Top Ad 728x90

,

Semua pihak perlu faham kontrak sosial

Semua pihak perlu faham kontrak sosial

Oleh Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad

Nampaknya isu kontrak sosial dalam Perlembagaan Persekutuan telah dibangkitkan oleh pihak tertentu. Ia menjadi topik panas apabila dibahaskan melalui pentas forum, bual bicara dan perbincangan khas. Subjek utama yang menjadi bahan perbahasan ialah kontrak sosial dan hubungannya dengan Perkara 153 - Hak Istimewa Orang Melayu.

Umumnya terdapat dua pandangan yang berbeza iaitu yang menyokong adanya kontrak sosial semasa penggubalan Perlembagaan dan di pihak lain menentang kewujudan kontrak tersebut. Subjek ini bukan sahaja dibicarakan oleh orang politik tetapi turut sama golongan akademik dan cendekiawan daripada pelbagai latar belakang.

Sekiranya anda berminat mengikuti perbincangan itu di alam maya boleh saja melayari Internet melalui laman web ‘Kontrak Sosial’ mengandungi berpuluh-puluh blog membicarakan hal tersebut.

Kebanyakannya menyokong isu tersebut berasaskan aspek sejarah di mana pemimpin terdahulu berbincang dan bertolak ansur hingga mendapat kata sepakat bagi membentuk Perlembagaan itu. Menurut mereka tolak ansur dan kata sepakat itulah yang dikatakan kontrak sosial.

Namun demikian pandangan sebaliknya boleh dilihat melalui laman web ‘Social Contract in Malaysia’ di mana banyak blog lebih kritikal iaitu menolak apa yang dikatakan wujudnya kontrak sosial. Di antara hujah mereka, pemimpin dahulu tidak mendapat mandat rakyat untuk merundingkannya jika benar ada kontrak sosial.

Tiada juga bukti sokongan majoriti rakyat terhadap cadangan kontrak sosial itu misalnya melalui referendum. Tambah mereka tiada dokumen rasmi yang boleh diguna pakai untuk menyokong kontrak itu.

Untuk memahami isu ini, mari kita lihat dulu apakah yang dimaksudkan dengan perkataan kontrak sosial. Menurut Kamus Oxford frasa ‘kontrak sosial’ bermaksud suatu perjanjian atau kata sepakat dalam kalangan warga yang akhirnya dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

Selanjutnya bagi melengkapkan perkara-perkara yang dipersetujui itu maka digubal undang-undang atau perlembagaan yang akan digunakan sebagai rujukan bersama.

Sebenarnya idea mengenai kontrak sosial telah lama dibincangkan di Eropah iaitu sejak abad ke-17 dan 18 lagi. Ia dipelopori oleh tokoh atau penulis ternama seperti Jacques Rousseau, John Locke dan Thomas Hobbes.

Mereka menjelaskan bahawa untuk membentuk sebuah negara perlu mendapat sokongan dan kata sepakat daripada majoriti rakyat. Di samping itu rakyat perlu memahami peranan dan tanggungjawab mereka terhadap negara termasuk bersedia menyerahkan hak asasi mereka.

Kelaziman manusia dikatakan mempunyai nafsu yang tinggi dan ada ketikanya hingga tidak terbatas terhadap kekuasaan, kekayaan, kehormatan dan pengetahuan. Lantaran itu perlu diwujudkan satu mekanisme yang berbentuk undang-undang atau perlembagaan bagi mengawal keinginan manusia. Ini adalah bagi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat terus terjamin.

Sesungguhnya konsep kontrak sosial yang diilhamkan oleh tokoh-tokoh itu mempunyai persamaan dengan penggubalan Perlembagaan di negara kita. Kontrak sosial bolehlah dianggap sebagai kesepakatan dan persetujuan yang dicapai dalam kalangan pemimpin Melayu, Cina dan India melalui parti-parti yang mereka wakili iaitu UMNO, MCA dan MIC.

Ia menggambarkan kata sepakat itu datangnya daripada majoriti rakyat berbilang kaum. Tidak benar persetujuan itu hanya berkisar dalam kalangan pemimpin atau kumpulan elit tertentu sahaja seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Permuafakatan dalam menyediakan Perlembagaan ini telah mendapat sokongan majoriti rakyat, ini terbukti melalui kemenangan besar parti Perikatan dalam pilihan raya 1955 iaitu menguasai 51 daripada 52 kerusi atau 98 peratus (%) daripada bilangan pengundi. Kemudian diikuti dengan pilihan raya 1959 di mana parti berkenaan telah memenangi 74 daripada 104 kerusi yang dipertandingkan atau 71% daripada keseluruhan pengundi.

Perlembagaan ini dirangka dan digubal berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid. Pihak Inggeris telah mensyaratkan sebelum pemerintahan sendiri diserahkan kepada anak tempatan maka Perlembagaan hendaklah disiapkan dan boleh diterima oleh semua lapisan rakyat.

Perlembagan mula dikuatkuasakan sejurus selepas pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Ia mengandungi 183 Perkara dan dibahagikan kepada 15 Bahagian. Setiap Bahagian mengandungi satu atau lebih Artikel yang relevan dengannya.

Sebenarnya semasa penggubalan Perlembagaan itu dilakukan pelbagai pandangan, cadangan serta bantahan telah diutarakan oleh pelbagai pihak.

Namun demikian atas semangat kesetiakawanan maka wujudlah sikap tolak ansur terutama dalam membincangkan dan menerima beberapa perkara penting seperti soal kewarganegaraan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak keistimewaan orang Melayu.

Perkara 153 dalam Perlembagaan memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga hak keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal, secara kumpulannya dirujuk sebagai bumiputera.

Perkara ini mengkhususkan bagaimana kerajaan pusat perlu melindungi kepentingan kaum bumiputera, antaranya dengan cara memberikan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, pemberian biasiswa dan pendidikan awam.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa persetujuan pemimpin-pemimpin yang mewakili pelbagai kaum untuk menerima Perkara 153 itu boleh ditakrifkan sebagai kontrak sosial.

Mereka memahami keperluan untuk menjaga kepentingan kaum bumiputera yang masih ketinggalan dalam bidang ekonomi dan pendidikan jika dibandingkan dengan kaum Cina dan India. Sebagai timbal balas dan tolak ansur maka dipersetujui untuk memberikan taraf kewarganegaraan kepada bukan Melayu kebanyakannya terdiri daripada orang Cina dan India melalui kaedah ‘jus soli.’

Selepas 55 tahun penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan kandungannya diterima pakai serta dihormati oleh seluruh rakyat negara ini maka adalah tidak adil atas nama kebebasan bersuara ia mula dipersoalkan sekarang. Aspek perpaduan dan sensitiviti kaum perlu diberi keutamaan apabila membincangkan isu yang berkaitan Perlembagaan terutama Perkara 153.

Hingga kini Perkara 153 masih kekal dan terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun demikian tidak mustahil ia akan diubah atau dipinda jika mendapat sokongan 2/3 atau lebih daripada anggota Dewan Rakyat pada suatu hari nanti.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90