Penerbit Reader's Digest fail muflis


WILMINGTON: RDA Holding Co, penerbit majalah Reader’s Digest yang berusia 91 tahun, memfailkan tuntutan muflis bagi mengurangkan hutangnya yang berjumlah AS$465 juta.

Syarikat itu juga akan memberi fokus kepada operasi di Amerika Utara susulan peralihan pengguna daripada media cetak kepada elektronik.

Syarikat itu adalah yang terbaru selepas beberapa perniagaan ikonik lain yang meminta perlindungan mahkamah, termasuk Hostess Brands Inc, pengeluar Twinkies dan Wonder Bread dan Eastman Kodak Co, syarikat yang mengeluarkan Kodachrome dan kamera Instamatic.

Reader’s Digest, yang ditubuhkan oleh DeWitt dan Lila Wallace, mula dipasarkan pada 1990.

Kumpulan pelabur yang diketuai oleh syarikat ekuiti persendirian, Ripplewood Holdings LLC membelinya pada harga AS$1.6 bilion pada 2007 dengan andaian hutang sebanyak AS$800 juta.

Syarikat berkenaan juga sudah memfailkan tuntutan muflis pada Ogos 2009, yang menegaskan penurunan dalam perbelanjaan pengiklanan dan beban hutang yang ditanggung menerusi pengambilalihan berkenaan.

Syarikat itu menyenaraikan masing-masing aset dan hutang lebih AS$1 bilion menerusi dokumen Bab 11 yang difailkan kepada Mahkamah Bankrapsi AS di White Plains, New York, kelmarin.

Di bawah perjanjian penstrukturan yang disokong oleh Wells Fargo & Co itu, baki AS$465 juta hutang berkenaan akan ditukar kepada dalam bentuk ekuiti.

Syarikat itu menjangkakan mempunyai hutang sebanyak AS$100 juta apabila ia keluar daripada Bab 11, iaitu pengurangan kira-kira 80 peratus.

Di kalangan syarikat terbesar pemberi hutang tidak bercagar yang disenaraikan dalam tuntutan mahkamah ialah Luxor Capital Group of New York, disenaraikan sebagai agensi pentadbiran membabitkan pinjaman AS$10 juta dan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan AS, dengan tuntutan sebanyak AS$8 juta.

“Kami telah melalui satu proses untuk memudahkan dan merasionalkan perniagaan antarabangsa kami dengan melesenkan pasaran tempatan kami kepada pihak ketiga, kepada penerbit yang lain, kepada pelabur lain dan ini menjadi sebahagian besar usaha untuk menstruktur syarikat dan mengurangkan kadar hutang,” kata Ketua Eksekutif Reader’s Digest, Robert Guth dalam satu temuramah kelmarin.

Reader’s Digest mempunyai lebih 25 juta pembaca, menurut laman webnya. Syarikat itu turut menerbitkan 75 majalah di seluruh dunia termasuk 49 edisi Reader’s Digest, Taste of Home, Family Handyman dan Birds & Blooms.

Sumber : Bloomberg 

 

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.