Top Ad 728x90

, ,

ESSZONE mula berkuat kuasa 25 Mac 2013 di Sabah

ESSZONE mula berkuat kuasa 25 Mac 2013 di Sabah

Kerajaan mengumumkan pewujudan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) berkuat kuasa semalam meliputi 10 daerah sebagai asas perundangan kepada Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) yang ditubuhkan sebelum ini.

Ia membabitkan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Ia mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 1962.

Pengisytiharan ESSZONE diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada upacara perbarisan peringatan Hari Polis Ke-206 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, semalam.

Beliau berkata, ia ditadbir Jawatankuasa Zon Selamat Timur Sabah ditubuhkan mengikut Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 yang digubal Menteri Dalam Negeri dan dipengerusikan Ketua Menteri Sabah dengan dibantu seorang Ketua Pegawai Eksekutif.

Bukan isytihar darurat

Katanya, jawatankuasa yang beribu pejabat di Lahad Datu akan bertanggungjawab kepada satu Jawatankuasa Pemantau yang dipengerusikan beliau selaku ketua kerajaan.

Katanya, penubuhan ESSZONE bertujuan memelihara hak demokratik serta proses demokrasi untuk penduduk Sabah, mengukuhkan keselamatan dan ketenteraman awam serta kesejahteraan di timur negeri itu.

“Dengan penubuhan Jawatankuasa ESSZONE ini, kerajaan mengambil pendekatan holistik dan bukan pendekatan ketenteraan semata-mata bagi melindungi kawasan timur Sabah, seterusnya mencari penyelesaian kepada punca pencerobohan.

“Ia bukan pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak sekali-kali akan menghalang proses pilihan raya yang bebas, telus dan demokratik. Oleh itu, rakyat di kawasan timur Sabah jangan gusar dan takut keluar mengundi serta menggunakan hak mereka mengikut Perlembagaan,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa peraturan diwujudkan di bawah ordinan itu tidak memberikan kuasa tambahan kepada polis kerana kuasa sedia ada sudah memadai menangani situasi berkenaan.

Kesejahteraan hidup

Di samping itu, sesiapa yang berpendapat haknya terjejas boleh membawa kerajaan ke mahkamah menerusi proses perundangan. Namun, pengisytiharan itu tidak jejaskan kehidupan rakyat, sebaliknya peningkatan kawalan keselamatan bertujuan memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

Beliau turut menjelaskan bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digunakan untuk menjalankan penyiasatan dan tangkapan dalam semua kes membabitkan pengganas di Sabah ketika ini ialah akta membabitkan prosedur semata-mata.

“Ia tidak digubal sebagai akta memberikan kuasa mengisytiharkan kawasan keselamatan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. Bagi setiap tangkapan di bawah SOSMA, pertuduhan dibuat menggunakan undang-undang biasa dan dibicara di mahkamah seperti kes jenayah lain,” katanya.

ESSCOMM diwujudkan berikutan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada 12 Februari lalu. Ops Daulat yang dilancarkan pada 5 Mac lalu, berjaya membunuh 67 pengganas setakat ini.

- BERITA HARIAN


0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90