Kasut tumit tinggi untuk cantik atau sakit?

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM

Memang benar, kasut bertumit tinggi pelengkap gaya seseorang wanita. Selain rekaannya yang cantik, kasut tumit tinggi membuatkan wanita berdiri dengan gaya menawan berbanding berkasut rendah.

Malah ia menambah sentimeter pada si pemakai agar kelihatan setanding dengan supermodel yang berjalan di pentas peragaan. Sekali gus, ia meningkatkan keyakinan diri dan membuatkan si pemakainya lebih menarik.

Realitinya, tiada yang baik mengenai kasut tinggi kecuali rekaannya.

Apa yang wanita tidak sedar atau pura-pura tidak sedar, pemakaian kasut tinggi merosakkan badan mereka.

Selain kecenderungan yang tinggi untuk terseliuh di bahagian buku lali, pelbagai lagi masalah disebabkan oleh kasut bertumit tinggi seperti radang saraf dan ligamen, sakit pada belakang buku lali, otot betis memendek dan sakit belakang yang kronik.

Masalah

Pengarah Urusan MyOrtho dan Pakar Orthotik dan Prostetik, Edmund Lee berkata, kaki adalah asas badan yang perlu dijaga dengan betul agar tidak mengganggu sistem lain yang menjejaskan kesihatan.

"Masalah yang sering dihidapi mereka yang gemar berkasut tumit tinggi antaranya bunion (hallux valgus) iaitu ibu jari kaki masuk ke dalam ke arah jari kedua lalu menyebabkan benjolan pada bahagian luar kaki di sebelah ibu jari kaki.

"Ini akan menyebabkan rasa tidak selesa timbul terutamanya ketika memakai kasut yang bertutup di hadapan dan runcing sehinggakan ada kes memerlukan pembedahan, bergantung kepada tahapnya.

"Tekanan berat badan pada hujung kaki juga akan menyebabkan jari ketiga dan keempat menyempit lalu menyebabkan kesakitan pada saraf.

"Keadaan itu juga akan menyebabkan darah tidak dapat bergerak dengan betul kerana tersekat lalu menyebabkan kesakitan.

"Betis turut akan memendek dan tegang akibat tumit tertolak ke atas dan akibatnya kaki sering mengalami kekejangan dan sakit di bahagian tumit," ujarnya yang baru-baru ini mengadakan Karnival 1Malaysia Kaki dan Tulang Belakang Sihat di Tropicana City Mall, Petaling Jaya. Karnival itu bertujuan meningkatkan kesedaran penjagaan kaki dan tulang belakang di Malaysia.

Menurut Edmund, kulit di beberapa bahagian kaki yang sering menerima tekanan akan mengeras seperti di bahagian tapak kaki, di bawah jari serta bahagian tepi hujung kaki.

Lutut pula akan mula sakit kerana kasut tinggi menyebabkan badan tidak stabil lalu lutut digunakan untuk menyeimbangkan badan.

Kasut tumit tinggi turut menyebabkan kesakitan akibat saraf bengkak atau menebal pada bola kaki yang digelar morton's neuroma, pembesaran tulang di belakang tumit (kecacatan haglund) dan jari bengkok (claw hammer).

Selain bahagian kaki, masalah serius yang dihidapi oleh si pemakai kasut bertumit tinggi yang tegar ialah sakit bahagian tulang belakang.

Menggunakan kasut tumit tinggi akan menyebabkan pinggul condong ke depan dan menambahkan lengkungan pada tulang belakang.

Tulang belakang akan miring ke belakang bagi menyokong keseimbangan badan lalu memberikan tekanan pada tulang belakang.

Pencegahan Terang Edmund, tidak salah jika tidak mahu ketinggalan mengikuti perkembangan fesyen berkasut tumit tinggi asalkan tidak memakainya dalam tempoh yang lama dalam satu masa dan mengamalkan pelbagai langkah penjagaan seperti senaman kaki selepas berkasut tumit tinggi.

"Seelok-eloknya, kasut bertumit tinggi hanya dipakai pada majlis tertentu untuk tempoh beberapa jam sahaja.

"Beri sokongan yang lebih terhadap tapak kaki dengan memilih kasut tinggi yang mempunyai tapak berbentuk atau menggunakan lapik dalam kasut khas mengikut bentuk kaki sendiri.

"Kasut bertumit tinggi yang melebihi empat inci ketinggiannya amat bahaya kepada kaki dan tulang belakang di samping menjejaskan keselamatan si pemakai," ujarnya.

Ketinggian yang sesuai dengan bentuk kaki sebenarnya paling maksimum setinggi 1.5 inci sahaja untuk kegunaan dalam tempoh lama.

Ujarnya lagi, senaman dan regangan amat perlu terutamanya bagi mereka yang sering menggunakan kasut tumit tinggi setiap hari seperti model dan pramugari.

Senaman dilakukan dengan melunjurkan kaki dan mengangkat hujung kaki beberapa kali bagi memberi kelegaan pada buku lali.

Regangan kaki terutama pada bahagian betis boleh dilakukan dengan menjarakkan kaki ke bahagian sisi dan menekannya ke bawah beberapa kali.

Juga digalakkan bertemu dengan pakar orthotik dan prostetik bagi menjalani rawatan manipulasi kaki bagi membetulkan tulang yang sering bergesel bagi mengurangkan geseran.

"Apa pun, penjagaan kaki dari awal amat penting supaya tidak memudaratkan ketika tua," ujarnya.

- UTUSAN

Kasut tumit tinggi untuk cantik atau sakit?

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.