Top Ad 728x90

Elak jangkitan batuk kering (tibi)

Elak jangkitan batuk kering tibi


Dapatkan rawatan segera jika batuk berpanjangan lebih sebulan ditambah pula dengan kahak berdarah. Anda mungkin dijangkiti penyakit kronik berpanjangan iaitu batuk kering atau tuberkulosis yang sering dipanggil tibi.

Pakar Perubatan Pusat Perubatan Kelana Jaya Dr. Abdul Malik Jamal Buhari berkata, penyakit ini disebabkan jangkitan bakteria Mycobacterium tuberculosis, yang biasanya menyerang paru-paru.

Bagaimanapun bakteria ini juga mampu menyerang sistem saraf tunjang, sistem kelenjar, sistem peredaran darah dan tulang.

Penyakit tibi pada suatu ketika dahulu pernah menjadi pembunuh utama kepada penduduk di negara ini antara tahun 1945 hingga 1957.

Dr. Malik berkata, tibi biasanya berjangkit melalui titisan cecair daripada orang yang telah dijangkiti seperti bersin, batuk atau bercakap.

"Titisan cecair yang terapung lebih kurang empat jam boleh menjangkiti mereka yang terhidu," katanya semasa ditemui di pejabatnya.

Dianggarkan satu pertiga populasi dunia mempunyai bakteria tibi di dalam badan mereka tetapi tidak merbahaya dan menonjol.

Bakteria tibi boleh hidup diam di dalam badan dan kemungkinan besar tidak menyebabkan masalah kesihatan kecuali dalam keadaan yang sesuai.

Dr. Malik berkata, biasanya dalam keadaan imunisasi badan yang rendah seperti demam disebabkan virus, bakteria tibi akan muncul.

Pesakit diabetes yang tidak mengawal kandungan gula dalam darah menyebabkan imunisasi badan rendah boleh menyebabkan bakteria tibi menonjolkan diri.

Selain itu pesakit HIV dengan imunisasi badan rendah, mudah dijangkiti dengan bakteria tibi.

"Dianggarkan satu perempat pesakit HIV meninggal dunia disebabkan oleh penyakit tibi," katanya.

Biasanya penyakit tibi mudah tersebar di kawasan penempatan yang sesak dan sempit, kurang bersih, kurang nutrisi terutama di kawasan dengan sosio ekonomi yang rendah.

Pesakit tibi boleh didiagnos menggunakan sinar-X, ujian kahak berdarah dan ujian mantoux.

Dr. Malik berkata, dianggarkan terdapat sembilan juta pesakit tibi di seluruh dunia setiap tahun.

"Kita boleh mengawal penyakit tibi dengan mengamalkan gaya hidup sihat, makanan bergizi dan memakai topeng muka apabila berhadapan dengan pesakit tibi," katanya.

Ditanya sama ada tibi boleh sembuh, Dr. Malik berkata, kebanyakan pesakit tibi boleh sembuh dengan mengambil ubat selama enam bulan tanpa henti.

Bagaimanapun terdapat bakteria tibi yang resistan atau kebal terhadap ubatan biasa seperti multidrug resistance TB (MDRTB) yang memerlukan pesakit mengambil ubat selama dua tahun.

Terdapat juga MDRTB berubah kepada extreme drug resistance TB (XDRTB) di mana semua ubatan tidak lagi berkesan.

"Biasanya tibi biasa boleh berubah kepada MDRTB dan XDRTB apabila bakteria menjadi lebih kebal sebab tidak mengambil ubat secara berterusan atau secara semulajadi," katanya.

Kaedah terbaik untuk menghalang jangkitan tibi adalah dengan suntikan imunisasi BCG bagaimanapun ia tidak melindungi sepenuhnya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati imunisasi BCG yang diberikan kepada bayi baru lahir tidak memberi perlindungan sepenuhnya terhadap jangkitan batuk kering.

Imunisasi BCG hanya melindungi kanak-kanak daripada mendapat penyakit batuk kering yang teruk.

Apabila kanak-kanak meningkat dewasa, risiko jangkitan ini adalah sama dengan orang dewasa lain yang tidak mendapat imunisasi BCG.

- UTUSAN

 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90