Bank Rakyat agih dividen 18% untung RM2.11b Tahun 2012

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) terus mencatatkan keputusan kewangan cemerlang dengan meraih keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM2.11 bilion tahun lalu, meningkat 4.7 peratus berbanding RM2.02 bilion pada 2011.

Selepas ditolak cukai serta zakat, keuntungan bersih bank koperasi berlandaskan Syariah itu ialah sebanyak RM1.74 bilion.
Berikutan pencapaian itu ia mengumumkan bayaran dividen 18 peratus membabitkan pembayaran berjumlah RM495 juta kepada 947,541 anggotanya.


Ia merangkumi dividen tunai sebanyak 16 peratus membabitkan pembayaran RM440 juta, serta dua peratus dalam bentuk saham bonus bernilai sejumlah RM55 juta.

Mengumumkan keputusan kewangan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. berkata prestasi cemerlang dicatatkan Bank Rakyat itu didorong pertumbuhan pendapatan pembiayaan dan deposit, selain kualiti aset yang kukuh meskipun berdepan cabaran dalam industri perbankan tempatan.

Beliau menjelaskan, pendapatan kasar Bank Rakyat meningkat 13.2 peratus kepada berjumlah RM6.23 bilion tahun lalu berbanding RM5.50 bilion pada 2011.

Agihan keuntungan
Pendapatan bersih selepas agihan keuntungan kepada pendeposit, katanya meningkat sebanyak 2.9 peratus kepada RM3.34 bilion berbanding RM3.24 bilion.

Pendapatan daripada sumber pembiayaan meningkat 11.2 peratus kepada RM4.96 bilion berbanding RM4.46 bilion tahun lalu, yang mana RM4.53 bilion atau 91.4 peratus disumbangkan oleh perbankan konsumer manakala perbankan komersial menyumbang RM430 juta atau 8.6 peratus daripada keseluruhan pendapatan pembiayaan, katanya di Kuala Lumpur.

Ismail Sabri berkata, pendapatan berasaskan yuran bank koperasi itu pula adalah sebanyak RM110.9 juta, naik 20.5 peratus berbanding RM92 juta pada 2011.

Daripada jumlah berkenaan, katanya pendapatan komisen takaful, wasiat dan yuran ATM menyumbang sebanyak 80.1 peratus.

Jumlah aset Bank Rakyat meningkat 9.3 peratus kepada RM79.21 bilion tahun lalu berbanding RM72.48 bilion pada 2011. Pada akhir tahun lalu, pulangan ke atas aset terus mengukuh pada kadar 2.8 peratus, katanya.

Beliau berkata, Bank Rakyat turut mencatatkan pertumbuhan kukuh baki pembiayaannya, meningkat 11.9 peratus kepada RM56.76 bilion berbanding RM50.70 bilion.

Pembiayaan konsumer, katanya terus menjadi fokus utama perniagaan bank koperasi itu dengan menyumbang 88.5 peratus daripada keseluruhan pembiayaannya.

Dari segi portfolio pembiayaan, sektor peribadi adalah penyumbang terbesar iaitu sebanyak 87.5 peratus daripada keseluruhan pembiayaan konsumer, katanya.

Ismail Sabri berkata, kualiti aset Bank Rakyat terus kukuh yang mana nisbah pembiayaan terjejas kasar pada akhir tahun lalu hanya pada kadar 2.5 peratus.

Pada masa sama, katanya liputan atas kerugian pembiayaan bank koperasi itu kekal tinggi pada kadar 106.4 peratus.

Bank Rakyat juga mencatatkan pertumbuhan deposit yang kukuh iaitu sebanyak 7.1 peratus kepada RM62.67 bilion tahun lalu, berbanding RM58.51 bilion pada 2011.

Kualiti aset terus kukuh

Dana pemegang sahamnya meningkat 23.6 peratus kepada RM10.33 bilion berbanding RM8.35 bilion hasil sumbangan penambahan untung bersih dan penambahan modal saham berbayar.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Bank Rakyat akan mengumumkan Pengarah Urusannya yang baharu pada 1 April ini.

"Dasar kita memang akan menaikkan (pangkat) orang dari dalam (Bank Rakyat). Seperti yang sentiasa saya beritahu, walaupun lembaga pengarah berkuasa mencadangkan, namun masih ada pihak lain seperti Bank Negara untuk meneliti nama yang dihantar," katanya.

Bank Rakyat baru-baru ini mengumumkan persaraan Datuk Yusof Abdul Rahman berkuat kuasa 1 April, 2013. Beliau mula bercuti pada 1 Mac. Datuk Mustafha Abdul Razak, Pengurus Besar Kanan Operasi Perbankan, kini menjalankan tugas sehingga pelantikan Pengarah Urusan baharu dibuat.

Sumber : BERITA HARIAN

Bank Rakyat agih dividen 18% untung RM2.11b Tahun 2012

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran