PBB akui Sabah sebahagian Malaysia

Malaysia tidak akan melayan hasrat ketua kumpulan pengganas, Jamalul Kiram III untuk membawa isu pencerobohan di Lahad Datu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana Sabah diakui sebahagian daripada Malaysia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, perkara itu juga jelas termaktub dalam keputusan Suruhanjaya Cobbold 1963 yang menentukan majoriti rakyat Sabah bersetuju agar negeri itu menyertai Persekutuan Malaysia.

"Oleh itu, Sabah merupakan negeri yang merdeka dalam Malaysia dan pihak dari luar yang menceroboh negeri merupakan musuh negara.

"Mereka tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong serta kedaulatan undang-undang Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian pingat kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta perasmian Dewan Hajjah Tuminah, Kampung Sungai Nipah Darat di Bagan Datoh, Perak.

Dewan tersebut dinamakan sempena nama arwah ibu Ahmad Zahid, Tuminah Abdul Jalil.

Laporan akhbar hari ini memetik portal akhbar The Manila Times.net bahawa Jamalul Kiram sedang menyiapkan kertas tuntutan mahkamah untuk menyaman kerajaan Malaysia sebanyak RM77.8 bilion atas dakwaan membangun dan merampas Sabah secara haram.

Ahmad Zahid berkata, adalah sesuatu yang pelik apabila sebuah kumpulan pengganas yang menyerang dan membunuh tentera sesebuah negara, tiba-tiba hendak mengambil tindakan saman ke atas negara berkenaan.

"Mereka yang menceroboh negara dan membunuh anggota keselamatan kita, bermain kotor angkat bendera putih kemudian serang hendap menembak anggota kita dengan kejam dan kini mereka hendak saman kita pula," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid juga menyangkal dakwaan Jamalul Kiram kononnya pasukan keselamatan negara sedang cuba membawa masuk anggota komando ke Filipina untuk membunuhnya.

Menurut beliau, pemimpin pengganas itu sengaja berbuat demikian sebagai mainan psikologi semata-mata untuk meraih simpati para penyokongnya.

"Saya minta Jamalul Kiram jangan khuatir, kita tidak sejahat dia untuk melakukan pembunuhan di negara orang. Jangan bermain psikologi bagi meraih simpati.

"Kalau ditakdirkan dia dibunuh orang lain, jangan ada tuduhan bahawa perkara itu dilakukan oleh komando Malaysia. Kita tidak akan masuk ke negara orang semata-mata untuk membunuh seseorang. Kita minta Jamalul Kiram tolong duduk diam," tegas beliau.

- UTUSAN


PBB akui Sabah sebahagian Malaysia

1 comment... add one now

Pinkbubblegumprincess Pinkbubblegumprincess 25 March, 2013
melampau sangat dah dorang ni kan..hue

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran