Bagaimana Proses Pilihanraya Dilaksanakan



1) Pembubaran Dewan

Apabila Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan, SPR akan menerima pemakluman rasmi yang dihantar oleh Yang DiPertua Dewan atau Speaker kepada SPR. Mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, SPR mempunyai tempoh selama 60 hari untuk mengadakan pilihan raya.

2)Persiapan

Bagi tujuan menetapkan tarikh penamaan calon, pengeluaran undi pos, pengundian awal dan tarikh pengundian, SPR akan mengadakan mesyuarat yang dihadiri oleh semua anggota SPR. Sebelum itu, SPR akan mengundang semua wakil kementerian/jabatan/agensi kerajaan dan swasta di peringkat pusat untuk mendapatkan kerjasama mereka dalam membantu SPR mengadakan pilihan raya. Mereka turut dipelawa memberikan pandangan bagi memudahkan SPR menetapkan tarikh-tarikh pilihan raya.

Apabila tarikh tersebut telah ditentukan, SPR akan mengumumkan tarikh-tarikh tersebut dalam media massa. Seterusnya, writ atau surat kuasa akan diserahkan kepada semua Pegawai Pengurus yang akan membantu SPR menguruskan pilihan raya di bahagian-bahagian pilihan raya di mana mereka dilantik. Kebiasaannya, mereka yang dilantik adalah dalam kalangan Pegawai-Pegawai Daerah atau Yang DiPertua Majlis-Majlis Daerah. Pemilihan mereka disebabkan keupayaan mereka mengawal jentera-jentera kementerian/jabatan/agensi kerajaan di peringkat daerah atau kawasan pentadbiran mereka.

Setelah itu, SPR akan mengeluarkan notis memaklumkan tarikh, masa dan tempat penamaan calon selain mempelawa mereka yang berminat untuk hadir menyerahkan pencalonan mereka pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan. Sementara menunggu hari penamaan calon, Pegawai-Pegawai Pengurus akan mengadakan mesyuarat penyelarasan di peringkat bahagian pilihan raya dengan semua wakil kementerian/jabatan/agensi kerajaan dan swasta bagi mendapatkan bantuan dan kerjasama mereka dalam pengendalian urusan pilihan raya yang bakal diadakan. Pegawai-Pegawai Pengurus turut melantik dan melatih petugas-petugas yang akan melaksanakan urusan pilihan raya di Pusat-Pusat Mengundi.

3) Penamaan Calon

Apabila tiba hari penamaan calon, Pegawai-Pegawai Pengurus akan membuka kaunter penerimaan kertas penamaan calon. Kebiasaannya, tempoh penyerahan kertas penamaan calon adalah dari jam 9.00 pagi hingga jam 10.00 pagi. Dalam pilihan raya kali ini, urusan pameran dan bantahan ke atas kertas penamaan calon tidak lagi diadakan. Selain itu, tiada lagi peluang untuk menarik diri dibuka untuk calon selepas muktamadnya penyerahan kertas penamaan pada jam 10.00 pagi. Ini bermaksud, Pegawai Pengurus akan memeriksa kelayakan calon dan kesempurnaan kertas penamaan calon dan memuktadkannya selepas jam 10.00 pagi. Selepas itu, Pegawai Pengurus akan mengumumkan sama ada terdapat pertandingan di bahagian pilihan raya tersebut. Sekiranya terdapat pertandingan, Pegawai Pengurus akan mengumumkan nama calon-calon yang akan bertanding serta tarikh-tarikh pengundian.

4) Tempoh Berkempen

Kempen adalah medium untuk memperkenalkan calon, ideologi politiknya serta pelan perancangan beliau atau partinya untuk membangunkan bahagian pilihan raya di mana beliau bertanding. Tempoh berkempen bermula dari pengumuman terdapatnya pertandingan oleh Pegawai Pengurus pada hari penamaan calon dan berakhir jam 12.00 malam sebelum hari pengundian. Bagi tujuan memastikan kempen dilaksanakan secara aman dan teratur, SPR telah menubuhkan Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh ejen-ejen calon yang bertanding. Kempen boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara bagi menjelaskan kepada masyarakat pengundi tentang kelebihan calon agar beliau dipilih mewakili masyarakat setempat dalam pilihan raya tersebut. Tugas PP-KPR adalah bagi memastikan semua jenis medium kempen sama ada secara bersemuka atau melalui bahan kempen tidak menyentuh sensitiviti perkauman atau menjejaskan perpaduan dan permuafakatan masyarakat. Keputusan PP-KPR untuk mengenakan tindakan terhadap sesuatu ceramah atau bahan kempen dilakukan secara bersama oleh semua ahli PP-KPR termasuk oleh ejen-ejen calon yang menganggotai pasukan tersebut.

5) Hari Pengundian

Kebiasaannya, bangunan sekolah akan dijadikan sebagai Pusat Mengundi dan bilik-bilik darjah akan dijadikan sebagai Tempat Mengundi. Kawasan sekitar 50 meter daripada pagar sekolah adalah zon larangan kecuali bagi pengundi dan para petugas. Zon larangan ini disediakan bagi memberikan keselesaan kepada para pengundi. Selain pihak polis yang menguatkuasakan undang-undang dan menjaga keselamatan pengundi, petugas-petugas yang dibenarkan berada dalam Pusat Mengundi adalah Penyelia Pusat Mengundi, Pemandu Arah Pusat Mengundi, dan Kerani-Kerani Penyemak Daftar Pemilih. Mereka ini bertugas di luar bilik darjah dengan cara membantu pengundi-pengundi menyemak lokasi Tempat Mengundi mereka, dan menunjukkan lokasi tersebut selain membantu mereka yang uzur dan kurang upaya. Di dalam Tempat Mengundi (bilik darjah) pula, Ketua Tempat Mengundi dan kerani-kerani pengundian ditugaskan melaksanakan proses pengundian. Semasa hari pengundian, semua petugas dikehendaki datang awal bagi mempersiapkan Tempat Mengundi. Ejen-ejen yang dilantik oleh calon juga dibenarkan masuk awal ke Tempat Mengundi. Peranan ejen adalah bagi memerhati perjalanan pengundian. Sebelum Tempat Mengundi dibuka, Ketua Tempat Mengundi akan menutup dan memeteraikan peti undi di hadapan ejen-ejen yang hadir. Pada jam 7.50 pagi, Pusat Mengundi akan dibuka dan para pengundi bolehlah menyemak lokasi Tempat Mengundi mereka di barung SPR. Selepas itu, mereka bolehlah terus ke Tempat Mengundi masing-masing dan beratur di luar Tempat Mengundi tersebut. Sebelum pengundian berlangsung, Ketua Tempat Mengundi akan mengisi butiran buku kertas undi ke dalam Borang 13. Butiran yang diisikan adalah butiran tempat dan Pusat Mengundi selain bilangan serta nombor siri kertas undi yang akan digunakan. Ia merupakan satu prosedur standard bertujuan memastikan kesahihan bilangan kertas undi yang akan diguna pakai dengan kertas undi yang rosak atau tidak dikembalikan. Ejen-ejen calon juga dibenarkan untuk memeriksa kandungan Borang 13 ini. Sejurus sebelum pengundian dimulakan, Ketua Tempat Mengundi akan memberikan taklimat ringkas kepada kerani-kerani pengundian dan ejen calon tentang perjalanan pengundian dan perkara-perkara yang dibolehkan dan tidak boleh dilakukan sepanjang proses tersebut.

6) Proses Pengundian

Sebaik jam 8.00 pagi Tempat Mengundi akan dibuka dan pengundi akan dibenarkan masuk. Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh pengundi adalah menyerahkan kad pengenalan dan slip semakan kepada Kerani Pengundian Pertama. Kerani akan menyemak nama pengundi dalam daftar pemilih dan meminta pengundi bergerak ke hadapan Kerani Pengundian Kedua. Kerani Pengundian Kedua akan meminta pengundi meletakkan jari di atas pad yang disediakan untuk proses calitan dakwat kekal. Dakwat kekal dicalitkan di atas permukaan jari telunjuk tangan kiri pengundi. Sekiranya pengundi tiada jari telunjuk, dakwat kekal akan dicalit di mana-mana jari tangan kiri sebelum beralih ke jari tangan kanan sekiranya tangan kiri pengundi tidak mengandungi sebarang jari . Sesudah jari dicalit, Kerani Pengundian Pertama akan meneriakkan nama pengundi untuk disemak oleh ejen-ejen tempat mengundi yang hadir. Ejen-ejen tempat mengundi akan hadir memerhatikan perjalanan proses pengundian daripada bermulanya proses tersebut sehinggalah tamat proses pengiraan undi. Ejen-ejen tempat mengundi turut menggunakan buku daftar pemilih yang sama dengan Ketua Tempat Mengundi, Kerani Pengundian dan Kerani Penyemak Daftar Pemilih. Selepas nama diteriakkan, pengundi akan diberikan kertas undi oleh Kerani Pengundian Ketiga. Kertas undi ini dicapkan dengan tanda pengenalan Tempat Mengundi. Setelah menerima kertas undi, pengundi bolehlah beredar ke petak undi untuk menandakan kertas undinya. Pengundi perlu menandakan 'X' pada petak disebelah nama calon pilihannya. Seterusnya, kertas undi tersebut perlu dimasukkan ke dalam peti undi. Pengundi perlu segera beredar keluar daripada Tempat Mengundi sebaik sahaja memasukkan kertas undinya ke dalam peti undi. Proses ini akan terus berlangsung sehingga jam 5.00 petang iaitu masa Tempat Mengundi ditutup.

7) Proses Mengira Undi

Sebaik sahaja Tempat Mengundi ditutup, Ketua Tempat Mengundi akan menutup bukaan/mulut peti undi dan memeteraiakannya dengan cara meletakkan perekat keselamatan. Penutupan peti undi ini dilakukan di hadapan ejen-ejen tempat mengundi/ mengira undi yang hadir. Petugas-petugas pula akan bertindak menyusun semula Tempat Mengundi mengikut susunan proses pengiraan undi. Sebelum kiraan dimulakan, Ketua Tempat Mengundi akan memberikan taklimat ringkas berhubung proses pengiraan undi. Proses pengiraan undi bermula dengan memotong ikatan penutup peti undi dan mengeluarkan kertas undi untuk dimasukkan ke dalam dulang 'Undi Belum Dikira'. Kertas-kertas undi kemudiannya dikira dalam bilangan sepuluh dan diikat dalam bilangan seratus. Proses ini bertujuan mendapatkan bilangan sebenar kertas undi yang berada dalam peti undi untuk direkodkan ke dalam Borang 13. Sekiranya bilangan kertas undi adalah sama atau kurang, proses pemaparan kertas undi boleh dimulakan. Sekiranya berlebihan daripada yang dinyatakan dalam Borang 13, Ketua Tempat Mengundi terpaksa mengambil tindakan seperti yang berikut:

1) memeriksa nombor siri kertas undi bagi memastikan hanya kertas undi dalam turutan nombor siri yang dinyatakan dalam Borang 13 sahaja berada dalam peti undi tersebut. Sekiranya, Ketua Tempat Mengundi menjumpai kertas yang berlainan nombor sirinya, kertas undi tersebut perlulah diketepikan.

2) selain memeriksa nombor siri, Ketua Tempat Mengundi juga boleh memeriksa tanda cap pada kertas undi. Ini kerana cap yang digunakan bagi setiap Tempat Mengundi adalah unik.

Setelah selesai, Ketua Tempat Mengundi akan memohon ejen-ejen tempat mengundi/ mengira undi untuk menandatangani Borang tersebut sebagai tanda memahami tatacara yangdilaksanakan dan berpuas hati dengan pengendalian tatacara tersebut.Kemudian, barulah proses pemaparan kertas undi boleh dimulakan. Proses ini dilakukan oleh kerani-kerani mengira undi dan dilakukan di hadapan ejen-ejen tempat mengundi/ mengira undi yang hadir. Proses pemaparan kertas undi adalah proses membuka dan memperlihatkan kertas undi kepada ejen-ejen tempat mengundi/ mengira undi yang hadir sebelum dimasukkan ke dalam dulang-dulang bersimbol calon mengikut tanda di atas kertas undi. Apabila selesai proses pemaparan ini, barulah kertas-kertas undi ini dikira mengikut dulang masing-masing. Bilangan kertas undi dalam setiap dulang akan dimaklumkan kepada Ketua Tempat Mengundi. Sekiranya terdapat kertas undi ragu, Ketua Tempat Mengundi akan memutuskannya mengikut Buku Panduan Memutuskan Undi Ragu dan keputusan Ketua Tempat Mengundi adalah muktamad. Maklumat berkaitan bilangan undi yang diperoleh oleh setiap calon akan diisikan ke dalam Borang 14 (Borang Keputusan Undi Bagi Setiap Tempat Mengundi). Salinan Borang 14 yang telah lengkap diisi akan diberikan kepada ejen-ejen tempat mengundi/ mengira undi selepas mereka menandatangani borang tersebut. Ini bermaksud semua pihak mempunyai salinan keputusan yang sama dan tidak boleh diubah lagi.Selepas itu, semua kertas undi akan dimasukkan ke dalam sampul-sampul, dimeterai dan dimasukkan ke dalam peti undi. Peti undi yang telah dimeterai akan di bawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi untuk simpanan selamat. Borang 14 pula akan diserahkan kepada Pegawai Pengurus untuk dijumlahkan dengan semua Tempat Mengundi lain dalam bahagian pilihan raya tersebut.

Borang 10 digunakan sebagai akuan identiti orang yang dipercayai oleh pengundi uzur atau OKU yang membantu pengundi tersebut mengundi dalam tempat mengundi

Borang 11 digunakan sebagai akuan kepada pengundi yang maklumat identiti dalam dokumen pengenalan dirinya berbeza sedikit dengan maklumat dalam daftar pemilih.

Borang 13 digunakan oleh KTM mengisi maklumat bilangan kertas undi yang diterima dan digunakan sebagai penyata sebelum proses pengiraan bermula.

Borang 14 digunakan oleh KTM mengisi maklumat bilangan undi yang diterima oleh setiap calon selepas proses pengiraan undi. Salinan borang akan diberikan kepada ejen pengiraan undi (dilantik oleh calon) yang hadir semasa proses pengundian.


8) Penjumlahan Rasmi Undi & Pengumuman Keputusan

Setelah semua Borang 14 dijumlahkan, Pegawai Pengurus akan mengisikan keputusan yang diperoleh setiap calon ke dalam Borang 16 (Borang Keputusan Pertandingan). Akhirnya, Pegawai Pengurus akan mengumumkan keputusan jumlah undi yang diperoleh setiap calon dan pemenang bagi pertandingan tersebut yang seterusnya dipilih menjadi wakil rakyat bagi bahagian pilihan raya tersebut. Selepas keputusan diumumkan, maka selesailah urusan asas pilihan raya.

Sumber : http://www.pru13.gov.my


0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.