Beruang Matahari Dan Kuda Lumba Ditemui Mati Di Zoo Melaka


Beruang Matahari dan kuda lumba spesis 'Thoroughbred' ditemui mati disyaki diracun melalui makanan di Zoo Melaka dan Safari Malam di Melaka.

Pegawai Veterina zoo tersebut, Dr Zubaidah Kamarudin berkata beruang betina berusia antara 14 hingga 16 tahun itu ditemui mati 5 petang semalam sementara kuda lumba yang diberi nama 'Basket', 17, ditemui mati 7 pagi Isnin.

Beliau berkata dalam kejadian pertama pada Ahad, beruang itu dilaporkan dalam keadaan pelik oleh pelawat yang mengunjungi zoo tersebut.

"Apabila penjaga haiwan dan penyelia zoo tiba di kandang menempatkan beruang itu, ia masih hidup tapi mengalami sawan, air liur meleleh dan cirit-birit sebelum mati dalam masa yang singkat kira-kira lima minit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di zoo tersebut, Isnin.

Beliau berkata hasil bedah siasat yang dijalankan 8 malam tadi, beruang yang dijaga sejak tahun 2000 itu mati disebabkan makan pisang yang disyaki mengandungi sejenis serbuk racun.

Katanya kematian tersebut terlalu cepat berpunca daripada kerosakan saluran makanan yang teruk.

Dr Zubaidah berkata dalam kejadian kedua, Basket ditemui mati dalam keadaan rebah di kandangnya 7 pagi tadi dan bedah siasat akan dijalankan hari ini.

Beliau berkata pihak zoo turut menjumpai sebungkus beg plastik mengandungi buah limau, pisang dan tebu yang dipercayai telah dimasukkan sejenis serbuk dipercayai racun di kandang haiwan Cimpanzi.

Katanya bagaimanapun buah-buahan yang dipercayai dibawa dari luar itu tidak dimakan Cimpanzi tersebut.

"Kita syak ia adalah perbuatan sabotaj kerana selalunya haiwan di sini diberi makan selepas 5.30 petang namun kejadian yang berlaku sebelum ia diberi makan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata sampel makanan yang ditemui dalam kedua-dua perut haiwan tersebut dan serbuk dalam buah-buahan itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk mengetahui jenis racun yang digunakan.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata ekoran kejadian itu, kerajaan negeri mengambil keputusan melarang orang ramai memberi makanan kepada haiwan di zoo tersebut serta-merta berkuat kuasa Isnin.

"Kalau mereka nak bagi haiwan makan, mereka perlu membeli makanan daripada pihak zoo dan hanya haiwan yang dibenarkan sahaja boleh diberi makanan sebagai langkah mengelak kejadian sama berlaku," katanya kepada pemberita selepas diberi taklimat oleh Dr Zubaidah di zoo itu.

Beliau berkata pihak pengurusan zoo juga diminta memasang kamera litar tertutup yang besar sebagai langkah keselamatan.

Katanya kerajaan negeri juga menawarkan RM10,000 kepada individu yang menyalurkan maklumat berhubung kejadian tersebut sehingga tertangkapnya individu yang melakukan perbuatan sabotaj itu.

Mohd Ali berkata kuda lumba yang merupakan milik persendirian itu ditempatkan di zoo berkenaan sejak tiga tahun lepas sementara Beruang Matahari adalah milik zoo yang mempunyai empat ekor haiwan jenis itu.

Beliau berkata kejadian tersebut menyebabkan zoo berkenaan kerugian RM5,000 dan laporan polis dibuat hari ini.

Sumber : BERNAMA


0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.