Perspektif IKIM: Kecemerlangan akademik seiring usaha manfaat ilmu

Oleh Nor Hartini Saari (IKIM)

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah diumumkan Khamis lalu dan segala penantian berakhir sudah. Bagi mereka yang cemerlang, tahniah diucapkan.

Namun, bagaimana nasib segelintir pelajar yang dikatakan kurang cemerlang atau gagal memperoleh sebarang ‘A’ dalam mata pelajaran. Adakah mereka ini dianggap gagal untuk meneruskan kejayaan atau kelangsungan hidup yang cemerlang pada masa depan?

Kecemerlangan dalam akademik saja masih tidak memadai. Kecemerlangan akademik tidak sepatutnya menjadi sasaran utama pelajar secara menyeluruh tetapi bukan sesekali kita mengabaikannya, namun faktor lain yang berkaitan patut diambil kira.

Cuba kita perhatikan setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, ramailah orang sekeliling akan sibuk bertanya bilangan ‘A’ yang diperoleh pelajar itu. Sama ada dia cemerlang di sekolah atau tidak, masyarakat sekeliling tetap menilai berdasarkan bilangan ‘A’ yang diperoleh pelajar.

Persoalannya, adakah dengan ukuran bilangan ‘A’ yang mereka peroleh mencerminkan kejayaan dan kecemerlangan diri pelajar itu?

Tidak dinafikan mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam akademik telah melepasi piawaian atau prasyarat yang ditetapkan Kementerian Pelajaran. Mahu tidak mahu pelajar perlu mencapai hasrat murni KPM dan akur kepada sistem yang telah ditetapkan.

Graduan menganggur

Melepasi standard yang ditetapkan oleh kementerian ini antara tiket untuk pelajar lulusan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) melangkah masuk ke alam universiti dan mendapat kelulusan tinggi. Sehinggakan kerajaan meletakkan sasaran 40 peratus penduduk mesti mempunyai kelulusan tertinggi.

Soalnya berapa peratus pelajar yang berjaya masuk ke universiti adalah kelompok yang akan berjaya sesudah tamat pengajian kelak. Dulu menggenggam keputusan cemerlang dalam akademik bermakna sudah pasti masa depan cerah atau mendapat pekerjaan hebat. Kini semuanya berubah.

Walhal mereka ini boleh dikatakan antara kelompok yang cemerlang dalam akademik sebelum memasuki universiti. Begitulah kitarannya apabila melihat seseorang yang berjaya dan cemerlang dalam perlumbaan mencari ilmu tetapi jika tidak dimanfaat ilmu itu ibarat pohon yang tidak berbuah.

Mereka inilah sebenarnya dianggap gagal. Akan tetapi bagi seseorang yang bangkit dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki taraf hidup pendidikannya sehingga berjaya, maka dialah yang dianggap telah berjaya dengan cemerlang.

Bukan peluang terakhir

Hari ini kita lihat berapa ramai pelajar yang dulunya gagal di peringkat SPM namun bangkit dan berjaya dalam bidang perniagaan. Apa yang penting, bagi yang gagal jangan menganggap inilah peluang terakhir mereka.

Mereka perlulah berusaha dengan tekun, bersungguh-sungguh serta berterusan untuk menjadikan mereka berjaya di dunia dan akhirat.

Justeru, kecemerlangan dalam akademik saja masih tidak memadai. Kecemerlangan akademik tidak sepatutnya menjadi sasaran utama pelajar secara menyeluruh tetapi bukan sesekali kita mengabaikannya, namun faktor lain yang berkaitan patut diambil kira.

Hal ini kerana dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, kecemerlangan pendidikan adalah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan serta kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha ini bukan saja untuk melahirkan pelajar cemerlang dan berilmu, malah apa yang lebih penting ialah melahirkan lebih banyak individu berkeperibadian tinggi dan berakhlak mulia, bertanggungjawab, amanah serta berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Perkara inilah dianggap dapat membantu menghadapi cabaran hebat dalam kehidupan masa kini yang sangat mencabar. Selain itu, penguasaan kemahiran insaniah yang mencakupi aspek kualiti peribadi adalah pendekatan yang baik dalam memajukan diri.

Justeru, kecemerlangan diri bukan hanya diukur dengan pencapaian akademik semata-mata atau ukuran berapa bilangan ‘A’ tetapi apa yang penting ialah pelajar itu dapat melahirkan keperibadian dan akhlak yang baik, seterusnya menjadi umat yang hebat sepanjang zaman.

- BERITA HARIAN



Perspektif IKIM: Kecemerlangan akademik seiring usaha manfaat ilmu

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran