Top Ad 728x90

Membina ayat menggunakan kata kerja ada

Membina ayat menggunakan kata kerja ada

Dalam binaan ayat yang menggunakan kata kerja tak transitif, sering dapat ditemukan kesalahan yang kadang-kadang kelihatan tidak ketara, kerana jikalau tidak diteliti konstituennya, memang ayat yang dibina itu gramatis.

Tetapi apabila dihalusi berdasarkan acuan atau rumus tatabahasa, maka jelaslah kesalahannya. Sebagai contoh, penggunaan kata kerja tak transitif ada dalam pembentukan ayat.

Perkataan ada bererti hadir, telah sedia dan wujud.

Perkataan ini digolongkan dalam golongan kata kerja tak transitif, dan oleh itu dapat bertugas sebagai predikat ayat. Contoh penggunaannya dalam ayat ialah:

(1) Tuhan ada.

(2) Ayahnya telah meninggal, tetapi ibunya masih ada.

(3) Di dalam sakunya itu ada wang kertas.

Selain maksudnya seperti yang tersebut di atas, perkataan ada dapat juga bererti mempunyai atau memiliki. Misalnya:

(4) Ahmad ada wang.

(5) Orang itu ada harta.

Kata nama wang dan harta dalam kedua-dua ayat (4) dan (5) itu bukan berfungsi sebagai objek ayat, kerana ada sebagai kata kerja tak transitif tidak memerlukan objek.

Kata wang dan harta bertugas sebagai pelengkap dan merupakan kata nama sahaja, bukan frasa nama.

Hal ini dapat ditentukan apabila dalam sesuatu ayat itu kata nama yang hadir mempunyai potensi untuk disertai oleh kata ganti nama tunjuk ini atau itu sebagai penentu di belakang kata-kata nama itu, atau disertai kata bilangan dengan atau tanpa penjodohnya sebagai penentu di hadapannya, maka kata itu menjadi frasa nama.

Dalam ayat (4) dan (5) misalnya, perkataan wang dan harta tidak dapat disertai oleh ini atau itu lalu membentuk ayat (4a) *Ahmad ada wang ini, dan ayat (5a) *Orang itu ada harta itu; tambahan pula kedua-dua ayat ini tidak dapat dipasifkan menjadi (5c) *Wang ini diadakan oleh Ahmad, dan (6c) *Harta itu didakan oleh orang itu.

Oleh itu, kata wang dan harta tetap bertugas sebagai pelengkap, bukan objek.

Perhatikan pula ayat berikut ini:

(7) Omar memiliki kereta.

Perkataan kereta berkemungkinan untuk disertai kata bilangan atau kata penentu belakang lalu membentuk ayat

(7a) Omar memiliki tiga buah kereta, atau

(7b) Omar memiliki kereta ini, atau

(7c) Omar memiliki kedua-dua buah kereta ini.

Oleh sebab itu, perkataan kereta dalam ayat 7 ialah frasa nama yang berfungsi sebagai objek kepada kata kerja transitif memiliki.

Ayat aktif yang mempunyai kerja transitif dan mempunyai objek dapat dijadikan ayat pasif, misalnya:

(7d) Kedua-dua buah kereta itu dimiliki oleh Omar.

Jikalau kata kerja tak transitif tidak dapat disertai oleh frasa nama sebagai objek, maka bentuk ayat tersebut tidak gramatis, seperti ayat (8) yang berikut ini:

(8) Dia ada tiga buah kereta.

Ketidakgramatisan ayat (8) tersebut kerana tiga buah kereta merupakan frasa nama yang bertugas sebagai objek, padahal kata ada sebagai kata kerja tak transitif tidak memerlukan objek.

Oleh itu, sebagai gantinya, jika frasa tiga buah kereta hendak dipertahankan, maka bolehlah dipilih ayat yang gramatis seperti

(9) Keretanya tiga buah.

yang sama maknanya dengan (7a) Omar memiliki tiga buah kereta, walaupun kedua-dua ayat (9) dan (7a) mempunyai pola yang berlainan.

Demikianlah huraian ringkas berhubung dengan kata kerja tak transitif ada dalam bahasa Melayu. Oleh itu berhati-hatilah apabila membina ayat dengan menggunakan kata kerja ada ini.

- UTUSAN



0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90