Tips Membeli Kamera Digital

Oleh Abd. Rahman Saleh

Sebenarnya ramai di kalangan kita mampu membeli pelbagai jenis kamera digital namun adakalanya kita terlepas pandang akan beberapa faktor utama sebagai asas pembelian.

Ini kerana kita terlalu ghairah ketika hendak membeli gajet itu tanpa memikirkan keperluan sebenar memiliki kamera tersebut dengan kegunaan kita sebagai seorang jurugambar.

Ada beberapa faktor yang menentukan pilihan ketika membeli sebuah kamera DSLR kerana ada pelbagai jenama dan jenis dari peringkat asas hingga ke peringkat yang lebih tinggi (professional) sehingga menimbulkan kekeliruan ketika membuat pilihan.

Semoga tips yang diberikan ini dapat membantu anda membuat pilihan yang tepat agar tidak membazir.

HARGA, anda perlu ada bajet yang sesuai dengan pilihan kamera yang anda ingin mengikut jenama dan jenis kamera yang diidamkan. Jangan nanti setelah tiba di kedai kamera, anda menukar kepada pilihan kamera yang lebih mahal daripada bajet kerana lebihan bajet boleh digunakan untuk membeli aksesori dan sebagainya.

ANDA juga digalakkan membeli kamera yang sesuai dengan aksesori yang telah ada dalam simpanan anda seperti kamera yang hendak dibeli sama jenis dengan lensa atau lampu denyar (speedlight) yang telah anda beli sebelum ini. Kecuali sekiranya anda memang mahu menukar keseluruhan set kamera yang anda hendak beli.

ANDA perlu tahu keperluan atau sebab anda perlu memilikinya - adakah ianya sebagai hobi baru, tugasan di pejabat, membuat liputan sesuatu majlis besar atau tugasan anda adalah seorang jurugambar profesional yang berkaitan media ataupun pengiklanan. Sekiranya anda merasakan ia hanya sebagai hobi, memadailah memiliki kamera DSLR yang biasa atau kamera kompak yang mudah dibawa ke sana sini dan mudah menguasai fungsi yang ada padanya.

SEKIRANYA anda memang sudah cekap menguasai semua perkara asas dan mahu menjadikan kamera sebagai sumber pendapatan sampingan, barulah anda memikirkan untuk membeli sebuah kamera yang berkemampuan tinggi, sesuai dengan tugasan yang hendak diceburi seperti fotografi perkahwinan dan sebagainya.

ANDA juga tidak digalakkan membeli kamera yang mempunyai resolusi terlalu tinggi kerana harganya agak mahal jika anda hanya mencetak gambar bersaiz sederhana. Kamera yang digunakan oleh jurugambar profesional sememangnya memerlukan resolusi tinggi kerana hasil kerja mereka kadangkala akan dicetak dalam saiz besar untuk kegunaan pengiklanan.

Jadi sebelum membeli sesebuah kamera, anda perlu membuat pilihan yang sesuai dengan kegunaan agar anda tidak merasa ia suatu beban atau pelaburan yang merugikan selepas anda mendapatkan sebuah kamera kesayangan anda.

- MINGGUAN MALAYSIA

Tips Membeli Kamera Digital

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.