Top Ad 728x90

,

Kg. Tanduo diisytihar bersih

Kg. Tanduo diisytihar bersih

LAHAD DATU 11 Mac - Kampung Tanduo yang sebelum ini diletakkan dalam zon merah dan menjadi medan pertempuran antara pasukan keselamatan negara dan pengganas Sulu bersenjata kini diisytiharkan bersih.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, operasi pembersihan termasuk menggeledah dan mengesan pengganas di lokasi tersebut ketika ini berada dalam peringkat akhir.

"Sebaik sahaja kerja-kerja pembersihan di lokasi tersebut tamat, penduduk kampung itu akan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing dalam tempoh terdekat," katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar.

Mengulas lanjut, Hamza berkata, Ops Daulat akan diteruskan dan lokasi yang menjadi tumpuan seterusnya ialah Kampung Tanjung Batu dan Sungai Bilis.

Menurutnya, proses menggempur akan dilakukan di dua lokasi tersebut yang dipercayai masih menjadi tempat persembunyian saki-baki kumpulan pengganas tersebut

Beliau memberitahu, seorang lagi pengganas ditembak mati di Kampung Tanjung Batu menjadikan jumlah penceroboh yang mati setakat ini ialah 54 orang manakala 97 ditahan kerana disyaki terbabit dengan pengganas militan.

Tambahnya, setakat ini, pasukan keselamatan telah menahan 122 orang kerana berada dalam zon larangan Ops Daulat.

Hamza memberitahu, 22 mayat pengganas itu telah dibawa keluar dan dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

Beliau berkata, pasukan keselamatan membenarkan wartawan mengambil gambar mayat-mayat pengganas itu bagi menepis dakwaan pihak tertentu mempersoalkan jumlah pengganas yang terbunuh.

Dalam pada itu, Hamza menjelaskan bahawa kejadian tembakan di Kampung Tanjung Batu semalam yang dilepaskan oleh pasukan keselamatan sehingga mengakibatkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun terbunuh adalah tindakan wajar.

Jelas beliau, kanak-kanak itu berada dalam belukar begitu hampir dengan lokasi rumah yang ingin diserbu menyebabkan pihak keselamatan terpaksa melepaskan tembakan.

"Kanak-kanak itu berada di lokasi yang dilabelkan sebagai kawasan merah dan tindakan mangsa bergerak dalam belukar bersama beberapa orang lain menyebabkan pasukan keselamatan terpaksa melepaskan tembakan," katanya.

Tambah Hamza, anggota keselamatan boleh mengambil tindakan melepaskan tembakan ke arah rumah yang menjadi sasaran tanpa perlu memasukinya untuk menangkap suspek yang berada di dalamnya.

"Tetapi tindakan itu (melepaskan tembakan) tidak dilakukan, sebaliknya pasukan keselamatan memasuki rumah itu untuk menangkapnya," katanya.

Sumber : UTUSAN




0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90