Kanang Anak Langkau meninggal dunia



KUCHING 3 Jan. - Pahlawan Negara, Pegawai Waran 1 (B) Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, 68, meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada pukul 1.45 pagi ini dipercayai akibat serangan jantung.

Isterinya, Datin Brawang Chunggot, 55, berkata, mendiang sebelum itu mengadu sakit dada sewaktu berada di kediaman mereka di Kampung Sungai Apong di sini.

"Semalam saya dan suami menonton siaran berita di televisyen sekitar pukul 11 malam, tiba-tiba dia mengadu sakit dada dan batuk seperti tersedak sesuatu.

"Saya kemudiannya memberi suami minum air suam sebelum dia jatuh pengsan," katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat HUS pagi ini.

Kanang yang bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pangkat terakhir sebagai Pegawai Waran 1 merupakan penerima tunggal dua pingat keberanian utama negara iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB) pada 1981.

Brawang berkata, beliau menghubungi ambulans dan meminta pertolongan daripada anak bongsunya serta jiran-jiran untuk membantu.

Katanya, suaminya itu kemudiannya dibawa menaiki ambulans ke HUS kira-kira pukul 1 pagi dan disahkan meninggal dunia 45 minit kemudian.

"Saya terkejut selepas doktor memberitahu suami saya sudah meninggal dunia sedangkan sebelum ini dia sihat dan tidak pernah mengadu sebarang penyakit.

"Sebelum ini, suami saya ada merancang untuk kami berdua pergi ke Kuala Lumpur menemui rakannya bagi berbincang mengenai produk Kopi Komando," katanya.

Kanang meninggalkan seorang isteri dan enam orang anak serta lapan cucu hasil perkahwinannya dengan isteri pertama, Helen Latai Intie yang meninggal dunia pada Januari 2011.

Antara yang terawal melawat mendiang ialah Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan isteri, Puan Sri Empiang Jabu yang mewakili kerajaan negeri Sarawak.

Turut berbuat demikian ialah Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar dan isteri, Datin Noraihan Ibrahim serta Panglima Markas Briged Ketiga Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Pahlawan Redzuan Baharuddin.

Mayat mendiang kini ditempatkan di Rumah Mayat HUS dan akan dibawa ke Dewan Suarah Kuching pukul 8 pagi esok manakala upacara sembahyang akan dilaksanakan di Gereja St. Thomas, Jalan McDougall sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan Jalan Budaya, Ahad ini.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.