e-Perolehan sasar transaksi RM17b

Sistem perolehan elektronik kerajaan, e-Perolehan sasar peningkatan jumlah transaksi kepada RM17 bilion tahun ini berikutan penerimaan dan kesedaran pembekal terhadap sistem tersebut yang semakin meningkat.

Sistem yang diperkenalkan sejak tahun 1999 itu telah mencatatkan transaksi berjumlah RM15.4 bilion tahun lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata, sistem e-Perolehan merupakan antara aplikasi e-Kerajaan yang diselia oleh Kementerian Kewangan bagi memudahkan urusan perolehan secara elektronik.

“Buat masa ini, kadar penggunaan sistem ini di tahap membanggakan iaitu pada kadar sekitar 75 peratus berbanding hanya 10 peratus pada tahun pertama pengenalannya,” katanya.

Dalam tempoh dua tahun akan datang, Mohd Shafiq menyasarkan penggunaan sistem e-Perolehan untuk urusan perolehan kerajaan akan mencapai 90 peratus.

Menurutnya, penggunaan sistem itu tidak dapat mencapai 100 peratus kerana bukan semua urusan perolehan kerajaan dapat menggunakan sistem ini.

“Ia adalah disebabkan beberapa faktor seperti keselamatan, pertahanan dan strategik,” katanya.

Mohd Shafiq berkata, sistem e-Perolehan kini dalam proses penambahbaikan seiring dengan perkembangan teknologi terkini selain bakal memperkenalkan sistem e-Perolehan generasi akan datang menjelang 2015.

“Kami baru selesai mengumpul maklumat dari pihak berkaitan bagi mengenal pasti keperluan pengguna sistem supaya sistem baru ini mampu memberi perkhidmatan yang cepat, mudah dan cekap,” katanya.

Selepas 13 tahun beroperasi, sistem e-Perolehan menerima 11 anugerah dari dalam dan luar negara termasuk anugerah terbaru bagi kategori Program Perolehan sempena FutureGov Awards Malaysia 2013.

“Projek e-Perolehan adalah bahagian penting dalam inisiatif pemerolehan kerajaan dan anugerah ini amat bermakna buat kami kerana ia merupakan pengiktirafan peringkat antarabangsa,” katanya.

Sistem e-Perolehan boleh diakses di : http://home.eperolehan.com.my/v2/index.php

- SINAR HARIAN

e-Perolehan sasar transaksi RM17b

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.