MAS tambah berat bagasi daftar masuk

Malaysia Airlines System Bhd. (MAS), menambah kadar berat bagasi daftar masuk sebanyak 10 kilogram (kg), menjadikannya 30kg untuk kelas ekonomi, 40kg (kelas bisnes) dan 50kg (kelas pertama) bermula 14 Februari 2013.

Tambahan berat itu merangkumi semua perjalanan bermula dari tarikh tersebut walaupun tiket telah dikeluarkan sebelum hari berkenaan.

Polisi baharu itu juga menawarkan penurunan caj lebihan bagasi untuk perjalanan dalam semua kelas kecuali perjalanan pergi balik ke Los Angeles.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya berkata, polisi baharu itu bagi penambahbaikan jenama perkhidmatan MAS dalam persaingan industri penerbangan komersial.

"Para penumpang sekarang semakin bijak memilih syarikat penerbangan maka bagi menarik lebih ramai menaiki MAS, kadar berat bagasi daftar masuk ditambah," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Caj tambahan berat bagasi bergantung kepada zon perjalanan dan caj dikenakan bagi setiap lebihan lima kilogram daripada berat bagasi yang ditetapkan.

Katanya, kadar tambahan bagi lebihan lima kilogram untuk perjalanan antara Malaysia dan negara Asia Tenggara seperti Singapura, Brunei, Indonesia, Filipina, Myanmar, Thailand, Vietnam dan Kemboja ialah RM30.

"Di kawasan luar Asia Tenggara pula dikenakan caj tambahan sebanyak RM60 bagi perjalanan antara Malaysia, India, China, Sri Lanka, Maldives, Hong Kong, China, Taiwan, Bangladesh, Nepal, Jepun, Korea, New Zealand dan Australia.

"Sementara itu, caj tambahan bagasi antara benua sebanyak RM90 dikenakan ke atas penerbangan antara Malaysia, Jeddah, London, Amsterdam, Paris, Frankfurt dan Istanbul," jelasnya.

Katanya, caj tambahan bagi perjalanan balik dari luar negara akan mengikut nilai mata wang negara berkenaan ketika daftar masuk.

Polisi baharu itu tertakluk kepada penerbangan MAS sahaja dan tidak merangkumi perkongsian kod dan melibatkan pesawat lain.

Bermula Mei tahun lepas, MAS telah menyelaraskan peraturan bagasi untuk semua penerbangan domestik dan antarabangsa yang mana penumpang kelas ekonomi dibenarkan membawa satu bagasi ke dalam kabin penumpang dengan berat maksimum tujuh kilogram manakala penumpang kelas bisnes (dua bagasi dengan berat maksimum 14kg).

- UTUSAN



MAS tambah berat bagasi daftar masuk

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.