Isu-Isu Berkaitan Daftar Pemilih Pilihanraya

Disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)

ISU 1: NAMA PEMILIH YANG TELAH MENINGGAL DUNIA MASIH BELUM DIKELUARKAN DARIPADA DAFTAR PEMILIH

Terdapat golongan yang sentiasa memperlekeh-lekehkan SPR dengan menggunakan isu nama pemilih yang telah meninggal dunia tetapi namanya masih tersenarai di dalam Daftar Pemilih semasa yang digunakan dalam sesuatu pilihan raya umum atau pilihan raya kecil. Perlu diperjelaskan di sini bahawa pihak yang berwajib untuk mengemaskinikan rekod kelahiran dan kematian di negara ini ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Berpandukan kepada rekod kematian yang diberikan oleh JPN, barulah SPR memotong nama-nama mereka yang telah meninggal dunia dari Daftar Pemilih.

Kematian berlaku pada setiap saat, jam dan hari . Adalah dianggarkan di antara 500 ke 1000 orang warganegara meninggal setiap hari di seluruh negara. Namun begitu, jika waris si mati tidak dapat memperakukan kesahihan tersebut kepada JPN ataupun lewat melaporkan, maka JPN tidak dapat mengemaskini pangkalan data Sistem ALIS.

Tanpa memperolehi pengesahan daripada JPN bahawa seseorang pemilih itu telahpun meninggal dunia, ruang lingkup undang-undang tidak memberi kuasa kepada SPR untuk mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada pangkalan data Daftar Pemilih. Justeru itu, kerjasama waris-waris si mati amat diperlukan untuk melaporkan kematian berkenaan kepada JPN bagi membolehkan JPN mengemaskini pangkalan data Sistem ALIS dan seterusnya membolehkan SPR mengambil tindakan susulan mengeluarkan nama pemilih tersebut daripada Daftar Pemilihnya.

Walau bagaimanapun, SPR telah mula melaksanakan langkah proaktif bagi mendapatkan malumat kematian bagi tujuan pembersihan Daftar Pemilh. Petugas-petugas SPR di peringkat negeri dengan kerjasama PDRM telah mendapatkan Permit Menguburkan iaitu surat kebenaran untuk menguburkan si mati yang dikeluarkan oleh Balai-balai Polis di negeri masing-masing. Berasaskan permit ini, maka rekod-rekod pemilih akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih. Ini merupakan langkah proaktif SPR. Namun begitu, adalah menjadi tanggungjawab waris si mati dan masyarakat umum untuk melaporkan kematian kepada JPN bagi memastikan rekodwarganegara dan Daftar Pemilih adalah sentiasa kemas kini.


ISU 2: PEMILIH TIDAK BERMASTAUTIN DI ALAMAT TEMPAT DIA DIDAFTARKAN

Satu daripada topik hangat yang sering dibincangkan oleh pihak-pihak tertentu semasa sesuatu pilihan raya umum dan kecil ialah berkenaan pemilih tidak bermustautin di alamat tempat dia didaftarkan sehingga ada yang salah mentafsirkan perkara ini sebagai pengundi hantu. Sebenarnya tidak wujud pengundi hantu. Apa yang berlaku ialah seseorang pemilih pergi mengundi di tempat lama beliau didaftarkan di mana tempat tersebut bukan merupakan tempat bermustautin semasa pemilih berkenaan. Bagaimanapun, beliau ialah pengundi yang sah dari segi undang-undang. Sebagai contoh, seseorang pemilih itu pada awalnya berdaftar di Kota Bharu, Kelantan. Walau bagaimanapun, sekarang ini beliau bermustautin di Putrajaya. Oleh sebab beliau belum lagi membuat permohonan pertukaran alamat bermustautin dengan JPN, beliau tidak dapat membuat permohonan kepada SPR untuk menukar alamat mastautinnya daripada Kota Bharu, Kelantan ke Putrajaya. Susulan daripada itu, apabila tiba hari mengundi, beliau terpaksa balik ke Kota Bharu, Kelantan untuk mengundi. Beliau adalah seorang pengundi yang sah dari segi undang-undang dan bukannya pengundi ”hantu” seperti yang disalah ertikan oleh pihak-pihak tertentu.

Dalam konteks ini, kerangka undang-undang semasa tidak memberi kuasa kepada SPR untuk menukarkan alamat mastautin pemilih supaya lebih berdekatan dengan pusat mengundi mereka. Ini kerana mengikut Perkara 119 (4) Perlembagaan Persekutuan jika seseorang pemilih berdaftar tidak membuat apa-apa permohonan bertukar alamat mastautin, maka namanya sampai ke bila-bila masa pun tetap disenaraikan di alamat asal tempat beliau mendaftar sebagai pemilih walaupun pada hakikatnya beliau telah pun bermastautin di suatu tempat baru. Malahan Peraturan 12(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 membelenggu atau mengikat tangan SPR kerana SPR hanya boleh menukar alamat mastautin seseorang pemilih berdaftar jika pemilih berkenaan telahpun mengisi borang A yang ditetapkan oleh undang-undang pendaftaran pemilih.

U ntuk mengatasi masalah ini, SPR sentiasa menggalakkan pemilih yang telah berpindah ataupun bertukar alamat bermastautin untuk menukarkan alamat pada kad pengenalan mereka kepada alamat tempat tinggal terkini dan mendaftarkan alamat tersebut dengan JPN. Selepas itu, barulah mereka boleh memohon dengan SPR untuk mendaftarkan pertukaran alamat bermastautin mereka. Ini bagi memudahkan pemilih menjalankan tanggungjawab masing-masing mengundi dengan lebih mudah dan selesa semasa hari pengundian di pusat mengundi yang berdekatan dengan tempat tinggal masing-masing.


ISU 3: TERDAPAT RAMAI PEMILIH DIDAFTARKAN DALAM SATU- SATU ALAMAT

a) Peranan utama SPR ialah untuk mendaftar seseorang pemilih baru ataupun pemilih yang hendak bertukar alamat berasaskan kepada alamat yang tertera di dalam kad pengenalan pemohon ataupun yang terdapat di dalam pangkalan data JPN. Di sini ingin ditegaskan bahawa peranan SPR bukanlah untuk menentukan kesahihan alamat yang diberikan oleh seseorang pemohon sama ada benar-benar wujud atau sebaliknya. Ini kerana SPR tidak mempunyai jentera besar yang boleh digunakan untuk memeriksa alamat seseorang pemohon dari rumah ke rumah di seluruh negara. Keadaan ini menyebabkan ada pihak-pihak tertentu telah menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan oleh SPR untuk memberikan alamat orang lain sebagai alamat bermastautin mereka di dalam satu-satu bahagian pilihan raya. Perkara ini berlaku sebelum 16 Julai 2002 iaitu ketika pangkalan data SPR belum dihubungkan dengan pangkalan data alamat Sistem ALIS di JPN. Oleh itu, SPR tidak membuat semakan alamat pemohon dengan pangkalan data Sistem ALIS. Justeru itu, SPR dengan SUCI HATI mempercayai alamat yang diberikan oleh seseorang pemohon itu sebagai alamat yang sahih dan mendaftarkannye dalam bahagian pilihan raya berkenaan.

b) Selain daripada itu, penemuan-penemuan kajian lebih daripada (7) orang pemilih yang didaftarkan dalam satu-satu alamat yang dibuat oleh SPR di seluruh negara pada tahun 2005 menemui perkara-perkara seperti berikut :

    (i) Di kawasan bandar terutamanya bagi rumah-rumah sewa, fenomena ada lebih daripada (7) orang pemilih, kadang kala itu daripada berlainan bangsa sepeti Melayu, Cina, India dan sebagainya didaftarkan dalam satu-satu alamat adalah disebabkan bahawa alamat tersebut merupakan rumah sama. Penyewa rumah itu silih berganti dari satu kaum ke kaum. Namun begitu, apabila mereka berpindah ke suatu kawasan baru, pemilih berdaftar tersebut tidak memohon untuk membuat pertukaran alamat pusat mengundi ke suatu pusat mengundi yang lebih berdekatan dengan alamat bermastautin masa kini mereka. Oleh itu, apabila ada kumpulan penyewa daripada kaum lain menyewa di rumah tersebut dan menggunakan alamat berkenaan untuk didaftarkan sebagai pemilih, maka berlakulah isu lebih daripada tujuh (7) orang pemilih daripada pelbagai bangsa didaftarkan di dalam satu alamat yang sama. Sesungguhnya, pendaftaran mereka adalah sah dan SPR bukan terlibat untuk mengaturkan pendaftaran mereka di suatu alamat tertentu seperti mana yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak yang tertentu.

    (ii) Di kawasan luar bandar ataupun di kawasan penempatan rumah setinggan yang tiada alamat, lazimnya penduduk setempat akan menggunakan alamat kedai kopi, kedai runcit atau rumah saudara mara terdekat yang ada alamat sebagai alamat surat menyurat mereka. Dengan ini , mereka akan gunakan alamat surat- menyurat sebagai alamat untuk mereka mendaftar sebagai pemilih dengan SPR. Keadaan ini yang menyebabkan berlakunya lebih daripada (7) orang pemilih didaftarkan dalam sesuatu alamat. c) Walau bagaimanapun, semenjak Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (SPPST) yang dilaksanakan mulai 16 Julai 2002, SPR hanya mendaftarkan seseorang pemilih berdasarkan alamat yang tertera di dalam kad pengenalan pemohon ataupun alamat terkininya yang terdapat di dalam pangkalan data Sistem ALIS di JPN. Andainya didapati alamat yang diberikan oleh pemohon itu berbeza dengan alamat yang terdapat di dalam Sistem ALIS di JPN, maka SPR akan didaftarkan permohonan pendaftaran pemilih baru ataupun pertukaran alamat mastautin itu berdasarkan kepada alamat terkini yang terdapat dalam di dalam pangkalan data Sistem ALIS di JPN. Dengan cara ini, SPR dapat mengatasi masalah ramai pemilih didaftarkan dalam sesuatu alamat. d) Namun begitu, bagi rekod pemilih yang didaftarkan sebelum 16 Julai 2002, SPR tidak diberi apa-apa kuasa perundangan untuk membuat perubahan rekod pusat mengundi pemilih. Oleh itu, isu ini tetap menjadi isu yang berpanjangan yang terus dihadapi dan ditangani secara berhemah oleh SPR.


ISU 4: PEMILIH HANYA MEMPUNYAI ALAMAT UMUM TETAPI TIDAK ADA NOMBOR RUMAH DI DALAM DAFTAR

a) Isu mengenai seseorang pemilih hanya mempunyai nombor alamat umum tetapi tidak ada nombor rumah merupakan satu lagi isu yang kerap dibangkitkan oleh parti-parti politik kerana kesukaran mereka menghubungi seseorang pemilih yang telah didaftarkan di dalam sesuatu lokaliti. Keadaan ini berlaku kerana seseorang pemilih memberi alamat umum sahaja kepada iaitu kampung atau jalan tanpa memberi nombor rumah di dalam borang permohonan SPR telah mengambil tindakan susulan memproses permohonan tersebut. Perkara ini berlaku terutamanya bagi kawasan –kawasan perumahan di luar bidang kuasa Majlis Daerah. Malahan, alamat yang tertera di dalam kad pengenalan juga umum iaitu sebagai contoh, Batu 30 Jalan Ayer Lanas, Machang, Kelantan. Dalam konteks ini, terdapat berpuluh buah rumah alamat tersebut dan SPR tidak mengetahui dengan tepat seseorang pemohon itu tinggal di rumah yang mana di Batu 30, Jalan Ayer lanas, Machang, Kelantan itu.

b) Selain daripada itu perlu dijelaskan bahawa Daftar Pemilih yang sedia ada merupakan Daftar Pemilih yang dipusakai semenjak urusan pendaftaran pertama dijalankan. Semasa urusan pendaftaran tersebut , kemungkinan maklumat-maklumat yang didatakan itu adalah kurang lengkap terutamanya dari segi alamat pemilih, butiran kaum, butiran jantina dan sebagainya. Keadaan ini menyebabkan SPR tidak dapat memperkemaskan maklumat-maklumat yang terkandung di dalam Daftar Pemilih berkenaan jika pemohon itu sendiri tidak mengemukakan permohonan untuk membuat pembetulan kepada data masing-masing.


ISU 5: PEMILIH TERDAPAT KESILAPAN BUTIRAN PERIBADI PEMOHON DI DALAM DAFTAR PEMILIH

a) Walaupun SPR ada membuat semakan terus dengan pangkalan data Sistem ALIS di JPN, tidak dapat dinafikan bahawa kadang kala kakitangannya mungkin tersilap membuat kerja-kerja pendataan. Keadaan ini menyebabkan ejaan nama pemilih, nombor kad pengenalan, bangsa, jantina dan alamat pemilih itu telah silap didatakan. Walau bagaimanapun, kesilapan-kesilapan begini adalah kecil.

b) Untuk mengatasi masalah ini, SPR telah pun memantapkan lagi siste m kawalan kualiti di peringkat input, through-put dan output. Malahan, dibangunkan aspek verifikasi dan validasi di setiap peringkat input, through-put dan output. Dengan ini adalah diharapkan satu hari nanti semua maklumat yang dibuat pendataan adalah tepat dan SPR berupaya menyediakan Daftar Pemilih yang lebih tepat, terkini serta bebas daripada sebarang kesilapan.

Sumber : http://www.pru13.gov.my/



Isu-Isu Berkaitan Daftar Pemilih Pilihanraya

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.