Top Ad 728x90

, ,

Ucapan Perdana Menteri di Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ketiga Belas (MAPPA XIII) 2013

Ucapan Perdana Menteri di Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ketiga Belas (MAPPA XIII) 2013


Najib Tun Razak (kiri) menyampaikan amanat pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ketiga Belas (MAPPA XIII) bertemakan “Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020" di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 11 Mac 2013. Seramai kira-kira 7, 000 orang anggota penjawat awam hadir pada majlis tersebut. - BERNAMA


TERLEBIH dahulu, marilah sama-sama mengangkat setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, kita dapat bertemu dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) kali ketiga belas pada pagi ini.

Pertama-tamanya jua, marilah kita yang beragama Islam menghadiahkan Ummul Kitab dan bagi yang bukan beragama Islam untuk bertafakur seketika, demi mengenang para pahlawan negara yang telah pergi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan keutuhan negara tercinta di bumi Sabah baru-baru ini. Al-Fatihah.

Kita sentiasa menginsafi bahawa, tidak mungkin Malaysia berada pada tahap pembangunan dan kemajuan seperti kala dan ketika ini, tanpa perjuangan mulia para patriot dari pasukan, agensi dan perkhidmatan keselamatan negara. Kata orang, berkorban apa sahaja, harta ataupun nyawa. Itulah bakti mulia kerana agama, bangsa dan negara.

Yakinlah... Yakinlah bahawa pengorbanan mereka tidak sia-sia. Mereka pergi dalam rangka menunaikan amanah dan menjalankan tanggungjawab. Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih dan rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada setiap keluarga yang terlibat. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

PENGUMUMAN INSENTIF/FAEDAH KEPADA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA DAN POLIS DIRAJA MALAYSIA

Seperti kita maklum, sepanjang empat tahun pentadbiran, pelbagai inisiatif, perubahan dan penambahbaikan telah digembleng dalam usaha merealisasikan Wawasan 2020. Pastinya kerajaan akan terus merencana pelbagai program bagi meningkat produktiviti serta motivasi penjawat awam. Jelasnya, sebagai sebuah kerajaan yang cakna, kita komited kepada keperluan semasa dalam memberi nilai tambah kepada skim-skim perkhidmatan seiring arus perdana.

Maka, dengan mengambil kira Perkhidmatan Awam Am telah ditambah baik di bawah Sistem Saraan Baru iaitu SSB dan Sistem Saraan Malaysia yakni SSM, sukacita saya mengumumkan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013, kerajaan bersetuju bahawa, pangkat-pangkat dalam perkhidmatan ATM dan PDRM kini disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am selaras perubahan lapisan-lapisan gred jawatan atau gred gaji. Ia mencakupi perubahan skop fungsi tugas, struktur pangkat juga kelayakan bagi skim perkhidmatan ATM dan PDRM. Sebagai contoh:

Pertama: Koperal dalam ATM dan PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 17, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 22 Perkhidmatan Awam Am.

Kedua: Sarjan dalam ATM dan PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 27, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 29 Perkhidmatan Awam Am.

Ketiga: Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 41, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 44 Perkhidmatan Awam Am.

Keempat : Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 41, kini diletakkan dengan gred jawatan atau gred gaji baru iaitu 46A. dan;

Kelima: Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 48, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 52 Perkhidmatan Awam Am.

Sesungguhnya, kesetaraan ini dibuat bagi memastikan kedudukan ketiga-tiga perkhidmatan iaitu ATM, PDRM dan Perkhidmatan Awam Am sentiasa terpelihara di samping mengekalkan keharmonian antara perkhidmatan.

Hari ini negara akan terus belayar digerakkan angin Dasar Transformasi Negara menuju ke arah status sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Dasar Transformasi Negara yang ditunjangi prakarsa Pelan Transformasi Kerajaan, Pelan Transformasi Ekonomi, Pelan Transformasi Politik dan Pelan Transformasi Sosial ini sedang giat diatur gerakkan melalui pelbagai program yang disusun rapi.

Selanjutnya, berpayungkan falsafah pemandu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan; Pencapaian Diutamakan, program dan sasaran ETP, GTP, PTP dan PTS ternyata telah memberikan impak yang sangat positif kepada rakyat seluruhnya. Kekuatan usaha kolektif kerajaan, pentadbiran awam, pihak swasta dan rakyat ini telah membolehkan kita secara tali-menali melawan arus kemerosotan ekonomi global dengan pertumbuhan ekonomi yang rancak berkembang secara purata pada kadar lebih 5% sejak tahun 2010. Sehubungan itu, Insya-Allah pada 19 Mac ini saya akan membentangkan sebuah “report card" atau kad laporan kepada rakyat Malaysia.

Sesungguhnya penjawat awam menyumbang secara besar kepada kejayaan penggubalan sebarang dasar oleh anggota pentadbiran. Begitu juga dalam memastikan kejayaan pelaksanaan setiap inisiatif yang dicetuskan.

Pencapaian Perkhidmatan Awam

Di bawah payung falsafah rakyat didahulukan pencapaian diutamakan juga, kerajaan telah memperkenalkan beberapa program baru bagi memaksimumkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Dua contoh terbaik ialah pertamanya, melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan iaitu prakarsa Pusat Transformasi Bandar atau UTC dan Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC yang mengumpulkan pusat perkhidmatan dan ekonomi secara sehenti yang telah menjadi kenyataan dalam tempoh begitu singkat dengan perbelanjaan minimum. Khidmat yang memberi kemudahan kepada rakyat ini dibuka selepas waktu bekerja sehingga malam. Keduanya, pengenalan 1MOCC atau 1Malaysia One Call Centre bagi memudahkan hubungan rakyat dengan pihak penjawat awam tanpa mengira jabatan mahupun kawasan.

Pengenalan inisiatif-inisiatif baru ini menandakan pergerakan dalam pemikiran serta falsafah tentang bentuk perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat. Jadinya, kerangka baru pemikiran perkhidmatan awam harus menjurus kepada bentuk perkhidmatan yang meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Sistem Nilai Baru Perkhidmatan Awam

Kerajaan juga tanpa jemu sentiasa menyeru penjawat awam agar memberikan khidmat terbaik menepati peredaran dan kehendak masa. Sesungguhnya, penjawat awam diukur keberkesanannya bukan sahaja melalui kecanggihan peralatan digunakan bahkan merangkumi budaya, nilai, budi bahasa serta motivasi dalam menjalankan dan menyampaikan tugas.

Tentunya, matlamat utama penjawat awam ialah kesejahteraan rakyat. Semboyan utama Perkhidmatan Awam adalah perkhidmatan untuk rakyat. Rakyat mestilah terus didekati dan disusuri, difahami dan difahamkan, didengar keluh kesahnya serta dirasai setiap denyut nadinya supaya dapatlah bagi kita memberikan perkhidmatan terbaik untuk mereka.

Setiap penjawat awam adalah agen transformasi paling hadapan dalam perantaraan di antara rakyat dan kerajaan. Perkhidmatan Awam yang bertunjangkan dan berpaksikan rakyat diikat hubungan dengan tersemainya kebolehpercayaan dalam memberikan khidmat paling murni tanpa mengira tempat, masa dan rupa.

Cabaran Perkhidmatan awam

Tahun 2020 sudah semakin menghampiri kita. Sebagai warga global yang berdepan dengan realiti ledakan maklumat serta kemajuan komunikasi era terkini kita perlukan kebijakan untuk menanganinya.

Secara sedar ataupun tidak, setiap tindakan dan keputusan penjawat awam hari ini diperhatikan, diperhalusi, diperiksa dan dianalisis serta dikritik bukan sahaja secara dalaman malah di luar negara melalui kanta alam maya. Oleh itu dalam era maklumat terbuka ini tidak ada individu, jabatan, kementerian mahupun institusi yang terlepas daripada pemerhatian mereka.

Namun integriti kita sebagai penjawat awam mestilah dipelihara bagi memastikan ketirisan wang atau ketirisan maklumat yang menjejaskan keutuhan perkhidmatan awam tidak berlaku. Janganlah sampai diibaratkan pepatah lama, membaling batu sembunyi tangan atau menjadi gunting dalam lipatan terhadap negara. Saya ingin mengingatkan, jauhilah tiga penyakit yang boleh menjejaskan wibawa dan keberkesanan sektor awam. Penyakit-penyakit tersebut adalah rasuah, salah guna kuasa dan membocorkan maklumat.

Setiap tahun kerajaan memperuntukkan sejumlah bajet yang besar untuk belanja pembangunan. Jika dibelanjakan dengan betul dan menepati jadual yang telah direncanakan, maka ia akan mendatangkan manfaat yang maksimum kepada rakyat dalam mencerminkan kerajaan telah menunaikan tanggungjawabnya.

Namun, apabila membuat tinjauan-tinjauan mesra, turun padang mendekati rakyat, sering kali sampai kepada saya rungutan orang ramai bahawa permohonan-permohonan mereka kepada agensi-agensi berkaitan telah ditolak atas alasan bajet tidak mencukupi. Walaupun memang benar ada kekangan kemampuan kewangan kerajaan, apa yang menghairankan terdapat peruntukan-peruntukan yang telah diluluskan dipulangkan semula kerana tidak diuruskan mengikut jadual.

Oleh yang demikian, setiap penjawat awam hari ini berdepan dengan cabaran untuk mencari titik keseimbangan antara membangunkan kapasiti, ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang baru dengan konsep yang lama.

Keberkesanan perkhidmatan awam bukan sahaja terletak kepada keberkesanan pelaksanaan sesuatu dasar semata-mata tetapi juga bergantung pada kejayaan berkomunikasi yang menentukan sejauh mana penerimaan masyarakat kepada sesuatu dasar itu dan kejayaan menangani kesan-kesan dari dasar tersebut.

Dalam era terbuka hari ini, dengan maklumat yang bersifat “real time", kepimpinan sektor awam tidak boleh lagi mengelak daripada berhadapan dengan media atau orang ramai. Seorang pemimpin sektor awam yang baik adalah seorang mampu untuk berkomunikasi dengan berkesan, dan mampu menimbulkan keyakinan umum terhadap dasar-dasar, prakarsa dan tindakan kerajaan.

Penyusunan Semula Prioriti Bandar dan Luar Bandar

Apabila kita mula-mula mencapai kemerdekaan hampir 70 peratus (%) penduduk Malaysia tinggal di luar bandar dan lebih 60% warganegara berada di bawah garis kemiskinan. Hasil usaha berterusan kerajaan, kemiskinan tegar telah berjaya diletakkan dalam lipatan sejarah manakala kemiskinan relatif sentiasa ditangani secara sistematik. Perancangan rapi disertai dengan pelaksanaan yang bijaksana membolehkan pembangunan dinikmati segenap lapisan rakyat di bandar mahupun di desa.

Hari ini hampir 70% warga Malaysia merupakan penduduk bandar. Realiti baru hasil kejayaan kita ini memerlukan penyusunan semula keutamaan kita dalam menangani isu mengkhidmati bandar dan luar bandar. Penyusunan semula keutamaan ini juga memerlukan perubahan yang selari dari segi set minda dan pemikiran penjawat awam. Ini juga menuntut perubahan struktur dalam organisasi.

Selanjutnya, dalam menjaga kebajikan penjawat awam yang bertugas di kawasan bandar, saya telah mengarahkan pihak PR1MA supaya menyediakan skim rumah mampu milik yang akan dibina di atas tanah-tanah kerajaan. Secara amnya, ia ditawarkan pada harga minimum 20% lebih rendah daripada harga pasaran. Diharapkan ini dapat meringankan beban penjawat awam.

Pepatah berbunyi, lidah itu tidak bertulang. Baru-baru ini, ada janji dibuat oleh pihak tertentu dalam manifesto mereka kononnya hendak melihat dan menyusun semula perkhidmatan awam. Hatta, ada ura-ura mahu mengecilkan saiz perkhidmatan awam. Kata lainnya, mereka mahu memberhentikan sebahagian besar penjawat awam. Siapakah yang mereka mahu berhentikan? Mahu berhentikan para guru? anggota polis? Anggota tentera? Pensyarah? Para doktor? Jururawat? Kumpulan pelaksana? Siapa?

Pokoknya, biarlah saya tegaskan di sini, dalam usaha untuk menambahbaik perkhidmatan awam ini, mereka baru setakat nak berjanji sedangkan hakikatnya kerajaan ini telah pun dan sedang berbuat yang terbaik untuk perkhidmatan awam supaya perkhidmatan awam terus bersifat inovatif, kreatif, produktif lagi berprestasi tinggi.

MENGHARGAI PENJAWAT AWAM

Kerajaan senantiasa peka terhadap beban dan tanggungan penjawat awam apabila berdepan dengan cabaran hidup semasa. Dalam tempoh antara 2007 hinggalah 2012 gaji asas penjawat awam gred 1 hingga 40 telah dinaikkan kepada 48%; sementara kumpulan 41 hingga 54 telah merasai peningkatan sebanyak 28% dan di peringkat JUSA 14.5%. Sekali lagi saya nak nyatakan, ini bukan sekadar janji atau seumpama menanam tebu di bibir. Ini bukan sekadar memintal impian-impian kosong. Tetapi inilah janji-janji kita yang telah dikotakan.

Dalam usaha berterusan bagi menyediakan kerangka kukuh yang relevan dan menyeluruh, serta seiring dengan Program Transformasi Perkhidmatan Awam, kerajaan turut bersetuju untuk mengkaji semula skim-skim perkhidmatan dalam sektor awam. Sebagai permulaan, 81 skim perkhidmatan yang telah ditambah baik tetapi tidak dapat dilaksanakan sebelum ini akan dirundingkan semula dengan Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan yang terlibat. JPA telah pun mengadakan perbincangan dengan Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan yang melibatkan antaranya skim perkhidmatan Bakat, skim perkhidmatan Juruteknik, skim perkhidmatan Pegawai atau Penolong Pegawai dan Pembantu Galian, serta skim perkhidmatan Tukang K1 serta K2.

Seterusnya, kerajaan juga bersetuju untuk menambah baik pelaksanaan urusan kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat daripada 15 tahun kepada 13 tahun. Pelaksanaan penambahbaikan ini adalah berasaskan kecemerlangan yang akan memberi manfaat kepada lebih 17,000 penjawat yang layak. Kriteria penilaian kecemerlangan penjawat awam yang menjadi asas untuk pertimbangan kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat ini, akan dimuktamadkan bersama dengan semua pihak berkepentingan.

Di samping itu, kerajaan juga secara prinsip bersetuju bagi meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu, Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi dalam menambah baik laluan kemajuan kerjaya penjawat awam dalam jangka panjang. Kaedah pelaksanaannya termasuk pembangunan kriteria dan struktur panel khas untuk ketiga-tiga laluan baru tersebut akan diperincikan sebelum dilaksanakan.

Dengan mengambil kira terdapat seramai 182,434 penjawat awam yang berada di gaji maksimum pada tahun 2013 dan tidak dapat menikmati kenaikan gaji tahunan, maka kerajaan bersetuju berkuat kuasa 1 Januari 2013 semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum diperuntukkan tambahan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak 3 KGT.

Ini bagi membolehkan semua pegawai yang berada di gaji maksimum mendapat faedah Pergerakan Gaji Tahunan mulai tahun 2013, tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa. Pendekatan ini sebagai menghargai penjawat-penjawat awam yang masih produktif dan berprestasi. Semoga inisiatif ini dimanfaatkan oleh penjawat-penjawat awam bagi meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi sumbangan kepada negara.

Memahami permasalahan struktur dan anomali gaji yang dihadapi dalam SSM, antaranya kadar KGT Gred 1 hingga Gred 11 yang sama, dan gaji gred naik pangkat tidak dapat tampung kenaikan pangkat, secara prinsipnya kerajaan bersetuju penambahbaikan dilaksanakan sebelum akhir tahun 2013 berpandukan kepada prinsip-prinsip saraan sejagat iaitu kadar upah untuk kerja, relativiti dan pariti perkhidmatan serta “pay for performance".

Mengambil kira pula usaha-usaha penambahbaikan tersebut hanya akan dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini, maka kerajaan bersetuju untuk memberi kepada semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak 1 KGT yang diawalkan pada 1 Julai 2013. Maknanya setiap penjawat awam akan mendapat antara RM80 hingga RM320. Langkah ini akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion. Ini sejajar dengan falsafah dipegang oleh kerajaan yang senantiasa menghargai jasa dan sumbangan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan kepada negara.

Sebagai satu dasar, sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, kerajaan dalam memastikan penjawat awam sentiasa berprestasi tinggi dan berproduktiviti, bersetuju Pergerakan Gaji Khas sebanyak 3% diberi kepada pegawai yang mencapai dan berada di gaji maksimum, tertakluk memenuhi syarat pergerakan gaji tahunan termasuk syarat prestasi yang ditetapkan.

Kepada para pegawai kontrak yang berjumlah hampir 50,000 orang, saya mendengar keluh kesah tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Kerajaan ini adalah kerajaan yang prihatin terhadap tuan-tuan dan puan-puan. Untuk itu, sukacita saya mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju, bagi pegawai yang tamat kontraknya pada 31 Disember 2013, kontrak mereka akan disambung selama setahun lagi, sementara kajian secara menyeluruh dilaksanakan.

Semua inisiatif yang saya umumkan tadi adalah sebahagian daripada sistem saraan baru yang sedang dilaksanakan. Berdasarkan kepada perubahan-perubahan yang sedang dilaksanakan, dan input daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, sukacita saya umumkan sistem saraan yang baru ini dinamakan Sistem Saraan Transformatif atau SST

PENUTUP

Tidak lama lagi sebagai rakyat Malaysia yang telah mendaftar, kita akan diminta menunaikan amanah sebagai warganegara bagi memilih kerajaan yang diingini. Para penjawat awam sebagai warganegara Malaysia juga bebas memilih namun saya ingin menyeru kepada para penjawat awam khasnya dan rakyat Malaysia amnya agar menggunakan kuasa ini dengan sebijak mungkin.

Amat sukar untuk menilai keikhlasan, namun kita berupaya untuk mengukur kejujuran dengan melihat prestasi rekod mereka yang berjanji. Kalau sejarah menunjukkan janji yang lama pun tidak mampu ditepati atau ditunaikan, maka berhati-hatilah dengan janji baru.

Lantas, kalau dilihat rekod mereka yang lepas dari segi menepati janji ia amatlah buruk. Bagi mereka manifesto bukannya janji. Dari yang demikian, kalau manifesto bagi mereka bukannya boleh dianggap janji, maka buat apa kita percaya dengan kandungan manifesto mereka itu.

Sebaliknya, jika mahu, Kerajaan Barisan Nasional boleh saja mengambil sikap populis dengan menjanjikan pelbagai perkara seperti kenaikan gaji dan elaun yang tinggi tanpa mengira kemampuan kewangan kerajaan. Ya, tentunya kerajaan ini akan menjadi lebih popular. Ya, semua pihak akan merasa seronok, semua orang akan berasa teruja, tetapi itu hanyalah buat seketika.

Sebenarnya, kita perlu berfikir dengan waras apa akan terjadi kemudian hari nanti akibat daripada tindakan populis itu. Oleh yang demikian, pucuk pangkalnya, kita akan istiqamah menjadi sebuah kerajaan yang adil dan penuh bertanggungjawab, tanpa memperjudikan apa-apa keputusan yang boleh merosakkan kedudukan dan kewangan negara.

Akhir kata saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah di atas segala usaha gigih semua penjawat awam bagi memastikan kejayaan Dasar Transformasi Nasional. Tanpa tuan-tuan dan puan-puan, tidak mungkin kita akan berjaya meneruskan agenda nasional yang mulia ini.

Ketahuilah, bukan semua kerajaan sama. Ada kerajaan yang bertanggungjawab ada yang tidak, ada kerajaan yang berkesan dan cekap dan ada juga kerajaan yang tidak, ada kerajaan yang memanfaatkan rakyat dan ada kerajaan yang mendatangkan kesengsaraan kepada rakyat. Renung-renung dan fikir-fikirkanlah. Buatlah keputusan yang sebetulnya. Mudah-mudahan kita diberi petunjuk-Nya.

Sumber : UTUSAN




0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90