Top Ad 728x90

, ,

80,000 unit PR1MA di Lembah Klang

80,000 unit PR1MA di Lembah Klang

Datuk Seri Najib Razak semalam menjelaskan, rakyat yang memiliki rumah mampu milik menerusi program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bukan saja menambah aset, malah dapat meningkatkan nilai kekayaan peribadi.

Perdana Menteri berkata, keuntungan hasil pemilikan kediaman PR1MA terbukti apabila harga ditawarkan dalam lingkungan mampu dibeli kumpulan sasar yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM7,000 sebulan iaitu sekurang-kurangnya 20 peratus lebih rendah berbanding harga di pasaran.

Program hasil kekayaan

“Pelaksanaan projek berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai projek untuk memiliki rumah semata-mata, sebaliknya ia boleh dianggap sebagai program menghasilkan kekayaan.

“Jarang ada projek seperti ini. Kalau kita beli kereta hari ini, esok nilainya akan susut, tetapi jika kita dapat rumah PR1MA hari ini, mungkin esok kita bakal mendapat untung 20 hingga 30 peratus. Sebab itu projek ini mendapat sambutan yang cukup hangat,” katanya pada majlis pelancaran Rumah PR1MA Lembah Klang dan PR1MA Alam Damai di Bandar Tun Razak, Cheras, semalam.

Setakat ini, lebih 100,000 unit rumah PR1MA dilancarkan untuk manfaat rakyat berusia lebih 21 tahun, berpendapatan antara RM2,500 hingga RM7,000 dan memiliki sebuah rumah, sama ada bujang atau berkeluarga.

Jumlah berkenaan membabitkan 25,000 di Johor, 11,000 (Negeri Sembilan), 10,000 (Pulau Pinang), 10,000 (Melaka) dan terbaru diumumkan sebanyak 50,000 rumah PR1MA akan dibina di sekitar Lembah Klang.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik; Pengerusi PR1MA, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis; Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat.

Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan 80,000 unit rumah mampu milik bagi warga kota berpendapatan sederhana di sekitar Lembah Klang dan Wilayah Persekutuan.

Sedia kemudahan

Katanya, daripada jumlah itu, 50,000 unit akan dibina di Lembah Klang menerusi PR1MA, manakala baki 30,000 unit lagi adalah komitmen Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar di Wilayah Persekutuan, termasuk Putrajaya dan Labuan.

Mengenai PR1MA Alam Damai, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, projek itu terletak di lokasi strategik kerana boleh diakses dari Lebuh Raya Cheras-Kajang, Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan bakal mempunyai tiga stesen My Rapid Transit (MRT).

Beliau berkata, projek di PR1MA Alam Damai membabitkan 2,078 unit akan dibangunkan secara usaha sama antara PR1MA, Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) dan pemaju swasta iaitu Transgreen Sdn Bhd.

Permohonan rumah PR1MA boleh dibuat di : http://www.pr1ma.my/

- BERITA HARIAN


0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90