Isnin, Mac 18, 2013

Astro tambah satelit baru pada 2014


Astro Malaysia Holdings Bhd. (Astro) akan menggunakan satelit tambahan baharu bermula tahun hadapan untuk memacu pertumbuhan siaran berdefinisi tinggi (HD).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Rohana Rozhan berkata, ketika ini satelit yang disewa oleh Astro dengan kapasiti 18 transponder daripada Measat telah mencapai tahap optimum operasinya.

"Kami akan menyewa 18 transponder daripada satelit baharu berkenaan dengan kos AS$2 juta (RM6.2 juta) setahun untuk setiap transponder.

"Penambahan transponder ini bukan hanya untuk menambah saluran sedia ada tetapi juga untuk menambah nilai perkhidmatan Astro dengan menambah bilangan saluran HD," katanya kepada Utusan Malaysia.

Ketika ini Astro memiliki 170 saluran kandungan dengan 70 saluran daripadanya adalah buatan tempatan manakala HD pula sebanyak 28 saluran.

Daripada segi kos kandungan pula, sebanyak 40 peratus diperuntukkan untuk kandungan sukan, 30 peratus untuk kandungan tempatan dan 30 peratus lagi kandungan luar negara.

Rohana berkata, trend permintaan terhadap saluran HD semakin meningkat ketika ini disebabkan gaya hidup dan juga perkembangan penggunaan televisyen HD.

"Kami merancang memiliki 60 saluran HD pada masa depan dan mewujudkan kandungan baharu berbayar seperti drama bersiri.

"Astro perlu membuat persediaan dengan menawarkan pelbagai saluran HD kepada pelanggan dalam usaha untuk menarik mereka menggunakan pakej B.yond HD sepenuhnya," jelasnya.

Kos untuk setiap dekoder B.yond HD adalah RM600 sebuah dan ditanggung Astro manakala pelanggan hanya dikenakan caj bulan untuk saluran HD bernilai RM20 sebulan.

Beliau berkata, cabaran Astro sangat besar dalam dunia penyiaran tempatan, selain menerima saingan sengit penyiaran saluran televisyen percuma pihaknya juga berdepan dengan masalah cetak rompak.

"Astro perlu ada keunikan dalam setiap kandungannya dan dalam masa yang sama perlu pantas dalam bersaing dengan bahan cetak rompak sama ada dalam bentuk fizikal ataupun muat turun daripada internet.

"Sebab itu inovasi kami meliputi produk isi rumah dan juga individu. Kami mahu pelanggan meletakkan Astro sebagai pilihan utama jika mahu menikmati sebarang kandungan rancangan," ujarnya.

Pertengahan bulan ini Astro akan melancarkan B.yond IPTV dengan platform Maxis Fibre yang membolehkan pelanggan menikmati pakej lengkap dengan talian telefon, internet, IPTV dan saluran Astro dengan nilai yang sangat berbaloi.

- UTUSAN

 


0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts