Top Ad 728x90

Dana RM10 Juta untuk Usahawan Muda

Dana RM10 Juta untuk Usahawan Muda

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) meningkatkan had pembiayaan Skim Prosper Usahawan Muda (PUMA) kepada RM100,000 daripada RM50,000 sebelum ini bagi menggalakkan lagi penyertaan Bumiputera dalam sektor peruncitan dan pengedaran.

Bagi tujuan itu, Ketua Eksekutifnya, Dzulkifli Fadzilah (gambar), berkata PUNB memperuntukkan dana RM10 juta tahun ini dengan sasaran membantu lebih 200 usahawan muda dan siswazah, yang merancang memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

Katanya, agensi itu menawarkan pembiayaan antaranya kepada bidang perniagaan telekomunikasi dan peralatan komputer, pendidikan, pengedaran dan pasar basah, pakaian, kosmetik dan servis kecantikan, alatan logam dan perkhidmatan kejuruteraan, perhiasan rumah serta automotif.

“Sebagai inisiatif berterusan PUNB untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam peruncitan dan pengedaran, terutama dalam sektor strategik, kami pada Ogos tahun lalu menaikkan had umur penyertaan PUMA yang dulunya dikenali sebagai Skim Prosper Siswazah kepada 33 tahun.

“Baru-baru ini kami meningkatkan pula had pembiayaan kepada RM100,000 bergantung kepada keperluan projek atau perniagaan yang diusahakan oleh usahawan dan perlu berdaya maju,” katanya ketika ditemui BH di sini, baru-baru ini.

Dzulkifli berkata, PUNB tahun lalu sudah meluluskan pembiayaan berjumlah RM4.5 juta yang disalurkan kepada 109 perniagaan daripada RM10 juta yang diperuntukkan.

Beliau berkata, bagi meningkatkan penyaluran dana itu, peminjam kini boleh membuat permohonan di lima cawangan PUNB iaitu di Kuala Terengganu, Johor Bahru, Cawangan UTC Ipoh, Butterworth dan Cawangan UTC di Melaka.
Sebelum ini, katanya, semua urusan permohonan dibuat di Ibu Pejabat PUNB di Plaza Sentral, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kemudahan pembiayaan yang ditawarkan bagi skim itu adalah dari RM5,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga tujuh tahun.

Tiada cagaran diperlukan, bagaimanapun katanya, peminjam perlu menyediakan sebanyak RM500 sebagai modal permulaan perniagaan.

“PUNB turut menyediakan perkhidmatan perniagaan yang merangkumi khidmat pra operasi perniagaan, pemantauan akaun dan khidmat nasihat perniagaan. Selain itu, PUNB turut menganjurkan kursus berkaitan seperti motivasi perniagaan, pembangunan pengurusan dan tadbir urus korporat,” katanya.

Mengenai pelaburan PUNB dalam sektor hartanah, Dzulkifli berkata, agensi itu memperuntukkan sebanyak RM30 juta tahun ini bagi pembelian premis dan unit perniagaan di kawasan strategik terutama di Johor Bahru, Pulau Pinang dan Lembah Klang untuk disewakan kepada usahawan Bumiputera.

Katanya, ketika ini PUNB memiliki lebih 80 unit perniagaan di seluruh negara yang sebahagian besarnya disewakan kepada usahawan pada kadar yang kompetitif.

“Segmen hartanah pada masa ini menyumbang kurang lima peratus kepada pendapatan PUNB dan kami menyasarkan meningkatkannya kepada 10 peratus menjelang 2015 menerusi langkah meningkatkan pembelian unit hartanah,” katanya.

- BERITA HARIAN


0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90