dan RM6.3 juta (UM) dengan setiap pelajar menerima RM250.

Baucar meningkat RM50

Mohamed Khaled berkata, kadar baucar berkenaan meningkat RM50, berbanding RM200 tahun lalu, antaranya selepas mengambil kira peningkatan harga buku di pasaran.

“Kita harap pelajar akan memanfaatkan baucar ini untuk membeli buku berkualiti,” katanya pada sidang media selepas melancarkan karnival ‘KPTN Jom Masuk U’ di sini, semalam.

BB1M turut memanfaatkan penuntut Pusat Matrikulasi dan pelajar Tingkatan Enam.

Tarikh masuk IPTA

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kementerian memutuskan tarikh kemasukan ke IPTA bagi sesi 2013/2014 bagi program ijazah pertama adalah pada 1 dan 2 September ini membabitkan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setarafnya.

Katanya, bagi program diploma untuk lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sesi kemasukan adalah pada 2 Jun, manakala program Asasi pada 26 Mei ini.

“Pada tahun ini, sejumlah 160,000 tempat disediakan untuk kemasukan ke IPTA serta institusi latihan dan kemahiran dan ia tidak termasuk 130,000 peluang kemasukan ke IPTS,” katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts