Azmil Mustapha ditawar jadi calon PRU13


Kerajaan  tidak, pembangkang pun tidak. Barisan Nasional bukan pilihan, jauh sekali memilih parti Pakatan Rakyat.

Itu pendirian yang dibuat oleh Ali Setan - gelaran yang diterima kerana watak yang dilakonkan dalam filem pecah panggung lebih 20 tahun lalu.

Si Ali Setan, atau nama sebenarnya Azmil Mustapha, insan seni yang pernah mewarnai persada perfileman negara dengan lakonan mantap serta keberkesanan aksi.

Dalam menyempurnakan apa sahaja watak yang dipertanggungjawabkan, termasuklah watak Ali dalam filem bergandingan dengan Fauziah Ahmad Daud, dia memang pakar.

Bapa kepada lima anak ini juga sebati dengan imej ranggi kerana sering mengenakan seluar jeans koyak, jaket kulit, kemeja-T lusuh, rambut diwarnakan beranika warna. Juga selesa menunggang motosikal scrambler pada zaman mudanya, satu gaya hidup lepas bebas dunia lelakinya.

Namun begitu, hidupnya kini jauh berubah. Malah, imej juga amat berbeza dengan gelaran Ali Setan yang pernah diterimanya.

Dia berhijrah meninggalkan gemerlapan dunia seni dan berjinak-jinak dengan bidang dakwah pada sekitar 1998.

Semenjak itu, dia lebih banyak menumpukan perhatian mendalami ilmu agama dengan beberapa orang tokoh agama terkenal serta aktif memberi ceramah agama di sana-sini.

Tidak terhad di Malaysia, dia juga turut memberi ceramah sehingga ke Brunei, Indonesia dan Singapura.

Sekitar Ogos 2011, bekas pelakon yang berusia 60 tahun ini dihambat kontroversi apabila isi ceramahnya di Masjid Kampung Subang, Subang disalah anggap.

Ekoran itu, beliau mula digelar 'sesumpah' politik kerana berselindung di sebalik nama pendakwah yang pentas ceramah sebagai platform menyebarkan fahaman politik.

"Tidak, saya tidak pernah menyebelahi dan tidak pernah menyertai mana-mana parti politik," demikian tegasnya dalam pertemuan dengan Mega di Selangor, baru-baru ini.

Nampak dia bertegas dalam isu itu. Tidak mahu namanya terus dikaitkan dengan cerita bukan-bukan, Azmil tidak mahu sembunyikan kebenaran.

"Jujurnya, darah politik tidak mengalir dalam jiwa saya. Saya juga membantah sekeras-kerasnya jika ada sesiapa yang cuba mengaitkan saya dengan mana-mana parti mereka ," katanya di awal perbualan ketika di cungkil penglibatannya dalam politik.

Menolak dengan baik

Azmil tidak menafikan dia pernah didekati oleh beberapa parti politik yang mahu menyunting dirinya untuk mengibarkan bendera parti mereka.

Beberapa kali ditawarkan menyertai UMNO dan Pas semenjak penghijrahannya. Azmil bagaimanapun berpegang kepada prinsipnya.

Semua tawaran dan pelawaan yang diterima ditolak dengan baik kerana dia berpandangan bidang tersebut bukanlah kepakarannya.

Beliau percaya orang lain yang lebih layak untuk menyertai dunia politik, bukan dirinya.

"Ya, selepas penghijrahan beberapa tahun lalu, saya akui memang bertubi-tubi menerima pelawaan untuk menyertai UMNO dan Pas.

"Namun begitu, pelawaan tersebut saya terpaksa tolak. Untuk aktif apatah lagi bergelar ahli politik tidak pernah ada dalam rencana hidup saya.

"Biarlah orang lain yang lebih arif dan berminat menyertainya," katanya ketika ditemui di Hotel Grand Blue Wave hujung minggu lalu.

Tidak seperti rakan artis lain yang terjun ke medan politik selepas penghijrahan mereka, tidak pernah sekelumit pun di hati Azmil untuk mengikuti jejak langkah tersebut.

"Mungkin mereka sertai parti politik kerana ada habuan... tetapi bagi saya, kalau lakukan sesuatu perkara hanyalah kerana Allah kerana Allah yang akan memberi habuan," katanya sambil mengakui tidak pernah mengundi sepanjang hidupnya.

Azmil turut mengakui, pelawaan menyertai parti politik juga ditolak kerana beliau lebih senang menggandakan usaha dengan 'mendakap selimut syurga' yang akan memberi jaminan kepada kehidupan hari esok.

"Mendalami agama adalah ketenangan saya. Sudah lama saya tinggalkan gemerlapan dunia glamor sebagai anak wayang.

"Jadi untuk apa saya dedahkan diri saya kepada kekusutan yang lain pula? Politik bukan mudah.

"Biarlah jika rakan lain mahu aktif berpolitik, mungkin mereka ada sesuatu yang mahu dicapai.

"Saya lebih selesa kedamaian hakiki melalui aktiviti-aktiviti ibadah seharian, " jelas lelaki yang memiliki seraut wajah tenang dan tidak lokek dengan senyuman.

- UTUSAN
 

1 comment... add one now

AnonymousAnonymous 06 February, 2013
Kita perlu ada langkah bersepadu utk menjaga nur islam melalui peringkat pendidikan.Al-quran dan hadis menjadi teras utama di alam pendidikan peringkat rendah dan menjadi keutamaan di peringkat sekolah berasrama dan tinggi serta di jadikan sebagai pendidikan percuma utk melahirkan bakat2 baru yg dalam dunia ilmu pelbagai bidang dan tidak semestinya tertumpu kpd ilmu agama sahaja.Keutamaan adalah di beri kepada suasana pendidikn yg kondusif dan selamat.Matlamat sebenar ialah utk melahirkan suasana persaingan yg amat sihat di kalangan pelajar melayu islam dan mewujudkan pembinaan nilai2 moral yg tinggi serta berilmu, yg seimbang di dunia dan di akhirat.Dengan terwujudnya universiti Al-quran dan hadis yg berteraskan keilmuan yg seimbang di dunia dan di akhirat.Dapat membantu melahirkan ramai tokoh yg berwibawa utk pemimpin2 di masa2 hadapan.Sudah tiba masanya kita mengorak langkah,mengubah para ulamak yg berpolitik kepada ulamak yg berteraskan ilmu,menjaga ilmu serta mampu melaksanakan tugas2nya, berlandaskan syariah islam.Ramai bakat2 orang melayu yg berjaya di dalam dunia sekarang tetapi tidak akhirat.Jalan short cut pun banyak.Di harap ilmuwan2 melayu dapat membantu utk merealisasikan perkara yg baik ini,dgn kerjasama dewan ulamak islam.

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran