Top Ad 728x90

,

Hidangan RM3 di Taiping, Perak

Hidangan RM3 di Taiping, Perak



Seawal pukul 10 pagi lagi, beberapa buah kereta mula memasuki pekarangan rumah Hamidah Hamid yang terletak di Batu 7, Cangkat Baru, Matang, Taiping, Perak.

Situasi itu menjadi lebih meriah menjelang tengah hari hingga pukul 4 petang berikutan semakin ramai pelanggan yang datang untuk menikmati juadah yang disediakan wanita berumur 52 tahun tersebut.

Terdapat empat set meja makan sahaja yang diletakkan di bahagian anjung rumah, namun bilangan itu memadai buat Hamidah yang mesra disapa Kak Midah sementelah dia menguruskan gerai tersebut bersendirian.

Tetapi, jika pelanggan yang datang lebih ramai berbanding biasa, Kak Midah akan menjemput mereka duduk di bahagian ruang tamu rumahnya. Ruang itu sengaja dikosongkan tanpa perabot agar pelanggan boleh menikmati hidangan dengan selesa.

"Seronok kerana dapat menjamu orang ramai makan. Cukuplah empat set meja makan sahaja kerana saya tidak menang tangan untuk menguruskan gerai ini secara bersendirian. Tetapi jika ada ramai pelanggan yang datang serentak, mereka boleh makan bersila," tutur Kak Midah yang tersenyum simpul menyambut kedatangan kru Jurnal.

Premis itu bukanlah sebuah kedai makan, sebaliknya hanya sebuah rumah kampung biasa yang dibuat daripada batu. Tiada tempat memasak khas mahupun dapur besar yang dibina kerana Kak Midah memasak di bahagian dapur rumahnya sahaja.

Sepuluh lauk

Setiap hari seawal pukul 8 pagi, Kak Midah sudah mula memasak. Jumlahnya tidak banyak dan memadai untuk pelanggannya yang tidak ramai. Jika lauk hampir kehabisan Kak Midah akan memasak sekali lagi. Dia sentiasa menjaga kesegaran lauk yang dihidangkan.

"Pada setiap hari, menu yang disediakan adalah berbeza. Sekurang-kurangnya enam jenis lauk akan disiapkan. Ada makanan laut, ikan, ayam, ulaman dan sayuran," katanya yang pernah berkhidmat di sebuah kilang tekstil.

Dalam kunjungan Jurnal pada minggu lalu, kami dihidangkan dengan sepuluh jenis lauk bersama nasi putih termasuklah ayam masak merah, ikan kembung goreng, sotong masak merah, kerang rebus, pajeri nenas, peria masak asam, gulai lemak nangka, air asam, sambal belacan dan timun.

Pada hari kedua, Kak Midah menyediakan ketam masak cili, ikan kembung goreng, kari ikan, asam pedas keladi, sayur campur, jelatah timun dan sambal belacan bersama buah mangga sebagai pencuci mulut.

Namun, jenis masakan yang disediakan bukan satu-satunya faktor istimewa di gerai tersebut. Harga yang dikenakan kepada setiap pengunjung merupakan tangkal penarik pelanggan.

"Saya mengenakan bayaran sebanyak RM3 untuk setiap orang. Tidak kiralah sama ada datang bersendirian atau berkumpulan, jenis hidangan adalah sama. Kesemua lauk-pauk yang saya masak pada hari itu akan dihidangkan di meja seperti makan di rumah," ujar Kak Midah sambil melayan pelanggannya.

Tambah Kak Midah lagi, dia tidak berniat untuk mengaut keuntungan daripada perniagaan itu kerana hasrat asalnya adalah untuk melakukan amal. Dia juga tidak merancang untuk menaikkan harga pada masa akan datang biarpun ramai yang menasihati untuk berbuat demikian.

"Sebenarnya saya bukanlah mahu jadi kaya atau mengaut keuntungan lebih. Tetapi perniagaan ini adalah untuk menunaikan nazar saya sebelum ini.

"Kira-kira sepuluh tahun lalu, saya terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa pulang daripada kerja. Akibat kejadian itu, kaki saya hampir dipotong. Namun, atas takdir Allah, kaki saya kembali pulih biarpun remuk kerana digilis lori.

"Pada ketika itu, dunia terasa gelap seketika mengenangkan masa depan keluarga sekiranya kaki sudah tiada. Apatah lagi kami bukanlah orang senang dan sudah pasti saya tidak akan mampu bekerja lagi. Suami juga hanya berkhidmat sebagai pengawal keselamatan.

"Saya pernah bernazar untuk melakukan amal jariah kepada masyarakat sekiranya boleh berjalan semula. Kini saya bersyukur kerana sudah mampu untuk bekerja semula biarpun kaki kiri masih terkesan dengan kemalangan itu," katanya yang terpaksa meneruskan hidup dengan lebih 50 batang skru yang masih terpasang pada beberapa bahagian di kaki kirinya.

Biarpun RM3 tidak memberi nilai yang besar kepada sesetengah orang, namun Kak Midah menganggapnya sebagai sebuah perkongsian rezeki sesama manusia.

"Memang ramai yang terkejut dan bertanya sama ada saya boleh mendapat pulangan modal dengan harga itu, tetapi saya sendiri dapat merasa keajaiban rezeki Allah. Kadangkala ada pelanggan yang ikhlas membayar lebih.

"Walaupun masih lagi mampu mendapat pusingan modal, tetapi saya juga mendapat bantuan pinjaman daripada AIM (Amanah Ikhtiar Malaysia). Namun, jumlah pinjaman itu tidaklah banyak dan cukup untuk membeli set meja makan dan menambah modal pusingan.

"Syukur kerana rezeki masih cukup untuk memberi wang saku kepada empat orang anak yang masih bersekolah," ujar ibu kepada tujuh orang cahaya mata itu.

Saiz sederhana

Untuk mengekalkan kesegaran hidangannya, Kak Midah akan mengunjungi Pasar Matang dan pasar malam di sekitar Matang bagi mendapatkan barangan mentah.

Dengan kos sebanyak RM70 sehari, Kak Midah boleh membeli beberapa jenis barangan termasuklah ikan, ayam, sayuran dan makanan laut kerana sudah mengenali peniaga di pasar. Biarpun perlu menguruskan perbelanjaan yang terhad, dia tidak akan sesekali membeli ikan busuk ataupun sayur yang sudah layu.

"Semua bahan yang saya beli setiap hari adalah segar-segar. Memang barangan dapur sudah mahal pada masa kini, tetapi saya memilih ikan, sotong dan ketam bersaiz sederhana kerana harganya lebih murah," katanya berkongsi rahsia.

Siti Rohani Mat Saad, 45, yang sudah beberapa kali ke gerai tersebut menjelaskan, dia pada mulanya tidak percaya tentang harga tersebut dan menganggapnya sebagai tidak masuk akal.

"Dari segi hidangan memang ia menepati cita rasa saya yang menggemari makanan ala kampung. Cuma sedikit tidak percaya pada harganya yang sangat murah untuk hidangan nasi bersama sepuluh jenis lauk. Minuman juga diberi percuma," katanya yang berasal dari Taiping, Perak.

Bagi mereka yang pertama kali ke situ mungkin berdepan sedikit kesukaran untuk menemui gerai tersebut kerena ia terletak di dalam kawasan perkampungan.

Menurut pelanggan yang pertama kali singgah ke gerai Kak Midah, Faizah Ismail, 47, sekiranya mencari lokasi gerai tersebut, pengunjung perlulah melalui jalan menuju ke Kuala Sepetang dari arah Taiping.

"Anda akan melepasi Kota Ngah Ibrahim iaitu kira-kira 500 meter untuk ke sini. Dari bandar Taiping pula, jaraknya adalah 10 km. Anda perlu bersedia untuk memasuki sebuah lorong kecil di sebelah kiri sekiranya sudah sampai ke kawasan Masjid Tengku Menteri. Lorongnya adalah bersebelahan sebuah pam minyak lama," katanya.

- KOSMO!

 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90