Kekurangan guru lelaki di sektor pendidikan

Kekurangan guru lelaki di sektor pendidikan sudah lama mencetuskan kebimbangan sekali gus memberi mesej bahawa tindakan wajar perlu diambil bagi menangani kemelut ini.

Biarpun pelbagai insentif menarik ditawarkan, ia belum mampu menarik minat golongan Adam bergelar warga pendidik yang ramai didominasi wanita.

Apakah kerana melihat ia kerjaya bersifat feminin menjadikan mereka menolak untuk bergelar guru atau tanggapan bidang ini tidak sesuai kerana kurang mencerminkan ciri lelaki maskulin?

Jikalau berterusan ditolak, apakah kesudahan masa depan lelaki dalam bidang perguruan di negara ini?

Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Profesor Dr Othman Lebar berkata, isu yang perlu diperhalusi bukanlah jumlah tapi bagaimana menarik minat golongan lelaki menjadi guru.


Beliau berkata, kekura­ngan minat itu memang jelas dibelenggu persepsi bahawa jika lelaki menjadi guru, ia akan menghilangkan sifat maskulin.

“Kekurangan jumlah itu perlu dilihat daripada kemerosotan bilangan penyertaan golo­ngan lelaki ketika melanjutkan pengajian di maktab atau universiti.

“Apabila kurang yang memohon, ia memberi kesan kepada jumlah yang menamatkan pengajian untuk menjadi guru.

“Justeru, isu asas yang harus diselesaikan ialah bagaimana menarik minat golo­ngan itu menjadi guru.

“Jika penyelesaian itu ada, jumlah lelaki yang mahu menjadi guru pasti akan meningkat,” katanya.

Statistik Kementerian Pendidikan sehingga akhir tahun lalu mendapati, terdapat 127,744 guru lelaki dan 287,723 guru wanita di sekolah seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 72,399 guru lelaki dan 165,485 guru wanita me­ngajar di sekolah rendah manakala 55,345 guru lelaki dan 122,238 wanita di sekolah menengah.

Jumlah itu membenarkan andaian bahawa lelaki memang tidak suka menjadi guru kerana pelbagai sebab, antaranya sifat maskulin.

Namun, beliau kurang bersetuju faktor maskulin menjadi faktor utama me­ngapa golongan lelaki tidak berminat menjadi guru.

“Masyarakat kita memang suka membuat persepsi yang bukan-bukan. Siapa kata lelaki jadi guru akan hilang sifat macho?

“Cuba lihat sekolah waktu dulu, siapa paling ramai, paling tegas dan paling berwibawa menjadi guru jika bukan lelaki?

“Sampai tua pun, generasi dulu ingat betapa garangnya guru lelaki yang cukup sinonim dengan rotan. Mereka jadi guru tapi sifat lelaki tidak hilang malah boleh menjadi guru terbaik dan diingati pelajar walaupun selepas menamatkan pengajian,” katanya.

Tidak menafikan persepsi itu timbul rentetan banyaknya guru wanita mendominasi bidang perguruan hingga tenggelam golongan lelaki.

“Senario ini tidak boleh dielak kerana mereka (wanita) adalah golongan yang mendominasi kemasukan di institusi termasuk bidang pendidikan.

“Jadi, kita akan lihat guru wanita lebih ketara berbanding kelibat lelaki. Tapi ini bukan sebab untuk menafikan atau memperlekehkan kehadiran guru lelaki kerana keperluan mereka penting.

“Lelaki yang mahu jadi guru kurang dan lebih suka memohon kerjaya lain. Kita tidak boleh me­nyekat keinginan mereka.

“Justeru, jika ramai memohon adalah wanita, berilah laluan itu kepada mereka biarpun jurang populasi akan meningkat,” katanya.

Kehadiran guru lelaki di sekolah mampu me­ngimbangkan perjalanan sistem tugasan guru terutama pelarasan tugas yang kurang mampu ditangani guru wanita.

“Contohnya aspek disiplin, guru lelaki lebih sesuai menangani masalah pelajar bermasalah.

“Jadi, jika berterusan kekurangan guru lelaki, lama-kelamaan aspek ini akan menjadi kurang kawalan dan boleh menimbulkan masalah lain.

“Sebab itu, peranan guru lelaki dalam mengendali dan mentadbir sistem persekolahan perlu ada supaya keseimba­ngan,” katanya.

Kecenderungan lelaki memilih bidang pekerjaan lain juga, katanya, bertitik tolak dari pandangan buruk diberikan masyarakat yang gemar melabelkan pekerjaan guru sebagai terlalu mencabar, tertekan dan terlalu sibuk.

“Melihat ‘kesengsaraan’ guru hari ini, memanglah boleh memadamkan minat lelaki ke arah itu tapi saya tegaskan mana-mana pekerjaan pun pasti ada cabaran.

“Bezanya, cara kita menangani cabaran itu,” katanya.

Dilema yang dihadapi guru hari ini turut menjadi bidang perguruan semakin jauh daripada golongan lelaki.

“Dulu, kebanyakan guru disiplin diberi tanggung jawab kepada guru lelaki dan mereka bebas melakukan hukuman bagi membentuk disiplin pelajar.

“Tapi guru hari ini terlalu banyak sekatannya menyebabkan penghormatan sebagai guru semakin diperkecilkan.

“Justeru, tidak boleh salahkan mereka andai kata enggan memilih pekerjaan ini sebab setiap orang ada keinginan berbeza,” katanya.

Beliau bagaimanapun berharap agar tanggapan mengenai bidang perguruan diperbetulkan.

“Masa depan guru sangat luas, bukan menjadi guru sampai pencen kerana banyak pilihan pekerjaan seperti pensyarah.

“Bergelar guru adalah satu penghormatan, bukan diukur dengan wang ring­git. Tanpa mereka, kita mungkin tidak berada seperti apa yang dikecapi hari ini,” katanya.

- HARIAN METRO

Kekurangan guru lelaki di sektor pendidikan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.