Top Ad 728x90

, , ,

Penjawat awam sementara dan kontrak terima faedah Perkeso mulai 1 Mei 2013

Penjawat awam sementara dan kontrak terima faedah Perkeso mulai 1 Mei 2013

Seramai 63,000 anggota perkhidmatan awam berstatus sementara dan kontrak akan turut menikmati pelbagai faedah di bawah Skim Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai 1 Mei ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kerajaan mengambil keputusan itu bagi memastikan kebajikan pekerja dan anggota keluarga mereka turut dijamin di bawah Skim Perlindungan Bencana Pekerjaan dan Pencen Ilat seperti pekerja di sektor swasta.

"Keputusan ini memberi faedah kepada semua pekerja sementara dan kontrak di dalam perkhidmatan awam, termasuk 15,000 pekerja yang sedang berkhidmat di Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan taraf sementara dan kontrak sekian lama," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, di sini hari ini.

Dr. Subramaniam berkata, Perkeso akan mengambil tindakan serta-merta untuk mendaftar semua pekerja bertaraf sementara dan kontak yang sedang berkhidmat dalam perkhidmatan awam persekutuan/negeri, badan berkanun persekutuan/negeri dan pihak berkuasa tempatan.

"Jemaah Menteri membuat keputusan itu minggu lalu...Dengan ini semua pekerja terbabit secara automatik akan didaftarkan di bawah Perkeso. Perkeso akan menghubungi jabatan dan agensi berkenaan untuk menguruskan pendaftaran ini," katanya.

Dr. Subramaniam berkata, kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM30 juta setiap tahun dengan perluasan skim itu.

Katanya, skim bencana pekerjaan akan melindungi pekerja ditimpa kemalangan semasa waktu kerja, kemalangan dalam perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja dan juga penyakit khidmat.

Skim ilat pula akan memberi perlindungan 24 jam akibat daripada keuzuran atau penyakit dan pencen penakat pula disebabkan oleh kematian kepada pekerja yang menikmati keilatan atau disebabkan oleh penyakit.

Faedah-faedah lain yang turut dinikmati ialah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, pengurusan mayat dan kemudahan pemulihan untuk pekerja kembali bekerja.

Semua faedah ini akan diterangkan oleh Perkeso dalam taklimat kepada pekerja terlibat di jabatan dan agensi berkenaan, katanya.

Dalam pada itu Dr. Subramaniam berkata, sebanyak 1,912 majikan, dikesan gagal mendaftar pekerja mereka di bawah Perkeso, tahun lalu.

"Mereka dikenal pasti di bawah Ops Kesan yang dilakukan terhadap 20,003 majikan tahun lalu, dan majoriti daripada mereka ialah majikan sederhana dan kecil.

"Daripadanya sebanyak 1,802 kes didakwa di mahkamah (sivil) kerana gagal mencarum, gagal mendaftar, lewat daftar atau kesalahan-kesalahan berkaitan," jelasnya.

Menurutya bagi kesalahan itu majikan boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

- BERNAMA



0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90