Saling menghormati elak sengketa

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

ALLAH SWT pernah berfirman yang bermaksud: Dia memasamkan muka dan berpaling, (1) Kerana dia didatangi orang buta. (2) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! (3) Ataupun dia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. (4) Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran al-Quran), (5) Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya. (6) (Abasa: 1-6)

Ayat ini mengandungi teguran Allah SWT kepada Nabi SAW kerana tidak mempedulikan sahabat yang buta iaitu Abdullah bin Ummi Maktum r.a yang bertanya soalan kepada Baginda. Pengajaran daripada ayat ini ialah kita perlu memberikan layanan yang sama dan bersikap adil kepada semua manusia, tidak kira apa status dan jawatan yang dimiliki olehnya. Ini termasuk terhadap orang yang kita benci. Sekiranya dia mempunyai hak, maka laksanakanlah tanggungjawab untuk melunaskan haknya itu.

Firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (al-Maidah: 8)

Islam amat melarang umatnya merendah-rendahkan orang lain. Kedudukan, harta dan rupa paras bukannya boleh menjadikan seseorang itu mulia melainkan sekiranya ia dipayungi dengan iman dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya. (al-Hujurat: 13)

Islam menganggap semua manusia mempunyai hak dan tanggungjawab yang perlu ditunai dan dilaksanakan. Oleh kerana itu, kita tidak boleh membeza-bezakan manusia. Tidak wajar untuk ditinggikan sebahagiannya dan direndahkan sebahagian yang lain dengan melihat ukuran keduniaan semata-mata. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui kemuliaan seseorang. Barangkali seorang pengemis lebih mulia di sisi Allah SWT berbanding seorang jutawan.

Lantaran itu, persoalannya mengapa kita tegar merendah-rendahkan sesuatu keturunan, kaum dan bangsa? Mengapa kita sanggup dan tergamak untuk menghina seseorang yang mempunyai kecacatan atau kekurangan? Sedangkan mereka tidak mengetahui dan tidak meminta untuk dijadikan begitu. Ia adalah merupakan keputusan daripada Allah SWT yang penuh dengan hikmah yang tersurat dan tersirat. Nabi SAW bersabda: "Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu adalah sama, bapa kamu adalah sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas 'ajam (yang bukan Arab) atau 'ajam ke atas Arab atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan. (riwayat Ahmad dan al-Baihaqi)

Orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT tidak akan bermegah-megah dengan hartanya, tidak berbangga dengan keturunan serta warna kulit dan tidak mendabik dada dengan kelebihan yang ada pada dirinya. Semua yang berlaku di dunia ini adalah merupakan ketentuan dan pemberian Allah SWT.

Oleh itu, kita perlu saling menghormati dan memandang tinggi kepada orang lain. Janganlah kita merendah-rendahkan orang lain dengan mengeji dan memperlekehkannya atau tidak memberikan layanan yang baik kepadanya.

- UTUSAN


Saling menghormati elak sengketa

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran