Lot.my sasar 1,000 usahawan internet

LOT.MY Sdn Bhd, syarikat yang membangunkan kedai dalam talian, menyasarkan untuk membantu sekurang-kurangnya 1,000 usahawan memiliki kedai dalam talian dalam tempoh setahun menerusi aplikasi ShopLot di laman sembang sosial facebook.

Ketua Eksekutifnya, Mohamed Firdous Kamarul Jaman, berkata aplikasi ShopLot yang dibangunkan syarikat itu memberi peluang kepada pengguna facebook untuk menjana pendapatan melalui laman media sosial berkenaan.

Katanya, Lot.my adalah syarikat pertama di negara ini yang memperkenalkan aplikasi terbaru itu dan tumpuan pasaran pula tidak hanya di Malaysia, tetapi turut diperluaskan ke seluruh dunia.

Beliau berkata, antara faktor mendorong syarikat itu membangunkan aplikasi kedai dalam talian di facebook ialah kerana laman sembang sosial itu boleh diakses oleh lebih satu bilion pengguna di seluruh dunia termasuk 13.15 juta di Malaysia.

“Kami komited untuk memperkembangkan perkhidmatan ini hingga ke peringkat global dan pada pertengahan 2013 ini kami menyasar untuk memasuki pasaran Singapura, Indonesia dan Brunei bagi mempromosikan aplikasi terbaru ini," katanya.

Aplikasi ShopLot mudah untuk digunakan yang mana pengguna boleh terus membeli barangan melalui laman facebook. Ia juga membolehkan usahawan membuka kedai online lengkap, mudah dan berkesan.

Mohamed Firdous berkata, Lot.my dibangunkan supaya mudah digunakan walaupun oleh pengguna yang tiada kemahiran teknologi maklumat (IT) yang tinggi.

Katanya, usahawan yang menyertai aplikasi ShopLot yang dibangunkan syarikat itu juga akan diberikan kit memulakan perniagaan dalam talian dan perundingan mengenai pemborongan.

Beliau berkata, Lot.my turut memberikan latihan selama dua hari kepada mereka yang ingin membuka kedai dalam talian serta pemantauan sepanjang tahun.

“Untuk memulakan kedai dalam talian usahawan hanya perlu daftar, pilih reka bentuk kedai dan iklankan produk.

“Melalui pakej ShopLot, kami mendedahkan orang ramai kepada kaedah pemasaran melalui laman sosial berkenaan dan sebarang pertanyaan boleh menghantar emel kepada tanya@lot.my,” katanya.

- BERITA HARIAN

Lot.my sasar 1,000 usahawan internet

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.