Beli barang runcit secara online di tesco.com.my

Selepas penat sehari­an di tempat kerja, beratur panjang di pasar raya semata-mata untuk membeli sekilo bawang pasti mengecewakan.

Itupun jika dapat ke pasar raya sejurus meninggalkan pejabat sebelum terkandas dalam kesesakan jalan raya.

Majoriti kalangan kita gemar membeli-belah hampir setiap hari tapi apabila membabitkan barangan runcit, ramai yang lebih suka melakukannya pada hari cuti atau hujung minggu kerana suasana santai dan lebih mudah untuk memilih produk.

Tapi dengan hanya lima minit di depan komputer, kita sudah boleh membeli beras, ikan dan sayur tanpa perlu bersusah payah memandu ke kedai, berebut mendapatkan parkir dan beratur lama di kaunter pembayaran.

Dengan hanya beberapa klik di tetikus, segala barangan runcit yang diperlukan akan tiba terus di depan pintu rumah kita. Mudah, bukan?

Segalanya mungkin dengan kepesatan teknologi maklumat ketika ini. Bukan hanya baju, kasut, aksesori, buku atau barangan rumah boleh didapati dalam talian malah hampir semua keperluan runcit juga kini boleh diperoleh dengan melayari Internet.

Atas kesedaran itu, Tesco muncul selaku peneraju jualan barangan runcit dalam talian di Malaysia yang menawarkan kemudahan terbabit di laman sesawang www.tesco.com.my.

Menurut Pengarah Grocery Home Shopping, Tesco Malaysia, John Lee, sudah tiba masanya masyarakat di negara ini didedahkan dengan pembelian barangan runcit secara dalam talian susulan perkembangannya di beberapa negara Asia lain seperti Korea Selatan dan Thailand.

“Berjuta penduduk Malaysia kini menggunakan perkhidmatan belian dalam talian, justeru satu langkah tepat untuk memulakan kaedah yang sama dalam jualan barangan runcit.

“Objektif utama pembelian barangan runcit dalam talian ini adalah untuk memudahkan pembeli yang sukar ke pasar raya dan cara ini juga dapat menjimatkan masa berbanding membeli-belah secara konvensional,” katanya.

Di peringkat permulaan, Tesco menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah sehingga 20km dari Tesco Mutiara Damansara dan bakal dikembangkan lagi ke beberapa cawangan Tesco seluruh negara.

“Laman sesawang itu dibina dengan paparan ringkas bagi memudahkan pencarian produk dan menyatakan waktu penghantaran yang dikehendaki mereka. Ia intuitif dan komprehensif.

“Sepanjang tempoh percubaan baru-baru ini, kami mendapat maklum balas memberangsangkan daripada pengguna. Kini, kami dalam proses membawakan perkhidmatan ini secara menyeluruh kepada masyarakat Malaysia,” ujarnya.

Faktor segar dan berkualiti pasti menjadi isu apabila membeli barangan runcit secara dalam talian. Jelas John, daripada pemilihan produk sehinggalah ke pembungkusan dan penghantaran, ia perlu melalui proses kawalan bagi memastikan kualitinya terjamin.

Selepas pesanan dibuat, barangan akan dipilih oleh staf bertugas (personal shopper) yang kemudian akan mengasingkannya mengikut jenis.

Contohnya jika pesanan itu tertera epal, aiskrim dan Milo, tiga produk itu akan diletakkan di bahagian dingin (epal), beku (aiskrim) dan kering (Milo) sebelum dimuatkan ke dalam van penghantaran.

Apabila dibawa ke van pula, tiga produk terbabit sekali lagi diasingkan mengikut bahagian sama dingin, beku dan kering yang masing-masing mempunyai suhu tertentu.

Ruangan beku ditetapkan kepada -16∞C, dingin pula antara 5∞C hingga paling rendah 1∞C manakala kering sekitar 26∞C.

Setiap staf bertugas itu juga dilengkapi dengan latihan lengkap cara memilih produk yang berkualiti.

“Kami latih setiap ‘personal shopper’ ini memilih barangan seperti mereka memilih produk untuk diri sendiri. Jika mereka rasakan satu-satu produk itu tidak segar atau kurang kualiti, kami tidak akan menjualnya.

“Ia akan digantikan dengan produk yang hampir sama dan jika pembeli tidak bersetuju dengan pilihan itu, mereka berhak menolaknya dan hanya perlu membayar produk yang diingini.

“Selain itu, pembantu penghantaran kami juga bersedia menjawab segala persoalan mengenai produk sejurus ia tiba di rumah.

“Tugas mereka bukan semata-mata menghantar produk tapi berinteraksi dengan pembeli agar dapat membantu pembeli memahami mengenai produk pilihan mereka,” katanya.

Buat masa ini, pembayaran hanya menggunakan kad kredit dan dilakukan apabila produk tiba di rumah. Atas faktor keselamatan kepada pembantu penghantaran, wang tunai tidak diterima dan pembayaran menerusi bank dalam talian pula bakal menyusul tidak lama lagi.

- HARIAN METRO


Beli barang runcit secara online di tesco.com.my

1 comment... add one now

Mak Jemah Mak Jemah 21 July, 2015
tesco online setakat ni memuaskan
brg yg dihantar dlm keadaan yg baik
kdg2 ada kemek sikit, staff pun ramah blh tukarkan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Tawaran Istimewa E-Book

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan lebih 1,000 buah Koleksi E-book pelbagai topik dengan hanya RM20.00 sahaja. WhatsApp "E-BOOK RM20" ke: 0139790000

lihat tawaran