Top Ad 728x90

,

Pengundi luar negara perlu isi borang di laman web SPR

Rakyat Malaysia di luar negara yang telah mendaftar sebagai pemilih dan ingin mengundi melalui pos boleh memuat turun borang permohonan menerusi lawan web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di http://www.spr.gov.my.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, Borang 1B atau Borang Permohonan Kertas Undi Pos (Pengundi Pos Luar Negara) dan garis panduan mengisi borang telah dimuat naik SPR pada laman web tersebut.

Jelasnya, pemilih berdaftar di luar negara yang ingin memohon kemudahan mengundi melalui pos mesti pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang daripada 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa.

"Bagaimanapun, mereka yang tinggal di Selatan Thailand (wilayah Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia tidak layak diberikan kemudahan mengundi melalui pos dan perlu balik mengundi pada hari pengundian dijalankan.

"SPR telah menetapkan syarat-syarat berkenaan bagi menunjukkan terdapat hubungan yang jelas di antara warganegara Malaysia dengan tanah airnya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, borang permohonan yang lengkap diisi hendaklah dihantar melalui pos kepada Ibu Pejabat SPR di Putrajaya atau e-mel kepada upup@spr.gov.my atau faksimili ke +603-88811201/ 1202/1187/1192.

Kamaruddin memberitahu, permohonan mengundi melalui pos dari luar negara akan ditutup pada hari pembubaran Parlimen dan permohonan yang diterima selepas pukul 12 tengah malam pada hari tersebut tidak akan diproses.

"Setiap permohonan yang diterima akan diproses oleh SPR dan pemohon akan dimaklumkan sama ada status permohonan itu diluluskan atau sebaliknya. Pemohon dinasihatkan sentiasa menyemak status permohonan menerusi laman web SPR," ujarnya.

SPR juga menasihatkan semua warganegara Malaysia yang mendaftar sebagai pengundi tidak hadir (PTH) di luar negara agar mengemas kini maklumat masing-masing melalui laman web SPR bagi memudahkan penghantaran Sampul Keutamaan yang mengandungi kertas undi kepada mereka.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90