Konsep adil asas utama hidup aman

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki bin Engku Alwi

Islam menganjurkan umatnya supaya melaksanakan keadilan dalam setiap aspek kehidupan mereka. Perintah ini seiring dengan sifat Allah sendiri yang Maha Adil dan juga telah mengharamkan diri-Nya daripada melakukan kezaliman.

Adil menurut konotasinya membawa erti meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukannya seperti yang difahami oleh kebanyakan umat Islam kini bahawa adil itu ialah sama rata atau persamaan hak.

Islam dengan jelas memerintahkan umatnya supaya bersikap adil dalam segala perkara. Oleh sebab itulah, umat Islam dilabelkan Allah sebagai Ummatan Wasata iaitu umat pilihan lagi adil dan umat yang pertengahan. Umat Islam adalah generasi yang mengamalkan sikap pertengahan dalam segala pembawaannya, tidak melampau dan juga tidak keterlaluan dalam menganut dan mempraktikkan kepercayaannya.

Kesilapan persepsi seumpama ini mengakibatkan kecelaruan pemikiran umat Islam dan mencetuskan pertelagahan sesama Islam.

Akhirnya kemelut tersebut membarah di kalangan umat Islam menatijahkan keretakan kesatuan ummah yang mengundang kelemahan dan kejatuhan umat Islam dalam pelbagai lapangan hidup.

Justeru, umat Islam perlu merujuk kepada sumbernya yang tulen iaitu al-Quran dan hadis sebagai wacana utama dalam meneruskan kesinambungan ummah di bumi Allah ini.

Banyak ayat suci yang membicarakan mengenai keadilan supaya ia dapat dijulang untuk mendasari dalam setiap ruang hidup manusia sejagat.

Perlu diingat bahawa keadilan yang diuar-uarkan Islam ini tidak terhad kepada golongan pemimpin semata-mata, bahkan ia membabitkan sama semua lapisan masyarakat Islam yang terdiri daripada suami isteri, penjual dan pembeli, kadi, sesama Muslim dan antara pemimpin dengan rakyatnya.

Islam dengan jelas memerintahkan umatnya supaya bersikap adil dalam segala perkara. Oleh sebab itulah, umat Islam dilabelkan Allah sebagai Ummatan Wasata iaitu umat pilihan lagi adil dan umat yang pertengahan.

Dengan lain perkataan, umat Islam adalah generasi yang mengamalkan sikap pertengahan dalam segala pembawaannya, tidak melampau dan juga tidak keterlaluan dalam menganut dan mempraktikkan kepercayaannya.

Demikian juga akhlaknya dan amalannya, segala-galanya berkeadaan di tengah-tengah dan seimbang antara tuntutan dunia dan akhirat.

Pada masa sama, Allah memberi amaran kepada umat Islam supaya jangan terperangkap dengan penyakit hati seperti dengki, benci dan sebagainya yang hanya akan mengakibatkan keruntuhan dan kehancuran bangsa itu sendiri.

Yang paling istimewa, sifat adil ini akan menghiaskan diri seseorang Muslim dengan perhiasan takwa dan ia sebenarnya neraca piawaian utama untuk memburu darjat yang istimewa di sisi Allah.

Takwalah juga sebaik-baik bekalan yang sewajibnya dipersiapkan oleh setiap Muslim sebagai tiket yang tiada nilainya untuk menjejakkan kaki ke pintu syurga yang penuh kenikmatan.

Seterusnya, Islam menuntut kepada suami supaya berlaku adil kepada isterinya kerana Islam melarang sama sekali sebarang bentuk kezaliman dan penderaan berlaku dalam institusi rumah tangga.

Ini kerana objektif utama perkahwinan dalam Islam supaya suami dan isteri dapat menyimpulkan erat jalinan kasih dan kemesraan dalam hidup kekeluargaan mereka di samping dapat melahirkan generasi penyambung tradisi keluarga mereka.

Sekiranya seseorang suami merasakan tidak dapat berlaku adil terhadap isterinya, maka Islam mengarahkan agar memadai dengan mengahwini seorang isteri saja supaya bahtera kehidupan dapat dikemudikan bersama dengan harmoni dan aman tenteram.

Begitu juga, seorang Muslim yang diamanahkan untuk memikul jawatan kadi agar dapat bersikap adil dan berwaspada serta tidak berat sebelah dalam memutuskan satu-satu hukuman kepada pesalah dan pengadu biarpun yang bersalah itu daripada kalangan kaum keluarga dan kerabatnya.

Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa kehancuran umat zaman silam adalah disebabkan oleh pelaksanaan hukum yang bersifat berat sebelah iaitu membiarkan saja atau melepaskan hukuman jika dia dari kalangan orang berada dan dijatuhi hukuman kepada orang yang hina dina dan lemah.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW terus bersumpah dengan nama Allah bahawa jika Fatimah anak perempuannya sendiri mencuri, sudah pasti Baginda akan memotong tangannya. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, seorang penjual juga dituntut supaya bersikap adil dalam urusan jual beli mereka agar tidak terselit unsur penipuan dan penindasan kepada pembeli. Islam memerintahkan supaya seorang penulis yang adil diwujudkan dalam proses perjanjian akad jual beli mengikut hukum syarak. Tidak ketinggalan juga, seorang saksi juga hendaklah seorang yang adil lagi dipercayai dalam perjalanan urusan kehakiman dan undang-undang Islam.

Akhirnya, seorang pemimpin juga dituntut untuk bersikap adil dan saksama dalam kepimpinannya dan jangan sama sekali melakukan kezaliman kepada manusia sejagat. Kepimpinan adalah satu amanah yang cukup berat lagi getir yang akan dipersoalkan satu persatu di hadapan persidangan agung Mahsyar.

Demikianlah betapa luasnya konsep keadilan dalam Islam yang merangkumi segenap lapisan warga Islam dalam lapangan hidup mereka. Oleh itu, untuk menjamin kelangsungan Islam agar terus bertapak di bumi Allah ini, konsep keadilan ini perlu disemai dan dibajai supaya bertunjang dalam kehidupan ummah sejagat.

- BERITA HARIAN

Konsep adil asas utama hidup aman

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran