Keputusan Anugerah Juara Lagu Ke-27 (AJL27)


KUALA LUMPUR 6 Jan. - Lagu Terukir Di Bintang dendangan Aizat mempamerkan kehebatan apabila dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu Ke-27 (AJL27) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil di sini malam ini.

Lagu yang dihasilkan oleh komposer dan penulis lirik, Yuna melayakkan mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM35,000 dan trofi.

Sementara itu, lagu nyanyian Azlan & The Typewriter berjudul Idola meraih naib juara.

Komposer Audi Mok dan penulis lirik lagu itu Azlan, membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM15,000 dan trofi.

Tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM12,000 serta trofi pula diraih menerusi lagu Ku Akui ciptaan Ajai, dendangan Hafiz.

Vokal mantap sewaktu menyampaikan lagu Ku Akui itu juga melayakkan Hafiz sekali lagi memenangi kategori Vokal Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM10,000 dan trofi.

Kategori persembahan terbaik pula diraih oleh Black dan RJ menerusi lagu Teman Pengganti.

Lagu ciptaan Malique itu berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,00 dan trofi.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.

AJL24 diserikan dengan persembahan pembukaan oleh Misha Omar yang mendendangkan lagu Bunga-Bunga Cinta dan Ziana Zain dengan lagunya Fatalistik.

Turut menghangatkan persembahan pembukaan ialah Faizal Tahir bersama Royal FT Force menerusi lagu Anti Graviti.

Penonton turut dibawa mengimbau kegemilangan zaman 'rock kapak' melalui persembahan Rahmat Mega dan Rodi Kristal, manakala Aris Ariwatan bergandingan dengan AG Coco mendendangkan lagu Lamunan Terhenti.

Selain itu, Joey bersama Edrie Hashim bergandingan untuk lagu Seribu Tahun Takkan Mungkin dan Ramli Sarip pula berganding bersama Man Kidal menerusi lagu Kamelia.

- UTUSAN
 

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.