Kampung Tanduo ditutup, penduduk dipindah ke lokasi baru

LAHAD DATU - Pasukan keselamatan memutuskan bahawa Kampung Tanduo yang menjadi lokasi pendaratan kumpulan penceroboh militan Sulu akan ditutup dan tidak lagi menjadi kawasan petempatan penduduk.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata semua penduduk kampung itu yang kini menghuni pusat pemindahan sementara akan  dipindahkan ke satu lokasi baharu yang akan diputuskan kemudian.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pihak keselamatan mendapati kawasan yang menjadi kubu pengganas sejak pencerobohan 12 Feb lepas itu terjejas teruk susulan gerakan ofensif yang dilancarkan 5 Mac lepas.

"Setakat ini, itu yang kita putuskan, kita akan bincang perkara ini lagi tetapi perbincangan di peringkat pasukan keselamatan mendapati lebih sesuai penduduk kampung itu yang jumlahnya tidak begitu ramai ditempatkan di satu tempat yang akan dikenal pasti kemudian," katanya pada sidang akhbar  di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.

Beliau berkata penempatan semula penghuni 12 rumah di kampung itu akan dibuat di kawasan berdekatan Kampung Tanduo dan lokasinya akan dikenal pasti dengan kerjasama pengurusan Felda Sahabat.

Hamza turut memaklumkan kawasan Kampung Tanjung Batu kini bebas daripada ancaman pengganas dan pihaknya akan bermesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Daerah Lahad Datu dan ketua masyarakat kampung berkenaan bagi membincangkan proses membenarkan  penduduk untuk kembali ke rumah masing-masing.

Proses penggeledahan dan pembersihan kini diteruskan ke Tanjung Labian dan Tanagian sebelum memasuki kawasan Sungai Bilis dan beliau yakin  proses itu mampu diselesaikan segera sebelum memutuskan untuk membenarkan penduduk kembali ke rumah atau sebaliknya, katanya.

Terdahulu, Hamza berkata pasukan keselamatan merampas sepucuk pistol, enam butir peluru dan sebilah parang yang ditinggalkan militan selepas  berlaku pertempuran di kawasan Sungai Bilis, Gugusan Labian pagi ini.

Beliau berkata kejadian pada 7.30 pagi itu berlaku ketika pasukan keselamatan sedang menjalankan operasi pembersihan di kawasan itu sebelum terserempak dengan tiga pengganas yang bertindak melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan.

Pengganas kemudian melarikan diri apabila diserang balas dan tiada kecederaan dilaporkan di kedua-dua pihak, katanya.

- BERNAMA

Kampung Tanduo ditutup, penduduk dipindah ke lokasi baru

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran